Blurb : Diperkosa sahabat baiknya sendiri, Hazry, Rina seperti hilang arah. Ke mana diri hendak dibawa? Perlukah harga diri dijaja? Dalam resah dan gundah, syukur ada tangan yang datang menghulur. Azfarel lelaki budiman yang memang meminati Rina dari jauh menghulurkan pertolongan. Hati Rina berbelah bagi, apakah perlu diterima hati yang cuba berbudi? Sedangkan Hazry hilang entah ke mana. Bahagiakah hidupnya nanti dengan Azfarel? Dapatkah dia melupakan segala bayangan hitam? Namun akhirnya Rina sedar, dalam hidup, bagaimana kita mencaturnya…Tuhan Lebih Tahu…
************************************
1
“RINA!”
Suara itu seakan bergema satu studio. Namun Rina pekakkan telinga. Pura-pura tidak mendengar dan terus menumpukan perhatian pada skrin laptopnya. Chatting lagi baik daripada melayan mamat biol tu! Getus Rina di dalam hati sambil jemarinya laju menekan kekunci laptop.
“Rina!” Suara itu bergema lagi. Rina masih membatukan diri. Telinganya menangkap bunyi derap langkah menghampiri meja. Rina mendiamkan diri.
“Woi, Rina!”
Pap! Satu tamparan hinggap di belakang Rina, menyebabkan dia hampir-hampir tersungkur mencium skrin laptop.
“Adui! Sakitlah!” teriak Rina dengan wajah masam mencuka dan tergeliat kesakitan.
“Kau tu pekak!” sela Hazry Izhar sambil bercekak pinggang. Rambutnya yang berjuntaian di dahi, dikuak ke belakang. Rina sekadar menjeling tajam. Perit bahunya dek tamparan temannya itu. Tanpa mempedulikan Hazry, Rina terus menyambung chatting. Menunjukkan tanda protes dengan tindakan Hazry sebentar tadi.
Hazry menyandarkan badan ke meja Rina bagi membolehkan dia menghadap muka gadis itu. Cuba mencuri perhatian sahabatnya itu. Rina ni, cantik sebenarnya. Mata dia tu yang buatkan dia nampak cantik. Galak dihiasi bulu mata lentik tanpa bantuan maskara. Tapi sayang, tak pandai berhias! Muka lawa, body pun cun tapi asyik pakai jean dengan t-shirt saja. Sempoi sangat! Omel Hazry di dalam hati. Sempat membuat analisis pada sahabatnya itu.
“Kau ni, asyik chatting aje! Menyalahgunakan kemudahan UTM! Tak reti-reti nak layan aku dah?” Muka Hazry masam. Dia tidak suka bila Rina tidak lagi melayannya dan asyik berbual di saluran internet.
“Suka hati akulah! Kau dengki kenapa?” Rina menjeling sekilas sambil tangannya masih lincah menaip.
“Aku bukan dengkilah! Aku tension tengok kau! Tak habis-habis chatting. Aku ni tak cukup ke untuk kau?” Hazry menghalang skrin laptop Rina dengan mukanya yang penuh mengharap simpati.
“Isk… tepilah! Engkau tu siapa? Sochai aku aje!” balas Rina untuk menyakitkan hati Hazry. Ditolaknya kepala Hazry daripada menghalang skrin.
Hazry Izhar mencemik. “Tu balak malang mana pulak yang jadi mangsa kau kali ni?”
Rina tersenyum. Sebenarnya sudah lama dia ingin memberitahu Hazry tentang kenalan barunya itu. Tetapi Hazry sering sahaja sibuk kebelakangan ini, bertemu janji dengan teman wanitanya, Elisha, pelajar dari Fakulti Sains Komputer. Tua setahun dari Hazry. Tapi gediknya mengalahkan budak tadika!
“Ha, ni aku nak bagitau kat kau. Mamat ni budak Fakulti Awam, tengah buat Master, dah nak grad!” beritahu Rina dengan bangganya.
“Elehhh… berlagaklah pulak minah ni! Baru dapat budak Awam, dah nak kerek dengan aku!” Hazry mencemik. Berasa sedikit terpukul melihat reaksi riang ria Rina.
“Mestilah. Nanti aku nak date dengan dia tau!” beritahu Rina tanpa berselindung lagi. Sengaja mahu menyakitkan hati temannya itu. Ingat dia sorang aje boleh dating? Serta-merta wajah Hazry berubah. Bibirnya tercebik seperti kanak-kanak merajuk lagaknya.
“Apa ni? Kau ni jahatlah Rina! Aku ni kau nak buang mana?” rengek Hazry sambil melentokkan kepalanya ke meja. Hujung jarinya sibuk menguis-nguis lengan baju Rina. Gelagatnya memang tidak ubah seperti budak kecil minta dimanjakan.
“Engkau tu aku campak aje dalam Sungai Seget!” balas Rina dengan wajah selamba tanpa mempedulikan wajah kasihan Hazry.
“Sampai hati kau!”
“Peduli apa aku!”
Hazry termangu di tepi Rina. Sebenarnya ada hal lain yang membuatkan dia runsing. Tentang konsep rekaan resortnya yang tidak diterima oleh Prof. Aziz.
“Rina, tolonglah aku ni. Design aku tak lepaslah! Kau dah krit belum?” keluh Hazry sambil mencampakkan gulungan kertas bersaiz A2 ke atas meja Rina.
“Aku dah krit semalam dah. Prof. Aziz dah terima design concept aku. Sekejap lagi aku nak start buatlah,” kata Rina sambil membuka gulungan kertas di depannya. Dibeleknya setiap helaian lukisan draf Hazry itu. Sekejap-sekejap Rina menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Apsal kau punya lepas?” tanya Hazry dalam nada tidak puas hati.
“Sebab design aku tak hightech gila cam design kau tu. Cik abang, kita kena design resort bukan design conventional centre! Asyik sibuk dengan steel design aje kau ni. Ubahlah jadi lemah lembut sikit design tu! Ini tak, asyik keras memanjang! Balik-balik high-tech jugak yang kau sanjungkan!” bebel Rina. Gulungan kertas itu dicampakkan kembali ke atas meja Hazry. Tidak berminat untuk melihat lukisan itu yang jelas memaparkan binaan besi yang melampau. Tidak sesuai langsung dengan tema rekaan studio Vernakular semester ini.
“Eleh… taulah kau tu anak emas Prof. Aziz. Nak kondem design aku pulak!“ Hazry mencemik sambil menconteng-conteng kertas lukisan drafnya. Alang-alang kena reject, baik conteng terus!
“Hey, aku pun suka design besi-besi tu. Tapi tak mainlah hightech beb, itu semua tak ada seni. Kalau nak main dengan besi, ikutlah macam Victor Horta, Antoni Gaudi atau Hector Guimard. Ha… diorang tu semua barulah otai besi! Kau tengoklah design aku ni nanti, mesti budak lain dengki punya! Terutamanya mamat yang namanya Hazry Izhar tu!” Nada suara Rina agak menyakitkan hati Hazry. Tetapi Rina masih lagi mempamerkan muka selamba.
“Oii… teruklah kau ni! Riak betul minah sorang ni!” Sekali lagi Hazry menolak bahu Rina. Kemudian raut wajahnya kembali muram.
Hazry agak risau memikirkan tentang konsep rekaannya yang ditolak mentah-mentah oleh Prof. Aziz. Dia tahu, Prof. Aziz beraliran tradisional Melayu, sedangkan Hazry lebih menggemari rekaan high-tech. Malah dia lebih mengagumi arkitek ternama luar negara seperti Zaha Hadid, Philip Johnson dan Bart Prince yang mana kesemua rekaan bangunan mereka banyak menampilkan karektor dan ciri yang unik serta tersendiri, juga menggunakan material serta teknologi terkini. Kadang-kadang, nampak macam tidak masuk akal rekaan mereka. Tetapi cukup kreatif dan inovatif. Macam tu baru kelasss!
“Kau tukarlah sikit design kau tu. Jangan nak ikut sangat kehendak kita. Kita ni belajar lagi. Dengar aje cakap lecturer. Dah kerja esok, barulah boleh buat sesuka hati kau!” nasihat Rina sambil mengadap muka Hazry yang sudah monyok. Hazry yang dikenali sejak tahun pertama lagi, memang begitu sifatnya, manja dan kebudakan! Suka diberi perhatian.
