EDDY EZLI dan Khairina berkahwin di luar negara ketika mereka masih bergelar pelajar. Malangnya, ketika anak mereka, Afizan berusia dua bulan, Khairina berlaku curang kerana desakan hidup di rantau orang.
Akibat mengejar cinta lain, Khairina meminta cerai dan hak penjagaan anak diserahkan kepada Ezli. Kerana dikecewakan, Ezli menutup pintu hatinya untuk menerima kehadiran wanita di dalam hidupnya.
Namun, permulaan yang tidak diduga telah menemukan Ezli dengan Iryanie yang diupah untuk mengasuh Afizan. Ibu Ezli terpaut dengan layanan mesra yang ditunjukkan oleh gadis itu.
Hubungan Iryanie dan Afizan semakin rapat sehingga anak itu selesa memanggilnya ‘mama’. Akhirnya, Ezli patuh pada fitrah manusia bahawa dia amat memerlukan ibu untuk anaknya dan teman buat dirinya. Cinta dan rindunya mula berputik terhadap Iryanie.
Namun, kemunculan semula Khairina untuk merampas Afizan telah membuatkan Ezli hidup dalam kebimbangan. Pelbagai cara digunakan oleh wanita itu dalam mendapatkan kembali anak itu daripada Ezli.
Konflik dan krisis bagai tak berkesudahan sehingga terbawa ke kamar mahkamah. Namun, dapatkah mereka menerima keputusan pengadilan yang akan melukakan salah satu hati?
***********************************
1
BALIK kampung?!
Eddy Ezli tersentap. Terhenti tangannya dari terus menyuap nasi. Tidak percaya mendengar kenyataan yang keluar dari mulut emaknya, Faridah. Terasa bagai kata emaknya itu seperti kuasa ghaib menjerut leher. Mulalah Ezli menggelabah. Habislah kalau mak balik kampung! Siapa nak jaga Afi? Kenapa tiba-tiba pulak mak nak balik kampung? Satu per satu soalan menerjah mindanya.
“Mak… jangan main-main mak!” Ezli mula tidak senang duduk. Berkerut-kerut mukanya memandang Faridah. Tidak tertelan nasi dibuatnya. Tumpul selera pada lauk kegemaran yang terhidang di atas meja.
“Main-main apanya? Mak memang nak balik kampung. Tak tahanlah mak nak duduk sini lama-lama,” kata Faridah selamba.
“Ala… takkan duit yang Ezli bagi tiap-tiap bulan tu tak cukup, mak?” Ezli cuba mengungkit. Sekarang ini, apa jua isu akan dijadikan umpan untuk menghalang niat emaknya itu.
“Isk… bertuah punya anak! Kamu ingat mak ni orang gaji kamu ke? Itulah, mak suruh kahwin lain kamu tak nak! Mak dah rindu sangat kat rumah di kampung. Cukuplah empat tahun mak duduk sini jaga kamu dan Afi. Mak nak balik!” jerkah Faridah. Bukan mahu marah tetapi sengaja menggertak anak lelaki bongsunya itu.
“Mak!” Ezli terjerit kecil. Seleranya mati terus. Sampai hati mak! Ezli segera mencuci tangan. Beberapa helai tisu ditarik kasar sebagai tanda protes. Kemudian meneguk air suam. Selepas itu memandang wajah Faridah dalam-dalam. Dicemikkan sedikit riak wajah agar dapat memancing simpati Faridah.
“Mak janganlah risaukan sangat rumah kat kampung tu. Kak Erni kan ada boleh tengok-tengokkan rumah tu? Sebelah rumah aje, takkan kakak tak boleh tolong?” Ezli cuba memujuk. Teringat pada satu-satunya kakak yang dia yang ada, yang tinggal di kampung mereka di Taiping.
“Kak Erni kamu tu ada tanggungjawab lain. Dia pun kena jaga keluarga sendiri. Takkan nak harapkan dia semata? Mak ni teringin jugak nak bela ayam itik macam orang lain kat kampung tu.” Faridah berdalih dengan alasan yang sangat tipikal tetapi berbaur lucu.