“Rina… jom pergi makan. Aku laparlah,” Hazry menepuk-nepuk perutnya. Malas lagi hendak mengenangkan tentang rekaan yang ditolak oleh Prof. Aziz.
“Malaslah. Aku dah makan nasi lemak pagi tadi. Makan banyak-banyak nanti gemuk pulak,” Rina menolak dan beralasan. Kalau pergi makan dengan Hazry, alamatnya dua tiga jam lagi, barulah dapat balik ke studio. “Aku nak siapkan design ni cepat,” sambung Rina lagi.
“Gemuk apa lagi macam ni? Kau sajalah bagi alasan. Buat apa nak siapkan design cepat sangat. Kau pun bukan ada ambil subjek lain kan?” sela Hazry dengan wajah sedikit mencemik.
Sebenarnya Hazry kagum dengan Rina yang sudah dikenalinya sejak mula-mula masuk ke UTM untuk mengikuti kursus Diploma Senibina. Sahabat baiknya itu pandai mengatur subjek-subjek yang diambil setiap semester. Semenjak dari tahun satu lagi Rina akan mengambil hingga ke 20 pointer setiap semester. Ianya tidak digalakkan oleh mentor, tetapi memandangkan Rina berjaya mengekalkan 3.0 ke atas, mentor meluluskan. Apa tidaknya, Rina lebih suka memencilkan diri daripada bergaul dengan rakan-rakan studio sampaikan kadangkala digelar kera sumbang. Tetapi, hasilnya kini untuk semester yang terakhir, Rina goyang kaki kerana sudah menghabiskan kesemua subject dan hanya perlu masuk studio menyiapkan rekaan dan menghadiri dua subjek lain.
“Rina, jomlah makan!” Hazry merengek lagi meminta simpati Rina. Tangan Rina ditarik-tariknya.
“Hish… yelah-yelah!” Akhirnya Rina mengalah kerana dia tahu, Hazry tidak akan jemu merengek dan menagih simpati.
“Yes! Aku menang! Aku belanja kau okey? Hari ni kita makan kat bangunan pentadbiran. Aku belanja kau makan dalam bilik aircond!” Hazry tersengih.
*********************************************
SUASANA café bangunan pentadbiran sudah agak lengang. Melewati jam dua petang, tidak ramai lagi pengunjung makan di situ. Di sudut café, kelihatan dua orang gadis cantik duduk menikmati makanan mereka.
“Eh, Elisha, cuba kau tengok kat sana.” Azila memuncungkan bibirnya ke satu arah.
Elisha pantas menoleh ke belakang. Terbeliak matanya melihat Hazry sedang berpapasan masuk ke dalam café bersama Rina Azia.
“Tak guna punya Hazry!” bentak Elisha dengan rasa geram membuku di dada. Serta-merta dia bangun dari duduknya.
“Wey, kau nak ke mana Elisha?” tegur Azila yang agak terkejut dengan tindakan Elisha.
“Kacau diorang!” jawab Elisha sambil menggenggam penumbuk lalu berjalan menghampiri Hazry dan Rina yang sedang mengambil lauk ala buffet di atas meja.
“Hai, sayang…” tegur Elisha dengan suara menggoda dan manja dibuat-buat.
Hazry menoleh. Serta-merta wajahnya berubah menjadi merah. Elisha menoleh sekilas ke arah Rina yang terkebil-kebil memandangnya. Jelingan mata Elisha kelihatan amat menjengkelkan.
“Err… Elisha… you buat apa kat sini?” Tergagap-gagap Hazry dibuatnya bila melihat jelingan tajam Elisha.
“Makanlah! Buat apa lagi? Takkan dating pulak? I tak mainlah dating kat tempat macam ni!” Nada suara Elisha jelas menunjukkan dia tidak senang hati dengan pertemuan itu. Lebih-lebih lagi apabila melihat Rina ada bersama Hazry.
“Err… jomlah, join sekali?” Hazry cuba mempelawa Elisha. Namun jelas kedengaran ketar pada nada suaranya.
“Tak payah! Kalau I nak makan dengan you, I tak nak ada orang ketiga! Mengganggu! Menyibuk aje!” Sekali lagi Elisha menjeling tajam ke arah Rina. Memang dia sengaja menyindir Rina.
“Kau makanlah sorang Arey! Aku dah kenyang!” Rina sudah naik angin. Pinggan nasinya yang sudah berisi lauk, dihulurkan kepada Hazry. Seleranya sudah patah dek sindiran Elisha yang sinis.
“Eh? Rina, janganlah macam ni. Aku nak belanja kau makan ni,” pujuk Hazry tetapi tidak dihiraukan oleh Rina. Dia terus keluar dari café dengan rasa sakit hati yang membengkak di dada.
“Apsal ni Elisha? Kenapa you cakap macam tu? Kesian Rina tau, I dah janji nak belanja dia lunch.” Hazry berasa serba-salah. Hendak mengejar Rina, bimbang akan membuatkan buah hatinya pula merajuk.
“I peduli apa?” sela Elisha. “You tu boyfriend I tau? Walaupun kita bukan satu fakulti, tapi you tak patut ambil kesempatan keluar dengan si Rina tu! Dah berapa kali I cakap, I tak suka you keluar lagi dengan Rina?! You faham tak?”
Hazry memandang Elisha dengan mata mencerun. Dia benar-benar tidak berkenan setiap kali Elisha meninggikan suara dengan. Tetapi apa nak buat, Elisha buah hatinya. Terpaksalah ditelan setiap patah kata Elisha dengan hati membengkak.
2
RINA berjalan meninggalkan kawasan pentadbiran dengan perasaan berapi-api. Sakit hatinya bila mengenangkan wajah sinis Elisha. Macamlah aku hendak sangat pakwe dia tu! Padahal aku yang kenal lama dengan Hazry. Dia baru aje tiga empat bulan kenal dengan mamat tu, dah nak tunjuk power! Mengada!
Rina terus merungut-rungut dalam hati. Langkahnya dipercepatkan. Penat juga dia menapak. Dari bangunan pentadbiran, melintasi Fakulti Sains Komputer, terus melalui Dewan Sultan Iskandar, Perpustakaan Sultanah Zanariah atau PSZ sebelum sampai ke Fakulti Alam Bina. Berpeluh-peluh dia apabila sampai ke studio. Terus hilang moodnya untuk membuat kerja di situ. Sudahnya Rina mengemaskan barang-barang dan keluar meninggalkan studio Vernacular menuju ke penginapannya di Kolej Tunku Abdul Rahman.
Rina beruntung kerana biarpun sudah berada di tahun akhir Diploma Senibina, dia masih berpeluang tinggal di asrama. Biasanya pelajar-pelajar Falkulti Alam Bina agak sukar mendapat peluang untuk tinggal di asrama bila menjejaki tahun kedua pengajian. Kalau ada pun, boleh dibilang dengan jari tangan.
Mereka menganggap pelajar FAB tidak aktif dengan aktiviti kolej terutamanya dari Kursus Senibina kerana masa mereka lebih banyak dihabiskan di studio. Mujur benarlah Rina pernah mewakili UTM dalam sukan bola tampar ketika berada di Tahun satu dan dua. Kalau tidak, mungkin dia juga akan disingkirkan dari kolej.
Sampai di bilik, Rina menghempaskan badan di atas katil. Anita, teman sebiliknya yang sedang bersiap-siap untuk menghadiri kuliah, terpinga-pinga melihat wajah masam Rina. Mesti ada sesuatu yang tak kena tu!
“Kenapa dengan kau ni? Tadi aku dengar kau nak stay kat studio. Kenapa cepat sangat kau balik?” tegur Anita sambil mengemaskan buku-buku yang harus dibawa ke dewan kuliah nanti.
“Malaslah aku nak stay! Aku tak ada mood!”
“Aiii… ni apahal pulak ni? Tadi bukan main berkobar-kobar. Tiba-tiba aje tak ada mood? Kenapa? Takkan dah datang bulan kut?” tanya Anita dalam nada separuh mengusik. Dia masak benar dengan perangai Rina. Emosinya akan cepat berubah kalau ada sesuatu mengganggu fikirannya. Lebih-lebih lagi jika tiba waktu datang bulan!