“Ala, ayam itik yang mak fikirkan? Mak tak sayang Afi ke?” Ezli memancing menggunakan Afizan. Anaknya yang bakal berusia tujuh tahun itu tidak mempedulikan apa yang sedang dibicarakan. Masih rancak menyuap nasi ke mulut. Masakan opah yang sedap selalu sahaja membuatkan Afizan lupa diri dan tidak peduli pada apa yang berlaku di sekeliling.
“Sayang!” balas Faridah ringkas.
“Habis tu? Mak… lagi dua minggu Afi dah nak masuk darjah satu. Manalah Ezli larat nak buat semuanya seorang diri. Kalau mak balik, siapa nak uruskan Afi? Mak pun tau Ezli takkan hantar Afi pergi nursery,” rayu Ezli terus-terusan meminta simpati.
Faridah mengeluh. Bukan dia tidak tahu akan hakikat bahawa cucu lelakinya itu akan memasuki sekolah rendah tidak lama lagi. Tapi dia sendiri tidak tahu mengapa, sejak kebelakangan ini hatinya sering terpanggil untuk menetap kembali di kampung. Ingin selalu menjenguk pusara arwah suaminya, Elyas.
“Mak tak sayangkan Ezli ke?” Gagal menggunakan Afizan, Ezli memancing menggunakan diri sendiri pula.
“Ini bukan soal mak tak sayang kamu, Ezli. Mak sayang sangat kamu. Tapi mak ni dah tua. Bukan boleh menjaga kamu dan Afi sepanjang masa. Kamu kahwin ajelah Ezli. Maya kan dah lama jadi kawan kamu? Nak tunggu apa lagi? Dah tiba masa kamu kahwin dan bagi Afi seorang ibu.” Faridah pula memujuk. Teringatkan kawan perempuan Ezli yang bernama Maya. Hanya sekali sahaja mereka bertemu. Tetapi Faridah tahu, Maya sering menghubungi Ezli tambahan pula mereka satu tempat kerja.
“Mak, Maya tu kawan Ezli aje. Bukan special pun dia dalam hidup Ezli,” kata Ezli dengan wajah serius. Sebetulnya dia memang hanya menganggap Maya sebagai kawan. Tidak pernah lebih dari itu. Tetapi Maya pula yang perasan lebih!
“Opah nak suruh abah kahwin dengan auntie Maya? Afi tak sukalah auntie Maya tu!” sampuk Afizan sambil memuncungkan bibir.
Faridah menggeleng kepala. Cucunya itu sudah pandai memilih bulu. Samalah macam perangai Ezli!
“Ha… mak tengok, Afi sendiri tak suka Ezli kahwin dengan Maya,” tokok Ezli bersama riak kemenangan bila Afizan memberi sokongan.
“Mak tak kira! Samada kamu kahwin atau kamu cari aje orang gaji. Mak nak balik kampung. Kalau payah sangat, biarkan saja Afi ikut mak balik dan sekolah di kampung.” Faridah bertegas..
“Mak!” Ezli terjerit. Tetapi tidak mampu meneruskan kata. Sudah kehabisan idea untuk menghalang niat emaknya.
Faridah meneruskan suapan. Pura-pura tidak melihat raut wajah Ezli yang semakin mendung. Faridah tahu Ezli tidak akan rela andai Afizan mengikutnya pulang ke kampung. Dia pernah menjaga Afizan di kampung sekembalinya dua beranak itu dari Boston. Tetapi Ezli dan Afizan sering sahaja demam rindu bergilir-gilir. Kedua beranak itu sukar dipisahkan. Mereka terlalu rapat. Kadang-kadang kelihatan seperti adik dengan abang bila mereka bergurau senda. Maka terpaksalah dia mengikut kehendak Ezli berpindah duduk di Shah Alam.
Tapi kali ini, dia benar-benar mahu Ezli kembali berdikari menguruskan rumahtangga. Tidak lagi mengharapkan bantuannya. Kalau dulu Ezli mampu menghadapi sendiri semua masalah kenapa sekarang tidak?
Cuma satu doanya, agar pintu hati Ezli kembali terbuka untuk menerima seorang perempuan sebagai suri hidup.
2
WAJAH Ezli yang muram tanpa suara itu mengundang tanda tanya di hati Fuad. Sejak tadi, hanya dia sahaja yang rancak berbual. Sedangkan Ezli diam tidak berkata apa. Teh tarik di depannya juga tidak luak langsung. Hingar bingar suasana Restoran Ali’s Corner, Seksyen 13 Shah Alam, seakan tidak dihiraukan. Ezli seperti hanyut dalam dunianya sendiri. Seperti sedang memikirkan satu masalah besar.
“Oii, kau fikir apa? Fikir pasal program wireless baru tu ke?” usik Fuad, menarik kembali Ezli keluar dari alam khayalan. Cuba menduga apatah lagi bila teringatkan arahan pihak atasan mahu mereka para Jurutera Rangkaian merangka program tanpa wayar baru yang lebih hebat dan maju bagi menyaingi pasaran tanpa wayar sedia ada.
“Dah habis waktu dan kat luar ofis ni, aku tak fikirkan pasal kerja lagi dah,” tekan Ezli sambil membetulkan duduk. Barulah mahu menghirup teh tariknya.
“Habis tu, serius benar muka kau? Macam fikir masalah negara aje,” tokok Fuad lagi bersama senyum mengusik.
“Aku fikir masalah rumahtangga ni.” Ezli mengerutkan dahi bagi menunjukkan betapa seriusnya masalah yang sedang dihadapi.
“Wow! Eddy Ezli ada masalah rumahtangga! Sejak bila pulak kau berumahtangga ni? Status duda kau ke mana?” Fuad tambah seronok menyakat.
“Iskk… kau ni! Melalut pulak. Aku tengah bermasalah ni. Mak aku nak balik kampung!” Akhirnya Ezli berterus-terang agar Fuad berhenti mengusiknya.
“Mak kau nak balik kampung pun jadi masalah besar pada kau ke?” soal Fuad pura-pura tidak memahami situasi yang dialami Ezli.
“Memanglah akan jadi masalah kat aku. Dua minggu lagi Afizan dah nak masuk sekolah. Siapa nak uruskan Afi kalau mak aku balik kampung? Tak terkejar aku nanti. Aku tak nak anak aku terabai macam dulu lagi.” Ezli meluahkan, pada Fuad yang sudah tahu rencah hidupnya sejak dulu lagi.
“Kau pening kepala fikir masalah kecik macam tu kenapa? Engkau ni pun satulah. Umur dah 29, kang aku cakap kau lembab, kau marah pulak. Apa susah? Kahwin ajelah lagi. Selesai masalah!” Fuad tersenyum bangga di hujung kata. Seolah-olah terasa hebat kerana berjaya memberikan cadangan penyelesaian yang bijak.
Ezli menjeling tajam. Itulah cadangan yang paling tidak digemarinya. Kahwin… lagi lagi kahwin. Dah tak ada agenda lain ke dalam hidup selain daripada kahwin? Apa, kesempurnaan hidup hanya boleh diukur jika seseorang itu berkahwin? Ah… dulu hidupnya tetap tidak sempurna walaupun sudah berkahwin ketika itu! Huru-hara macam hidup dalam neraka. Ada isteri tetapi tetap terseksa jiwa dan raga menguruskan sendiri kebajikan anak.
“Maya dah lama menagih cinta kau. Kau kahwin ajelah dengan dia. Kalau betul dia cintakan kau, dia mesti sanggup jaga Afizan,” cadang Fuad lagi.
Di mata Fuad terbayang keletah Maya, pembantu jurutera yang tidak pernah jemu memburu cinta Ezli, duda muda anak seorang itu. Status duda disandang oleh Ezli tidak pernah menggugat minat perempuan yang cuba mendampingi kerana Ezli adalah lelaki yang punya rupa menarik dan berkerjaya tetap dengan kewangan stabil.