Sejak berkongsi bilik selama tiga semester, mereka boleh dikatakan agak akrab. Banyak juga rahsia yang dikongsi bersama biarpun mereka berlainan kursus dan fakulti. Anita mengambil jurusan Kejuruteraan Awam. Tetapi itu tidak menghalang untuk mereka menjadi rapat.
“Aku sakit hati dengan Arey!” bentak Rina dan melepaskan geram dengan menumbuk-numbuk bantal yang dipeluknya. Terus sahaja Anita tersenyum meleret.
“Hmm… apa dia dah buat pada kau?” tanya Anita penuh minat lalu melabuhkan punggung di sebelah Rina. Lagipun masih agak awal untuk dia ke kuliah. Pantas Rina bangun untuk menceritakan peristiwa di café sebentar tadi. Dia mundar-mandir di hadapan Anita.
“Aku sakit hati dengan Elisha awek si Arey tu. Benci betul aku dengan perangai perempuan tu. Kau bayangkan, aku tengah ambil lauk, tiba-tiba aje dia datang tegur. Menyindir yang bukan-bukan. Si Arey pulak, terkulat-kulat. Dia tu, kalau dengan perempuan cantik seksi, selalu mati akal. Aku panas hati, terus tinggalkan café tu! Kalau aku tau minah tu ada situ, tak ingin aku ikut Arey!” Rina kembali duduk di birai katil. Ombak di dadanya kelihatan turun naik dengan hebat tanda dia benar-benar marah.
“Biasalah si Elisha tu. Dia kan perasan perempuan terhebat kat UTM ni? Mana boleh perempuan lain dekat dengan boyfriend dia. Tapi kalau dia, boleh pulak bercampur dengan lelaki lain,” kata Anita dengan wajah cemik.
Siapa yang tidak kenal dengan Elisha? Rasanya satu UTM Skudai sudah kenal dengannya. Maklumlah, dia dikatakan paling cantik di UTM. Ramai lelaki yang berebut-rebut hendak mendekatinya.
“Tapi kan Rina, aku dah lama nak tanya kau soalan cepu mas ni, kau ni dah lama kawan dengan Hazry tu. Hmm… kau tak ada hati kat dia ke? Hazry punyalah handsome, mixed blood lagi. Putih… tinggi… mata dia tu seksi. Boleh tergoda kalau kena renung dengan dia. Muka kiut-kiut nakal gitu. Macam Wentorth Miller. Takkan tak berkenan kut?” usik Anita, memanggungkan kepalanya ke arah Rina yang masih termuncung-muncung mulutnya menahan marah.
Rina terus melompat bangun dari katilnya. “Kau gila? Tak ada masa aku nak ada hati kat mamat gila otak tak center tu! Perangai macam budak-budak!”
“Elehhh…“ Anita mencemik tanda tidak mempercayai kata-kata Rina.
“Kau jangan nak cemik-cemik macam tu okey? Aku cakap serius ni. Kau pun tau Arey tu best friend aku aje. Tak lebih dari tu!” Rina menudingkan jarinya ke arah Anita.
Anita mencemik lagi. Kali ini tanpa suara.
“Wey, kau janganlah nak buat muka macam tu. Ni, aku nak bagitau kau. Sekarang aku tengah ada hubungan alam maya dengan budak fakulti kau,” beritahu Rina dengan harapan Anita tidak lagi mengusiknya dengan Hazry.
“Ala… itu hubungan alam maya. Kau dengan Hazry ni, di alam nyata dan di depan mata! Lagipun dulu kan kau pernah suka pada dia?” Anita mengusik lagi dan kemudiannya tersenyum mengena.
“Nita, kau ni suka nak mengenakan aku! Itu dulu tau, masa aku bodoh-bodoh lagi. Yelah, dah dia aje lelaki yang rapat dengan aku masa tu, itu yang aku perasan kejap tu.” Rina menarik muka masam tanda merajuk. Malu bila Anita mengungkit kisah lalunya. Anita tergelak kecil melihat gelagat Rina.
“Okeylah, okeylah… sorry kawan. Aku mengusik aje. Bagitau aku siapa nama mamat tu? Course apa?”
Rina kembali duduk di sebelah Anita. “Budak Master. Dia ada emelkan aku gambar. Tapi gambar tu cinonet sangat, nampak macam hensemlah jugak. Tapi tak taulah pulak kalau gambar tu terlebih flash. Kau kenal tak?”
“Macam mana aku nak kenal? Nama dia pun kau tak bagitau!” Anita menunjal sedikit bahu Rina.
Rina tergelak setelah menyedari kesilapannya. “Nama dia Wan Azfarel bin Wan Sulaiman. Kau kenal?” tanya Rina dengan wajah mengharap. Anita kelihatan cuba berfikir dengan raut muka berkerut seribu.
“Tak kenal!”
Serentak dengan itu, Rina mencapai bantal dan memukul-mukul belakang Anita yang sedang ketawa terbahak-bahak.
“Buang masa aku je bagitau!”
3
KALAU diikutkan rasa hati, Rina malas hendak ke studio hari ini. Malas hendak mengadap muka Hazry. Rasa sakit hatinya masih belum hilang. Tetapi mengenangkan dia sudah berjanji dengan Prof. Aziz untuk menyiapkan pelan lantai dan menjalani sesi krit hari Jumaat nanti, Rina kuatkan semangat untuk pergi juga ke studio.
Ketika Rina sampai, suasana studio Vernacular agak lengang. Maklumlah semester baru bermula dua minggu. Sudah menjadi lumrah, kebanyakan pelajar Senibina tak kira peringkat Diploma atau Ijazah, suka melakukan tugasan pada saat akhir. Ada yang kata, lebih trill dan mencabar. Lagipun pada tahun akhir begini, pensyarah cuma mewajibkan para pelajar menjalani sesi krit rekaan bermula dari peringkat lakaran, struktur, rekabentuk mahupun bahan-bahan binaan. Tidak perlu berada di studio setiap masa.
Pada semester akhir pengajian ini, para pelajar dikehendaki merekabentuk bangunan yang melebihi empat tingkat sebagai syarat untuk lulus subjek rekabentuk peringkat diploma. Setiap studio akan membuat lawatan ke tapak projek yang menjadi pilihan. Pada semester akhir ini, Rina memilih untuk kekal di studio Vernakular yang lebih menekan ciri-ciri tradisional dalam senibina tanpa melupakan aspek komersil. Studio Vernacular telah menetapkan tema resort hotel. Manakala studio lain seperti Urban, Energy dan CAD memilih tema seperti apartment, kondominium dan bangunan pejabat.
“Lewat hari ni, Rina?” sapa Ajoi, sewaktu mereka berselisih di muka pintu studio.
“Aku bangun lambat!” Selamba sahaja Rina memberikan jawapan. Kemudian mengukir senyum tanda dia bukan benar-benar memaksudkan kata-katanya.
“Ada-ada ajelah kau ni,” balas Ajoi, turut tersenyum.
“Hazry dah datang ke belum?” tanya Rina.
“Entah. Tak perasan pulak aku. Rasanya tak adalah kut sebab senyap aje tempat korang hari ni,” beritahu Ajoi sebelum berlalu pergi.
Rina tercari-cari kelibat Hazry. Ternyata Hazry masih belum sampai di studio. Hazry tinggal sendirian di Bandar Baru Uda, di rumah berkembar dua tingkat yang menjadi persinggahan keluarganya kerana mereka memang berasal dari Johor Bahru. Tetapi kerana tuntutan kerja, mereka memilih untuk menetap di Petaling Jaya.
Lega rasa hati Rina bila melihat Hazry tiada di situ. Meja Hazry yang bersebelahan dengan mejanya nampak kemas. Sah! Mamat tu tak datang studio hari ni. Mesti merempit kat JB tu… gumam Rina di dalam hati. Itu baru pakai scooter, kalau pakai superbike? Hai, aku tak taulah… Rina mengomel sendirian.
Malangnya, baru sahaja Rina bersedia untuk membuka laptop, terdengar suara Hazry terjerit-jerit memanggil namanya.
“Rina! Rina!”
Rina mengeluh panjang sambil memekup kedua-dua belah tangan ke telinga. Bingit mendengar suara lantang Hazry yang tidak henti-henti memanggil namanya. Tidak lama kemudian, terpacul wajah Hazry dari balik partition yang menjadi penghadang ruang kerja mereka daripada laluan orang ramai. Dia kelihatan mengah dengan wajah nampak merah dan sedikit berpeluh.