“Ad, kau dah kenal aku lama kan? Kau pun tau kisah aku macam mana. Aku tak akan kahwin lagi selagi belum berjumpa dengan perempuan yang sayang anak aku macam anak sendiri dan paling penting, betul-betul cintakan aku! Dan aku tak terfikir langsung nak kahwin dengan Maya! Dia bukan pilihan aku!” tegas Ezli dengan wajah seriusnya.
“Huh, rugilah orang handsome macam kau ni kalau menolak tak nak kahwin lagi. Kalau akulah, itu aku jadikan aset untuk pikat mana-mana perempuan yang aku berkenan,” bangkang Fuad sungguh-sungguh. Prinsip Ezli itu kedengaran agak konservatif untuk seorang lelaki moden sepertinya.
“Tak ada maknanya rupa yang kau kata handsome ni. Rupa handsome bukan jaminan untuk hidup bahagia. Kau tengok apa jadi kat aku yang kau kata handsome ni, bergelar duda jugak! Kena tinggal dengan bini jugak!” tegas Ezli mengingatkan Fuad pada nasib yang menimpa dirinya.
“Siapa suruh kau gatal kahwin cepat!” Fuad menyelar dalam nada menyindir.
Sudahnya Ezli tersandar di kerusi. Kalah berdebat dengan Fuad. Ya, memang dulu dia yang gatal kahwin muda. Asyik mahsyuk bercinta sampai tak ingat dunia. Seawal usia 21 tahun dia sudah bergelar suami orang. Dan seawal usia 22 tahun, dia sudah bergelar duda anak seorang! Semuanya kerana terlalu menurut perasaan. Cinta suci konon!
“Macam nilah… kau cari ajelah orang gaji. Aku pun tahu kau tak akan senang-senang kahwin lagi. Saje nak usik bagi kau tertekan sikit,” gurau Fuad. Dia akhirnya tidak mahu lagi menekan Ezli. Dia cukup tahu perit jerih Ezli bergelar duda. Maka Ezli tidak akan kahwin lagi semudah memetik jari.
“Habis tu kau ingat aku akan senang-senang dapat orang gaji dalam masa yang singkat ni? Iskk… kalau orang gaji mesti warga asing. Tak relalah aku duduk serumah dengan diorang!” Ezli sengaja mencemikkan muka tanda tidak senang. Kalau boleh dia tidak mahu ada orang asing mahupun warga asing dalam rumahnya.
“Kau buatlah iklan! Tampal kat bus stop, kat tiang lampu kat kawasan rumah kau tu. Manalah tau kut-kut ada makcik-makcik kat situ yang nak jadi orang gaji kau?” Fuad mengusulkan idea.
“Lecehlah!” keluh Ezli, kurang bersetuju dengan idea Fuad. Berkerut-kerut keningnya sambil menggigit ibu jari kanan memandang Fuad dengan pandangan mencerun. Seolah-olah berat benar kerja mengiklankan itu.
“Eee… kau ni kan, memang anak mak lah! Kalau susah sangat, biar aku tolong iklankan. Kau suruh ajelah mak kau buat sesi temuduga nanti. Biar mak kau sendiri pilih orangnya.” Fuad menawarkan bantuan secara tidak langsung memberi cadangan bernas untuk Ezli.
Ezli tersengih. Memang sengaja dia berdalih dan mengeluh kesah kerana dia tahu Fuad tidak akan teragak-agak membantunya.
“Terima kasih kawan! Kau memang sahabat sejati aku!” Ezli menepuk-nepuk bahu Fuad.
Fuad pura-pura mencemik.
***********************************************
“I dengar you tengah cari orang gaji ya?” Maya bertanya dalam suara teramat lembut. Duduknya bertenggek di hujung meja Ezli. Memandang tanpa jemu ke wajah Ezli. Dia paling suka menjamukan matanya dengan ketampanan Ezli.
“Hmm… mak aku nak balik kampung,” jelas Ezli tanpa memandang wajah Maya sebaliknya terus menumpukan perhatian pada skrin komputer.
“Itulah, I ajak kahwin, you tak nak!” getus Maya dalam nada merajuk pula. Mengharapkan Ezli memujuk walau sedar harapannya amat tipis.
Ezli menggaru-garu hujung keningnya. Pasal kahwin lagi! “Ala… rimaslah cakap pasal kahwin!”
“You ni teruk tau! Langsung tak ada perasaan. Sampai bila you nak keras hati macam ni?” sela Maya kurang senang dengan sikap sambil lewa Ezli. Namun dengan Ezli, dia tidak kenal erti malu mahu jemu. Sedaya mungkin, dia cuba merapati Ezli. Dia mahu Ezli jatuh dalam genggamannya.
“Suka hatilah kau nak cakap apa pun.” Ezli berterusan dengan sikap acuh tidak acuhnya.
Maya merengus geram. Habis akal dibuatnya bila bercakap dengan Ezli. Ada sahaja jawapan Ezli yang pastinya sinis dan kadangkala boleh menghiris hati! “You tak kesian ke kat anak you tu, membesar tanpa kasih sayang seorang ibu?”
Kali ini Ezli mula berasa semakin rimas. Dia benci kalau orang lain mengungkit soal Afizan tiada kasih sayang ibu. Mereka cuma boleh bercakap sesuka hati tetapi tidak tahu apa yang dilaluinya selama ini. Dan rasanya Maya lebih berusaha memburu cintanya tetapi tidak pernah pula menampakkan usaha mahu memenangi hati Afizan. Markah untuk diri Maya kosong di situ sekaligus tersingkir terus dari menjadi pilihan.
“I betul-betul sayangkan you Ezli! I cintakan you!” Maya mengaku tanpa rasa malu. Pengakuan yang entah kali ke berapa. Sudah tidak terhitung lagi.
Seperti biasa, hati Ezli tidak tersentuh walau sedikitpun mendengar ungkapan keramat itu. Sebaliknya berasa muak. Dia sudah tidak percaya kepada kata janji manis perempuan yang hanya indah di bibir tapi belum tentu ikhlas di hati.
“Maya, aku tengah buat kerja ni. Boleh tak kalau kau tinggalkan aku sendirian?” Ezli bertanya dalam nada sedikit tegas. Kali ini melepaskan pandangan pada wajah cantik bersalut mekap milik Maya.
Renungan mata Ezli yang tajam membuatkan hati Maya berdegup kencang. Itulah yang dinantikannya. Suka saat Ezli memandang. Ezli kelihatan ‘garang’ bila merenung tanpa suara begitu. Tetapi itulah daya tarikan Eddy Ezli bin Elyas. He is an arrogant yet engaging young man with an infectious grin and classically tall, fair and handsome looks. Maya terus terbuai dalam perasaan sendiri memuji fizikal Ezli.
“Maya?” Ezli memanggil sambil memetik jari ke depan muka Maya bila melihat gadis itu seperti terpaku memandangnya.
Barulah Maya tersenyum tersipu-sipu. Tidak pula mahu berkata apa. Sebaliknya menjeling manja sebelum berlalu meninggalkan Ezli yang terpinga kehairanan.
“Gila!” getus Ezli spontan.
Kalaulah Maya mendengar, pasti hilang senyumannya!
3
DUM!!! Dentuman kuat itu amat mengejutkan Ezli. Bergegar Honda Civic EJ7nya menyebabkan dia terdorong ke depan, hampir tercium stereng. Mujur airbag tidak ‘meletup’ keluar. Kalau tidak pasti dia tersepit barang beberapa saat. Ezli segera memandang melalui cermin pandang belakang. Serentak dengan itu, darah Ezli mula berderau. Keretanya dilanggar dari arah belakang! Kurang ajar betul! Ezli sudah mahu mengamuk. Tidak sanggup membayangkan keadaan Honda EJ7 kesayangannya itu. Namun Ezli tetap bergegas keluar dan melihat sebuah Satria berwarna hijau melekap pada belakang keretanya. Serpihan kaca lampu dari kedua-kedua kereta bertaburan di atas jalan.