“Nak apa kau ni? Memekak ajelah!” getus Rina dengan muka masam. Sudah dapat mengagak bahawa kerjanya pasti terbengkalai lagi.
Hazry termengah-mengah mengumpul nafas setelah berlari mendaki anak tangga untuk ke tingkat tiga yang menempatkan studio Vernacular.
“Rina!” jerit Hazry lantas menarik Rina ke dalam pelukannya. Terkial-kial Rina cuba melepaskan diri.
“Iskkk… Apa kau ni?” jerit Rina sambil menumbuk-numbuk lengan Hazry. Terkejut dengan tindakan Hazry.
Sebenarnya bukan dia tidak biasa dilayan sebegitu oleh Hazry. Mereka terlalu akrab hingga kadang-kadang Hazry bagaikan terlupa Rina adalah seorang perempuan sebaya dengannya. Sudah puas Rina menasihati, tetapi Hazry lebih senang melayannya begitu. Hazry selalu sahaja berkata dia menganggap Rina seperti adiknya sendiri. Katanya lebih mesra. Mesra kepala hangguk dia! Sampai selalu terlupa batas! Tak hormat aku langsung!
“Rina, aku ada surprise nak tunjuk kat kau. Jom ikut aku!” Hazry menarik tangan Rina, langsung tidak mempedulikan kemarahan Rina.
“Kau nak bawak aku pergi mana ni? Aku nak buat kerjalah!” Rina mengeraskan diri di kerusi dengan sebelah tangannya kuat memaut meja.
“Ala… cepatlah! Aku rasa kau mesti terkejut tengok barang ni,” Hazry kelihatan seperti tidak sabar-sabar. Raut wajahnya jelas kelihatan gembira yang amat sangat.
“Kut ya pun, bagilah aku simpan barang dulu!” Rina merentap tangannya daripada pegangan Hazry. Terkocoh-kocoh dia menyimpan laptop ke dalam laci bila Hazry semakin galak menarik-narik tangan kanannya. Sebaik sahaja Rina menarik anak kunci, Hazry pantas memaut lengan Rina.
Hazry berlari sambil terus menarik tangan Rina. Entah ke mana arah tujunya, Rina tidak dapat memastikan. Kelam-kabut Rina cuba mengatur larian agar dapat seiring dengan Hazry. Mahu tersungkur juga dia dibuatnya. Hazry menghentikan langkah apabila mereka berada di bahu jalan yang memisahkan kawasan tempat letak kereta dengan Fakulti Alam Bina. Tiba-tiba Hazry menekapkan sebelah tangannya ke mata Rina.
“Eh? Kau nak buat apa ni?” tanya Rina dengan suara cemas sambil cuba mengalih tangan Hazry. Rasa tidak selesa bila diperlakukan begitu.
“Sekejap aje. Nanti bila sampai, aku lepaslah,” pujuk Hazry tetapi masih mahu berteka-teki.
Rina terpaksa menurut. Tiba-tiba berderau darahnya bila terasa ada pautan tangan Hazry di pinggangnya. Hazry terus memimpin Rina menyeberangi jalan. Gelagat mereka berdua telah mencuri tumpuan beberapa orang pelajar yang sedang menanti bas di wakaf yang disediakan di bahu jalan.
“Okey, sekarang kita dah sampai,” kata Hazry dan melepaskan tangannya perlahan-lahan dari mata Rina.
Terkelip-kelip mata Rina cuba membetulkan pandangannya yang kabur dek tekapan tangan Hazry sebentar tadi. Dia kini berdiri di hadapan sebuah kereta Mitsubishi Evolution V berwarna merah cili. Dengan dahi berkerut, Rina memandang wajah Hazry yang masih menguntum senyum.
“Kereta siapa ni?” soal Rina penuh tanda tanya. Namun dia kagum melihat kereta tersebut.
Hazry tidak menjawab soalan Rina sebaliknya terus tersenyum panjang. Tangan kanannya menyeluk poket dan mengeluarkan satu kunci. Ditayangkan sebentar di depan muka Rina yang terpinga-pinga sebelum menekan butang penggera.
“Arey! Cakaplah kereta siapa ni? Kau ambil kereta siapa ni?” desak Rina dengan perasaan ingin tahu.
“Kereta akulah!” jawab Hazry pantas.
“Kau tipu!” Rina enggan percaya.
“Betul… kereta aku!”
“Kau mana mampu beli kereta! Lagi pulak kereta mahal macam ni!” sela Rina masih dengan rasa curiga.
“Aku memang tak mampu. Tapi mama dan papa aku mampu! Diorang hantar malam tadi,” jawab Hazry selamba sambil tersenyum bangga.
Rina terdiam. Hazry tergelak melihat wajah muncung Rina. Baginya, Rina memang nampak cantik ketika sedang marah. Ditambah pula dengan rona-rona merah di pipinya.
“Jom, aku bawak kau ronda-ronda JB.” Hazry membuka pintu dan menolak Rina supaya masuk ke dalam perut kereta. Tidak berdaya untuk membantah lagi, Rina akhirnya terpaksa akur dalam keterpaksaan.
Enjin kereta dihidupkan. Hazry masih lagi berwajah selamba sedangkan kerut di dahi Rina masih belum hilang. Rina terus memandang muka Hazry dengan rasa tidak puas hati. Boleh percaya ke mamat ni?
“Oii… sudahlah tu mek oi!” jerkah Hazry tatkala mereka sudah melepasi pintu gerbang UTM.
“Ini kereta akulah Rina. Percayalah!” Hazry cuba menyakinkan Rina.
“Macam mana aku nak percaya dengan orang macam kau?” Muka Rina terus masam dan berkerut.
“Betul, ini kereta aku. Papa dan mama yang belikan sebab aku dah tolong diorang dapatkan projek 20 buah banglo eksklusif dekat Bukit Tinggi,” terang Hazry sambil sekali sekala menoleh ke arah Rina. Mata Rina makin mencerun. Hazry tahu, Rina masih tidak mahu mempercayainya.
“Kau tak cerita kat aku pun?” kata Rina seakan merajuk setelah mendengar penerangan Hazry.
“La? Kan aku ada cerita sebelum cuti semester lepas? Kau tu yang dah nyanyuk tak ingat!”
Segera Rina memotong percakapan Hazry. “Aku ingat kau main-main!”
Memang Rina tidak percaya langsung tentang cerita Hazry menyumbangkan idea dalam projek 20 buah banglo eksklusif yang pernah diceritakan suatu ketika dulu. Lelaki yang tidak pernah tahu serius macam Hazry Izhar ni, tahu ke urusan penting macam tu?
“Ada sesetengah perkara aku main-main, ada sesetengah perkara aku serius. Damn serious!” Saat itu wajah Hazry tiba-tiba bertukar serius tanpa segaris senyum di bibirnya. Rina mencemik. Serius sangatlah tu konon?
“Serius macam kau dengan Elisha?” Rina cuba mengusik. Hazry menjawab dengan anggukan. Masih berwajah serius dan lebih menumpukan pada pemanduan.
“Eleh, kalau kau serius dengan Elisha, kenapa kau ajak aku keluar? Bawaklah dia pergi jalan-jalan dengan kereta baru kau ni.” Rina cuba memancing reaksi Hazry.
“Mana boleh? Kau kawan aku dunia akhirat, dah macam adik aku sendiri. Kau kawan yang paling aku sayang, mestilah aku cari kau dulu!” Kata-kata Hazry membuatkan Rina terdiam sendiri.
Wajah Hazry ditelitinya dalam-dalam. Masih serius dan wajah itu memang kacak apatah lagi bila ada senyuman terlukis pada ulas bibirnya yang kemerahan. Rina tersenyum puas. Saat itu Rina merasakan dirinya benar-benar dihargai.
“Wah, lepas ni kecohlah FAB. Hazry Izhar bin Hanafiah pakai Evo. Makin ramailah kawan kau, bertambah sayanglah Elisha pada kau ya?” Rina tersenyum mengusik.
Hazry menyengih penuh rasa bangga. “Ala…itu kau jangan risau. Rina Azia binti Rashid tetap kawan baik aku dunia dan akhirat!” Di penghujung kata, Hazry mencuit hidung Rina. Wajah Rina nampak memerah. Malulah tu! Hazry tersenyum sendiri.