Ezli bercekak pinggang memandang belakang keretanya yang kemek! Kereta aku! Darah panasnya mula terasa membuak lantas dia berpaling ke arah pemandu Satria yang masih belum mahu keluar. Perempuan! Ezli menghampiri lalu mengetuk cermin tingkap Satria. Dia sudah tidak peduli lagi pada kereta-kereta yang membunyikan hon. Berlanggaran di persimpangan lampu isyarat memang menjadi tumpuan dan pastinya menyusahkan pengguna jalan raya lain.
“Keluar sekarang!” gesa Ezli agak garang.
Gadis yang memandu itu kelihatan takut-takut. Memandangnya dengan mata berkaca. Sebaik sahaja gadis itu keluar dan berdiri di sisi kereta, Ezli merenung tajam ke seluruh wajah gadis tersebut. Lawa! Mata gadis itu bulat bercahaya, beralis lentik, berhidung mancung, bergincu warna merah samar. Rambutnya diikat kemas ke belakang. Bertubuh ramping dan pakaiannya simple sahaja, t-shirt lengan panjang warna merah jambu dengan jean hitam tetapi kelihatan menyerlah kerana dia berkulit putih gebu. Akan tetapi Ezli tidak peduli itu semua. Tidak sedikitpun wajah sedih bersadur ketakutan yang dipamer oleh gadis itu berjaya mengait rasa simpatinya.
“Kau tak nampak ke lampu tengah merah? Kau ni reti bawak kereta ke tidak?” sembur Ezli melepaskan kegeraman. Sakit hatinya melihat bahagian belakang Honda EJ7 berwarna putih miliknya itu kemek.
“Maaf, brek kereta saya tak berfungsi,” tutur gadis itu dalam nada perlahan dan penuh ketakutan.
“Itulah orang perempuan, tau bawak kereta aje. Bukan reti nak check kereta okey ke tidak!” Ezli membebel.
“Maafkan saya. Saya memang tak sengaja.” Sekali lagi si gadis memohon maaf.
“Mana boleh maaf sahaja. Balai cerita! Atau kau nak aku heret kau pergi JPJ? Dah dekat sangat tu!” tegas Ezli garang. Sedikit mengugut. Menudingkan jari ke sebelah kiri, ke arah bangunan JPJ Padang Jawa yang terletak tidak jauh dari persimpangan lampu isyarat tersebut.
Gadis itu tersentak. Airmata yang bertakung di kelopak matanya kelihatan seperti mahu tumpah bila-bila masa sahaja. Jelas benar dia amat takut!
“Boleh tak kita selesai cara lain? Kalau bawa ke balai, nanti saya kena saman. Nak kena bayar kereta awak ni lagi. Saya tak ada duit!” rayu gadis itu.
“Aku peduli apa!” balas Ezli penuh angkuh.
Gadis tersebut kelihatan serba-salah. “Tunggu sekejap,” katanya perlahan. Sebentar kemudian dia membuka pintu kereta dan mengambil telefon bimbitnya. Ezli hanya memerhati gadis itu yang kelihatan mahu menghubungi seseorang.
“Hello abang… Yanie accident ni!”
Ezli mencerunkan mata. Memerhatikan gadis itu dari atas ke bawah. Dah kahwin ke dia ni? Muka nampak macam muda lagi. Bukan kereta dia ke ni? Ezli tertanya-tanya dan terus memerhati.
“Dekat traffic light bawah flyover Padang Jawa, nak menghala ke Shah Alam la... Yanie dah tak tau nak buat apa ni. Dia nak bawak pergi balai. Yanie takut, bang! Yanie nak mintak maaf, kereta abang dah kemek!”
Suara gadis yang membahasakan dirinya sebagai ‘Yanie’ itu kedengaran manja walau dalam nada kesedihan. Dan sesekali dia kelihatan menyeka airmatanya dengan hujung jari. Sah, dia mengadu pada suaminya! Kereta aku yang kemek ni tak diberitahunya pulak! Getus Ezli agak jengkel.
Tiba-tiba dia menghulurkan telefon bimbit kepada Ezli. Ezli menjeling tetapi tetap menyambutnya. Segera melekapkan telefon tersebut ke telinga bila memahami maksud gadis yang sudah tidak mampu untuk berkata lagi itu.