“Kita pergi City Square dulu ya, beli KFC. Aku lapar, tak makan lagi ni. Dari pagi tadi aku cari kau, ingat nak ajak makan, jalan sama-sama naik kereta baru ni,” kata Hazry sambil sebelah tangannya menepuk-nepuk perut sebelum menepuk-nepuk dashboard.
Rina angguk. Malas mahu membantah.
********************************************
PEMANDANGAN dari puncak Bukit Timbalan memang indah. Dari situ terbentang luas Selat Johor yang memisahkan Singapura dengan Johor Bahru. Cuaca petang itu tidaklah terlalu panas. Ada beberapa pengunjung sibuk bermain layang-layang. Ada yang sekadar duduk bersantai sambil memerhatikan anak-anak mereka berlari berkejaran. Hazry dan Rina mengambil tempat di bawah sepohon pokok yang agak rendang. Mereka duduk beralaskan suratkhabar yang berlapis-lapis.
“Untung kau kan? Anak orang kaya. Nak kereta dapat, nak handphone dapat, duit pulak tak pernah putus.” Tiba-tiba Rina bersuara, agak mendatar nadanya.
Hazry segera menghentikan suapan ayam goreng ke mulut. “Oii… kau cakap apa pulak ni? Macam orang pasrah aje? Kau dengki kat aku ya?” Terjegil mata Hazry memandang raut wajah Rina yang nampak agak mendung.
Rina senyum kerana dia tahu, Hazry sekadar bergurau.
“Aku bukan dengkilah…“ Rina tidak meneruskan kata-katanya. Memang dia tidak pernah cemburukan Hazry, malah dia bersyukur kerana dikurniakan sahabat seperti Hazry yang banyak membantu ketika dia dalam kesusahan walaupun kadangkala sikap Hazry agak kasar dengannya. Hazry seperti kurang menganggapnya sebagai sahabat wanita. Mereka bergurau cara lelaki! Kasar!
“Rina, kau janganlah cakap macam tu. Yang kaya papa dan mama aku. Aku tumpang merasa aje. Yelah dah aku ni anak tunggal, tak payah nak berkongsi dengan adik-beradik. Sebab tu aku suka kongsi dengan kau.“ Hazry cuba bergurau tetapi terdiam bila melihat raut wajah Rina semakin keruh.
“Kau ada masalah duit lagi ke?” Hazry cuba mencungkil. Dipandang sekilas wajah Rina. Keredupan jelas menyelubungi seraut wajah manis itu.
Bukan Hazry tidak tahu, Rina adalah anak peneroka yang kerapkali mengalami masalah kewangan lebih-lebih lagi bila belajar kursus Intergrasi Senibina yang memerlukan banyak duit untuk membeli peralatan grafik dan bahan-bahan lain untuk bantuan pembelajaran. Hazry banyak membantu Rina dari segi kewangan walaupun gadis itu lebih banyak menolak. Malu katanya, terasa macam mengambil kesempatan. Tetapi Hazry tidak pernah berkira. Dia tetap akan membeli peralatan untuk kegunaan Rina. Malah dia tidak lokek berkongsi dengan Rina buku-buku rujukan yang dibelinya dari luar negara.
“Eh, lepas ni asyik meronda ajelah kau ya?” Tiba-tiba sahaja Rina mengubah topik perbualan. Sekaligus mempamerkan senyum biar nampak kepalsuannya.
Hazry mengeluh. Kadang-kadang dia geram dengan sikap Rina. Selalu memendam perasaan. Tidak mahu menyusahkan orang katanya. Sebab itulah Rina tidak mempunyai ramai kawan selain daripada Anita, budak degree dari Kejuruteraan Awam. Rina lebih senang mengambil sikap buat hal sendiri.
“Yelah, bolehlah aku bawak Elisha masuk Singapore. Asyik bising ajak shopping kat Singapore. Kau tau ajelah dia, kuat merajuk!” Hazry mengomel.
“Bawaklah… dia tu girlfriend kau. Kau kenalah jaga hati dia sikit,” balas Rina sambil mengunyah kentang goreng lambat-lambat. Bila makan sedap-sedap begini, teringat pula pada adik-beradik di kampung. Entah apalah yang diorang tengah makan sekarang ni? Seleranya terus mati. Rina mengeluh perlahan tanpa disedari Hazry.
“Eh? Budak engineer yang kau selalu chatting tu amacam? Dah jumpa belum?” Tiba-tiba Hazry bertanya tentang rakan ‘online’ Rina dengan penuh minat. Mulutnya masih rancak mengunyah.
Rina mengerling tajam. Mulut penuh pun masih nak bercakap! Tetapi Rina sudah faham sikap Hazry yang tidak pernah mahu mengawal kelakuan bila bersamanya.
“Aku tak jumpa dia lagilah. Banyak kali jugak dia ajak aku keluar tapi aku malas..” Rina menjawab sambil lewa.
“Apsal?” Hazry memotong kata-kata Rina. “Dia tak ada kereta macam aku ke?”
Rina menjeling geram. “Bukan macam tulah! Kau ni, eksyen betul! Ingat kau sorang aje ada kereta?”
“Alah, kalau dia pakai motor pun, macamlah kau tak biasa panjat naik motor!” sekali lagi Hazry memotong percakapan Rina. Tanpa sepatah kata, Rina menghadiahkan satu cubitan ke lengan Hazry. Terjerit Hazry dibuatnya.
“Padan muka kau! Cuba bagi aku habis cakap dulu!” sela Rina bila melihat wajah Hazry yang berkerut sambil menggosok-gosok lengan. Pedih dek cubitannya.
“Selama ni pun aku naik motor dengan kau sorang aje tau!” Rina menjeling lagi.
“Yelah, aku kan boyfriend part-time kau?” Hazry cuba bergurau. Kali ini Rina angkat penumbuk pula.
“Okey, okey! Aku serius ni. Kau pergilah jumpa dia. Bakal engineer tu, lagipun taraf senior. Beza umur lebih kurang enam tahun. Ha, Padanlah dengan kau. Mudah-mudahan dia dapat mengawal sifat kau yang kasar tu.” Hazry memberi komen ikhlas.
“Tak nak aku! Kau ni, lebih-lebih pulak!” tukas Rina dengan muka sedikit masam.
“Laa… aku cakap betul ni. Kau tu kena ada senior kontrol kau sikit. Tak adalah kau nak kasar aje 24 jam. Muka cantik, tapi perangai macam jantan tak jadi aje!” usik Hazry sambil tangannya menarik tocang ekor kuda Rina.
“Hazry!” jerit Rina dengan perasaan geram. Cepat-cepat Hazry bangun sambil melepaskan tawa. Seronok betul dia apabila dapat mengusik Rina. Petang yang damai itu menyaksikan aksi kejar-mengejar antara dua orang sahabat…
************************************************
JAM sembilan malam, barulah Hazry dan Rina sampai di UTM. Hilang segala mood untuk melakukan kerja diganti dengan rasa letih dan mengantuk. Mulalah Rina rasa sebal kerana merasakan kerugian waktu. Menyesal pun sudah tidak berguna lagi kerana dia sendiri yang terlalu menurut kehendak Hazry.
“Kaulah… bawak aku jalan, dah tak siap kerja aku!” rungut Rina ketika mendaki anak tangga untuk ke studio. Hazry sekadar tersenyum kemenangan.
“Ala, kau nak buat design cepat-cepat buat apa? Ada empat bulan lagi tau. Kau siap cepat pun, grad sama jugak dengan aku, bukan boleh awal sebulan pun!” usik Hazry sambil memeluk bahu Rina. Mesra tapi tanpa perasaan.
“Siap cepat, boleh rileks cepat. Tak payah nak terkejar-kejar. Bukan macam kau! Suka buat kerja last minute! Lepas tu, merengek cari aku!” getus Rina. Kakinya sengaja dihentak kuat-kuat setiap kali memijak anak tangga, menunjukkan tanda protes. Hazry tergelak melihat gelagat Rina.
Sampai di muka pintu studio, mereka terserempak dengan Ajoi. Cepat-cepat Rina menepis tangan Hazry yang masih melingkar di bahunya. Terasa malu apabila Ajoi melihat mereka dengan kening terangkat. Macam perli aje!
“Korang ni kan, betul-betul macam belangkas. Tak boleh berenggang langsung! Kahwin ajelah!” tegur Ajoi sambil memandang Hazry dan Rina silih berganti.
“Hazry ni hah, tak tahu malu!” Rina membela diri.
“Apa pulak aku? Kaulah!” sanggah Hazry sambil menolak bahu Rina menyebabkan gadis itu sedikit terpesong ke tepi dinding.
“Sudah… sudah… tak payah nak gaduh pulak. Ha, Rina, tadi ada orang cari kau,” beritahu Ajoi bagi mengelakkan Hazry dan Rina saling tuduh menuduh padahal satu Fakulti sudah maklum tentang keakraban mereka berdua.
“Siapa?” Rina bertanya dengan kening bertaut rapat.
Ajoi angkat bahu. “Entah, tapi tadi dia ada masuk kat tempat kau.” Kemudian Ajoi terus berlalu.
Cepat-cepat Rina berjalan menuju ke meja, langsung tidak mempedulikan Hazry di belakang. Entah mengapa, hatinya kuat mengatakan ada sesuatu untuknya. Sampai di meja, mata Rina tertancap pada satu kertas kuning bertulis tangan melekat pada papan kenyataan di depan mejanya.
Rina, Rel datang nak jumpa Rina tadi. Rina tak ada pulak. Tak apalah, saje singgah. Kebetulan lalu kat FAB ni. Nanti Rel datang lagi… Wan Azfarel
Serta-merta jantung Rina berdegup kencang bila melihat nama itu. Wan Azfarel datang sini??
“Nota dari siapa tu?” tegur Hazry dari belakang.
“Azfarel,” jawab Rina ringkas sambil tersenyum meleret tanpa menerangkan apa-apa sedangkan Hazry terkebil-kebil ingin tahu siapakah Azfarel.
4
SEJAK mendapat nota ringkas daripada Azfarel tempohari, hati Rina mula berasa tidak keruan. Nampaknya Azfarel boleh muncul di studio, pada bila-bila masa sahaja. Setiap kali Hazry menjerkahnya dari balik partition, setiap kali itulah hati Rina berdegup kencang kerana menyangka Azfarel yang datang.
“Kau ni kenapa Rina? Pucat semacam aje aku tengok?” tanya Hazry apabila melihat wajah Rina agak pucat selepas disergahnya.
“Terkejut aku, bodoh! Main sergah aje kau ni!” sela Rina sambil mengurut-ngurut dadanya.
“Elehh… taulah sekarang dah ada buah hati, gurau sikit pun dah tak boleh!” Hazry mula tarik muka masam.
Rina malas hendak bertekak dengan Hazry lagi. Dia meneruskan kerja-kerja mendraf pelan dalam laptop. Melihatkan Rina langsung tidak mempedulikan kehadirannya, Hazry terus berlalu pergi.
Menjelang tengahari, Hazry masih belum muncul. Rina mengeluh. Bilalah, si Hazry ni nak berubah? Dah nak grad pun masih suka buat kerja last minute. Tapi peliknya design tetap dapat ‘A’, paling koman pun B+. Apa nak hairan? Hazry Izhar, anak tunggal pasangan arkitek terkenal, Ar. Hanifah dan Ar. Haziah. Firma arkitek milik mereka, H&H Associates sudah banyak kali memenangi anugerah peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Jadi, ke manalah tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Hazry memang mewarisi bakat ibubapanya. Cuma, Hazry lebih suka bersikap main-main dan suka buat kerja pada waktu-waktu terakhir.
Rina mengelamun seketika. Sehinggalah satu suara mengejutkannya. Pantas Rina berpaling. Dia agak terperanjat bila melihat seorang lelaki, berdiri di belakangnya sambil tersenyum manis.
“Cari siapa?” tanya Rina sambil bangun dan berdiri di sisi meja. Eh? Macam pernah tengok aje muka dia ni? Berkerut kening dan dahi Rina mengamati lelaki di depannya ini. Orangnya kacak, bertubuh tinggi dengan kulit sederhana cerah serta berkacamata. Airmukanya nampak galak bila tersenyum manis begitu. Siapa ya?
“Rina Azia?” tanya lelaki itu dengan mata sedikit mengecil bersama sekuntum senyum di bibir. Terserlah lesung pipit di pipi kirinya. Manis… dan Rina bagaikan terpukau memandangnya.
“Err… sayalah Rina. Kenapa?” Rina masih berkerut dahi, masih cuba memerah otak untuk mengingati di manakah mereka berjumpa sebelum ini.
“Wan Azfarel bin Wan Sulaiman.” Ringkas sahaja lelaki itu memperkenalkan diri dengan senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.
Rina kaget, terus terbangun dari duduk. Hah?! Ini ke Wan Azfarel yang selalu chatting dengan aku tu? Terketar-ketar tangannya menyambut huluran tangan Wan Azfarel dan kemudian mempelawa lelaki itu duduk.
“Rel mengganggu Rina ke?” tanya Azfarel bila melihat Rina kelam kabut satu macam. Sekejap pensel terjatuh. Sekejap membuka laci tetapi tidak pula mengambil apa-apa. Sekejap bangun mengambil buku di meja sebelah. Serba tidak kena nampak gayanya.
“Eh, tak! Rina gabra sikit sebenarnya.” Rina berterus-terang dan dalam masa yang sama jadi segan. Hendak membahasakan nama sendiri pun terasa janggal walaupun semasa chatting dia dan Azfarel begitu mesra menggunakan panggilan nama. Sungguh, dia tidak biasa duduk bersama lelaki lain. Selama ini hanya Hazry sahaja yang berani rapat dengannya. Sekarang, di depannya, duduk seorang lelaki dari fakulti lain, yang bersifat matang dan jauh berbeza daripada perangai kebudak-budakan Hazry.
“Sorry, kalau Rina tak senang, Rel balik dululah ya?” Azfarel bangun dari kerusi. Dia tidak sampai hati melihat Rina menggelabah satu macam dan nampak tidak selesa dengan kehadirannya yang sudah tentu tidak pernah diundang.
“Eh? Tak apa… Rina okey. Cuma terkejut aje.” Rina berusaha memaniskan muka.
Mendengarkan pengakuan Rina, Azfarel perlahan-lahan kembali duduk. Matanya masih tidak lepas memerhati seraut wajah Rina Azia. Wajah itu cantik tetapi perlakuannya nampak sedikit kasar. Namun tidak sukar untuk Azfarel meneka maksud debaran di dada. Hatinya sudah jatuh suka pada Rina.
“Macam mana Rel tahu datang ke sini? Tak susah ke nak cari?” Rina mengajukan soalan yang terlintas di fikirannya. Cuba untuk menghidupkan suasana yang seakan mati.
“Malu bertanya sesat berjalan,” jawab Azfarel ringkas tapi penuh makna.
Sudahnya Rina tersipu malu. Alahai… kenapa aku ni? Tak pernah tengok lelaki ke? Rina cuba memujuk hatinya yang semakin menggelepar. Perasaan ini tidak sama dengan perasaannya ketika bersama Hazry. Lain sungguh! Malah Rina dapat merasakan kulit pipinya panas setiap kali bertentang mata dengan Azfarel.
“Kalau Rina tak boleh buat kerja, jom kita pergi makan. Tinggalkan dulu kerja tu. Lagipun Rel nak beli barang sikit dekat Taman U,” pelawa Azfarel bersama senyum menguntum di bibir. Terasa lucu apabila melihat Rina yang nampak semakin tidak tentu arah.
Rina diam memikir seketika. Pergi Taman U? Elok juga, boleh aku beli bahan nak buat model bangunan. Perlahan-lahan Rina mengangguk tanda setuju.
Sangka Rina, mereka akan pergi ke Taman U dengan menaiki motosikal kerana sebelum ini Azfarel mengatakan dia sekadar mempunyai sebuah Honda EX5 buruk. Dan Azfarel memang mempunyai sebuah Honda ‘EX’ tetapi bukan motor sebaliknya sebuah kereta Honda EX berwarna keemasan. Alamakk… dia ni pun anak orang senang ke? Rina gelisah sendiri. Tetapi gelisahnya sekejap sahaja. Dia kembali mengamati wajah Azfarel. Hatinya betul-betul yakin, mereka pernah bertemu sebelum ini.
“Kenapa Rina tenung Rel macam tu?” tanya Azfarel ketika memandu keluar dari perkarangan UTM.
“Rina rasa macam pernah tengok Rel sebelum ni, tapi dah tak ingat kat mana.” Rina menggaru-garu sedikit dahinya.
Azfarel diam tidak menjawab, membiarkan Rina masih tertanya-tanya. Hanya senyumannya sahaja yang tidak kunjung pudar. Membuatkan wajahnya semakin tidak jemu dipandang Rina.
“Kita memang pernah jumpa kan?” gesa Rina dengan rasa curiga. Gambar kecil yang pernah diberikan Azfarel sebelum ini tidak begitu jelas. Bila sudah bertemu secara bersemuka, Rina yakin dia pernah bertemu dengan Azfarel sebelum ini.
Melihatkan kerut di muka Rina yang seakan tidak mahu surut, Azfarel akhirnya melepaskan tawa. Lucu melihat wajah Rina begitu. Bila melihat Azfarel ketawa, hati Rina semakin mengesyaki sesuatu cuma dia tidak begitu pasti tentang apa.
“Birthday Anita dekat Hotel Eden, tahun lepas.” Azfarel senyum di hujung kata. Tidak menjelaskan lebih lanjut, kerana dia tahu, Rina pasti akan dapat mengingatinya.
Mata Rina terus membulat. Hah? Birthday Anita? Wan Anita… Wan Azfarel… takkanlah mereka adik beradik kut? Bin dan binti lain-lain. Wan Anita binti Wan Ahmad, Wan Azfarel bin Wan Sulaiman.
“Rel sepupu Anita…” Azfarel menokok apabila melihat Rina masih kebingungan. “Sepupu belah ayah.”
“Ohh… “ Akhirnya Rina mengeluh setelah teringatkan pertemuan dengan Azfarel suatu ketika dulu di parti harijadi Anita. Tetapi rasanya Azfarel yang di depannya ini lebih segak penampilannya. Tidak kelihatan berserabut seperti dulu.
**********************************************
PULANG dari makan dan membeli barang, Azfarel menghantar Rina sampai ke Fakulti Alam Bina. Mulanya dia ingin menemani Rina naik ke studio tetapi Rina beriya-iya menolak. Rina tiba-tiba ingin pulang ke Kolej Rahman Putra dan menyambung kerja di bilik sahaja. Lebih daripada itu, dia ingin menyoal siasat Anita sebenarnya.
“Boleh kita jumpa lagi lepas ni?” tanya Azfarel sambil tersenyum manis.
“Hmm… apa salahnya. Rina okey aje,” balas Rina dan turut tersenyum. Hatinya senang sekali dengan Azfarel. Sikapnya matang dan tutur katanya penuh sopan. Jauh berbeza dengan sikap dan layanan kasar Hazry.
Sebaik sahaja kereta Azfarel hilang dari pandangan, Rina berlari anak masuk ke dalam Kolej Rahman Putra. Langkahnya dipanjangkan melangkau setiap dua anak tangga kerana ingin cepat sampai ke bilik di tingkat tiga.
“Nita!” Rina menerpa masuk ke dalam bilik, terus memeluk Anita yang kebetulan baru sahaja selesai solat Asar.
“Hishh… batal air sembahyang aku!” Anita pura-pura menepis, disambut dengan gelak tawa Rina.
“Mengadalah kau!”
“Ha, ada apa? Excited semacam aje kau ni?” soal Anita sambil tangannya ligat melipat mengkana.
“Excited kau kata? Aku nak marah kau sebenarnya, tau tak?” Rina mengecilkan mata dan pura-pura mempamerkan wajah serius.
Anita terkebil-kebil memandang Rina. Tadi bukan main excited, sekarang serius pulak? Apa kena minah ni? Anita menggumam di dalam hati.
“Kau duduk sini!” perintah Rina sambil menarik tangan Anita dan memaksanya duduk di birai katil.
Cemas juga hati Anita bila melihat wajah Rina begitu serius tanpa sepalit senyuman pun di bibirnya.
“Sebenarnya kau kenal siapa Wan Azfarel Wan Sulaiman yang chatting dengan aku tu kan?” Rina mula menyoal.
“Eh? Mana aku kenal! Kau ni pandai-pandai aje! Siapa entah Wan Azfarel Wan Sulaiman tu…” Anita pantas menyangkal.
“Tipu!” Rina melepaskan cubitan pada paha Anita membuatkan gadis itu terjerit kecil. Rina masih tidak mahu melepaskan Anita. Satu lagi cubitan hinggap di bahu Anita pula.
“Okeylah! Okeylah! Aku mengaku!” jerit Anita sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya ke atas. Dia tidak rela lagi menjadi mangsa cubitan berbisa Rina.
Rina mengalih tangan dan berpeluk tubuh memandang Anita dengan senyuman sinis. “Tau pun takut! Sekarang, aku nak kau ceritakan semuanya!”
“Azfarel tu sepupu aku!” Akhirnya Anita mengaku jua.
“Tapi apsal kau cakap tak kenal bila aku tanya kau dulu, masa aku mula-mula chatting dengan dia?” sampuk Rina sedikit geram. Dia tahu, ada komplot yang dirancang oleh Anita. Kalau tidak, masakan Azfarel tahu banyak perkara tentang dirinya. Sampaikan minuman kegemarannya pun Azfarel tahu.
“Abang sepupu aku tu suka sangat kat kau. Masa mula-mula dia tengok kau dulu, dia dah suka tapi masa tu dia tak berani lagi nak tegur kau. Akulah yang bagi nickname kau pada dia, supaya dia dapat cari dan borak dengan kau secara online. Sebab dia nak kenal sangat dengan kau tapi segan nak tegur. Sorry ya Rina?” cerita Anita dengan wajah takut-takut. Bimbang jika teman baiknya itu akan naik angin setelah mengetahui cerita yang sebenarnya.
“Pandai kau ya? Diam-diam kau kenakan aku,” Rina mengerling ke arah Anita.
“Ala, takkan kau marah kut? Tak rugi pun kalau aku kenakan kau. Dia tu handsome apa! Macam Diether O’Campo! Dia ramai peminat tau!” Anita cuba mengenen. Sudah jadi kegemarannya membandingkan rupa lelaki yang dikenali dengan selebriti.
“Itulah kerja kau, semua lelaki kau nak samakan dengan pelakon. Aku marah ni! Dah berbulan aku chatting dengan dia. Haram aku tak tahu dia tu sepupu kau. Siap kau boleh buat derk aje bila aku tanya kenal tak dia tu. Tak kenal konon! Padahal, sepupu!” Rina sengaja memuncungkan muka tanda merajuk dengan Anita.
“Aku saja nak tolong memanjangkan tautan ukhwah. Yelah… manalah tau ada jodoh kau dengan dia, bolehlah lepas ni kita jumpa selalu.” Anita ketawa mengusik.
“Yelah tu! Kau tau tak, aku terperanjat beruk bila dia bagitau aku tadi, dia pernah couple sekejap dengan Elisha. Masa birthday party kau tu, diorang baru aje clash!”
“Hah?!” Anita terjerit. Melopong mulutnya memandang Rina. Berita itu benar-benar memeranjatkan.
“Apsal kau?”
“Aku tak tahu pun pasal ni?” kata Anita dengan wajah sungguh-sungguh. Dia memang tidak tahu-menahu langsung tentang itu. Patutlah dulu sepupunya itu serabai satu macam, mengalahkan orang mati bini. Rupa-rupanya putus kasih dengan Elisha! Pandai betul dia sorok dari aku! Jaga dia! Detik hati Anita.
“Padan muka kau! Ingat serba tahulah tu.” Rina mengejek Anita yang masih terbeliak biji mata kerana terlampau terkejut.
Anita masih terasa sukar untuk menerima cerita itu. Mulutnya cepat-cepat dikatup bila gelak ketawa Rina mula menguasai ruang bilik mereka.
“Eh, dah tu kau dengan Azfarel macam mana?” tanya Anita dengan penuh minat, mengalih topik perbualan.
“Macam mana apa?” Rina pura-pura tidak mengerti sedangkan hatinya tiba-tiba rasa cukup senang bila mendengar nama Azfarel disebut. Dia suka benar hatinya diusik rasa riang bila mengingati pertemuan dengan Azfarel tadi.
“Elehh… takkan kau nak tunggu si Hazry Izhar yang bongak tu?” sindir Anita.
“Eh, tak ada kuasalah aku. Dulu memanglah aku suka pada Hazry tu. Maklumlah dia aje lelaki dalam hidup aku, yang selalu lalu-lalang depan mata aku. Jadi aku pun sukalah kat dia. Tapi itu dulu, okey?” kata Rina sambil tergelak kecil.
Lucu bila mengenangkan dia selalu meluahkan perasaan pada Anita tentang Hazry suatu ketika dulu. Dia cukup suka berdampingan dengan lelaki itu. Tetapi bila Hazry sekadar melayan tidak lebih sebagai seorang kawan, perasaan istimewa di hati Rina itu semakin lama semakin pudar dengan sendirinya.
“Aku sayang kau Rina. Tapi sayang aku tak lebih dari sayang kepada seorang kawan. Kalau lebih pun, macam adik beradik. Tapi walau macam mana pun aku juga tak mahu kau hilang dari hidup aku. Agaknya mungkin ini yang dinamakan cinta platonik.”
Rina masih ingat akan kata-kata Hazry ketika dia memberanikan diri meluahkan rasa sayangnya pada lelaki itu. Biarpun malu, namun Rina bersyukur kerana Hazry tidak mempersendakannya. Dan persahabatan mereka tidak terputus hanya kerana luahan berani mati Rina. Malah mereka semakin erat bersahabat, berkongsi segala suka dan duka.
“Habis tu, kau suka tak pada Azfarel tu?” Anita mendesak ingin tahu, memecahkan lamunan Rina.
“Hishhh… kau ni, kepohlah!” Rina bingkas bangun lalu mencapai tuala. Enggan melayani karenah Anita.
“Oii, minah, kau nak ke mana tu? Soalan aku tak dijawab lagi!” Anita separuh menjerit. Geram bila soalannya diabaikan oleh Rina.
“Nak mandi!” jawab Rina sambil menyembunyikan senyuman penuh makna di sebalik tuala.
Masih terlalu awal untuk dia memastikan perasaan sebenar terhadap Azfarel biarpun bunga-bunga keriangan sudah mula menghiasi hatinya. Cinta pandang pertamakah ini?
*****************************************
WAJAH Rina Azia semakin kerap bermain di segenap ruang fikiran Azfarel. Dapat bertemu dengan gadis itu siang tadi amat memberi makna pada dirinya. Sudah lama dia memendam rasa untuk berkenalan dengan Rina sejak pertama kali melihat gadis itu di majlis harijadi Anita tahun lepas. Terus hilang wajah Elisha yang pernah menjadi kekasihnya.
Suka betul dia memerhatikan pergerakan dan telatah Rina yang kelihatan begitu riang di sisi Anita. Gadis itu adakalanya nampak sedikit kasar, tetapi tetap terselit keayuan pada dirinya. Lebih-lebih lagi setiap kali Rina membetulkan anak rambut yang berjuntaian di dahi dan sekali-sekala membelai tocang ekor kudanya yang mencecah bahu. Nampak juga lemah-lembutnya dan memikat. Tambah cantik bila Rina tersenyum menawan.
Tiba-tiba telefon bimbit Azfarel berdering. Berkecai segala khayalan. Lantas dia mengambil telefon bimbit yang terdampar di atas katil. Tertera nama Anita pada skrin. Terus Azfarel menekan butang menjawab.
“Abang Rel!” Terdengar suara Anita menjerit di hujung talian. Belum pun mendengar penjelasan Anita, Azfarel sudah tergelak besar. Hatinya sudah dapat meneka apa yang ingin disampaikan oleh Anita. Tentunya berkaitan dengan Rina.
“Apa Rina dah buat pada Nita?” soal Azfarel.
“Kena cubitlah! Dia minah cubit tau! Sikit-sikit nak cubit. Tangan dia tu berbisalah. Sakit betul kalau dia cubit!” adu Anita dengan suara manja.
“Kesian…” Hanya itu yang mampu Azfarel katakan dalam sisa tawanya.
“Apsal Abang Rel mengaku cepat sangat? Orang bagilah lama sikit dia tu terkena. Seronok jugak kalau dapat tengok dia terkena sekali-sekala.”
“Abang tak sampai hatilah. Muka dia tu cun sangat, buat abang tak sampai hati nak bohong lagi,” jawab Azfarel sambil tersenyum membayangkan wajah Rina.
“Eleh… abang Rel ni, hati kalau dah suka, macam tulah. Minah senget macam Rina tu pun abang Rel boleh kata cun!” Anita menyindir dalam gurauan membuatkan Azfarel ketawa gelihati.
“Dah memang dia cun. Kalau dia pakai baju kurung, mesti lagi cun kan, Nita?” kata Azfarel sambil cuba membayangkan Rina berbaju kurung. Rina kelihatan terlalu simple bila sekadar berseluar jeans dan t-shirt. Menenggelamkan kelembutan wajahnya. Manakala rambut lurusnya lebih senang ditocang ekor kuda.
“Sudahlah abang Rel. Suka sangat berangan lebih-lebih. Agaknya masa dengan Elisha dulu, ada tak abang Rel bayangkan minah seksi tu pakai baju kurung, bertudung litup?”
Azfarel agak terkejut. “Eh? Pasal Elisha pun dia bagitau Nita ke?”
“Yelah! Nasib baiklah Rina tu sahabat yang sudi berkongsi rahsia, kalau tidak, sampai bila-bila pun Nita tak tau abang Rel pernah couple dengan minah model tu.” Anita pura-pura marah.
Azfarel tergelak tetapi kedengaran hambar. Memang sengaja dia merahsiakan perhubungan dengan Elisha daripada pengetahuan Anita. Gerak hatinya seolah-olah memberitahu hubungan itu tidak akan bertahan lama. Tak sampai dua bulan. Mujur juga dia belum sampai peringkat cinta separuh mati tetapi kecewa memang terasa bila Elisha lebih memandang kebendaan.
Nasib baiklah Elisha tidak mengetahui tentang latarbelakangnya. Mungkin jika Elisha tahu bahawa dia sebenarnya berasal dari golongan berada, tentu gadis materialistik itu masih bersamanya hingga kini. Dengar cerita Elisha sekarang sedang hangat bercinta dengan Hazry Izhar, pelajar paling kacak dan terhangat di Fakulti Alam Bina. Rupa-rupanya lelaki itu pula merupakan teman baik Rina. Hai, kecilnya dunia ini…
“Abang Rel!” Panggilan Anita mengecaikan lamunan Azfarel.
“Ada apa Nita manja?”
“Beranganlah tu! Ingat siapa? Rina? Elisha?”
“Nita, Elisha tu dah jadi sejarah. Abang pun dah malas nak ingat. Lagipun bukan lama kitorang couple. Kejap aje.”
“Kalau macam tu, pinang Rina lepas habis study nanti ya?” Anita tidak habis-habis mengusik.
“Sesedap mulut aje Nita ni. Abang Rel baru aje sekali keluar dengan dia, takkan nak terus masuk meminang?” tingkah Azfarel.
“Ala, Rina tu baik tau. Kalau abang Rel takut ummi dengan ayah marah, Nita boleh tolong back-up.” Anita semakin galak mengusik.
“Iskk… Sudahlah Nita. Tak laratlah abang nak layan Nita ni! Makin menjadi-jadi pulak!” Akhirnya Azfarel mengalah. Terdengar Anita ketawa mengekek tanda kemenangan.
"Okeylah. Kita jumpa dekat Fakulti esok ya? Ada banyak lagi benda tak habis nak cerita ni. Bye!”
“Bye!”
Talian sudah dimatikan tetapi senyum di bibir Azfarel masih menyimpul, bagaikan tersimpul mati. Tersenyum mengenangkan keletah Anita dan terkenangkan wajah Rina.
Anita merupakan satu-satunya sepupu perempuan yang rapat dengan Azfarel. Lebih-lebih lagi bila Anita melanjutkan pelajaran di UTM. Juga di dalam bidang yang sama dengannya. Membuatkan mereka semakin rapat.
Sekarang bertambah lagi sebab untuk mereka semakin akrab. Rina Azia. Teman baik Anita. Dan mungkin menjadi kekasih hati?. Tanpa sedar, senyuman di bibir Azfarel makin melebar bila membayangkan kemungkinan itu. Hatinya sudah terpaut pada Rina Azia. Azfarel tersenyum panjang.
Memang ini cinta pandang pertama!