“Hello?” Terdengar suara garau seorang lelaki.
“Ya, hello. Apa cerita ni? Nak settle macam mana?” soal Ezli seolah-olah memahami apa yang ingin dibicarakan oleh lelaki di hujung talian. Namun mata tajamnya tetap terarah pada wajah si gadis. Melekap pada sepasang mata cantik mencelak milik ‘Yanie’.
“I Zamri, tuan punya kereta tu. Sekarang ni I outstation, di Melaka. Kalau boleh, you baiki dulu kereta you dan bawak bil jumpa I nanti. You ambil alamat ofis I di KL dan nombor telefon I.”
Ezli segera mengambil buku nota kecil dari dalam kereta dan mencatatkan alamat serta nombor telefon yang diberitahu oleh lelaki itu. Selepas menamatkan perbualan, Ezli menghulurkan kembali telefon bimbit kepada ‘Yanie’.
“Siapa nama kau? Bagi aku nombor telefon kau!” pinta Ezli dalam nada tegas. Sambil itu dia turut mencatatkan nombor pendaftaran kereta Satria tersebut.
“Iryanie,” jawab si gadis takut-takut sebelum menyebut satu per satu nombor telefon bimbitnya.
Sebaik sahaja merekodkan nombor itu ke dalam telefon bimbitnya, Ezli cuba mendail. Iryanie kelihatan tersentak bila telefon bimbitnya berdering. Ezli tersenyum sinis.
“Aku cari kau sampai dapat, kalau hal ni tak settle!” kata Ezli penuh amaran sebelum masuk ke dalam keretanya dan memandu pergi dari situ saat lampu kembali hijau entah buat kali keberapa sejak mereka bertingkah di situ.
Iryanie terpinga-pinga. Memandang Satria yang kemek sebelum airmatanya mengalir dengan laju.
*****************************************************
MENUNTUT janji yang dikatakan, Ezli datang menemui Zamri di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Rupanya lelaki itu adalah Pengurus Insurans Prudential Fund Management Berhad. Kebetulan pula hari ini Ezli ada urusan rasmi di ibu pejabat Maxis KLCC. Maka kesempatan itu digunakan untuk terus berjumpa Zamri. Setiausaha Zamri membawa Ezli ke bilik lelaki itu. Seorang lelaki lingkungan usia pertengahan 30-an, menyambut mesra. Segak orangnya. Berkumis nipis dengan kacamata jernih tertenggek di batang hidungnya yang sederhana mancung. Sesuailah gayanya itu dengan tugas sebagai pengurus syarikat insurans terkemuka.
“Eddy Ezli? I Zamri.” Lelaki itu menghulur tangan tanda mahu berjabat.
Ezli mengangguk mengiyakan. Menyambut salam sambil menyunggingkan sedikit senyuman. Kemudian, wajahnya kembali berubah serius. Niat dia datang ke situ bukan mahu beramah mesra sebaliknya menuntut bayaran membaiki kereta. Zamri mempelawa Ezli duduk. Mereka menghadap sesama sendiri kini.
“Maaf ya, sebab dah menyusahkan Encik Eddy Ezli.” Zamri memulakan bicara.
Kedengaran janggal dan agak formal di telinga Ezli. Dia memang cukup tidak suka dengan lagak korporat walaupun kadangkala dia sendiri terpaksa menghadapi situasi itu dalam urusan rasmi berkaitan kerjanya.
“Panggil aku Ezli aje dah cukup,” tegas Ezli.
Zamri tersenyum sambil meneliti raut wajah kacak milik Ezli. Namun dia sedar Ezli masih menyimpan kemarahan kerana jelas lelaki itu memandang tanpa senyum. Kalau senyum pun sekejap sahaja dan nampak tidak ikhlas. Tambahan pula Ezli membahasakan diri sebagai ‘aku’. Tegas bunyinya. Tidak dapat Zamri bayangkan bagaimana Iryanie dimarahi oleh Eddy Ezli di tepi jalan raya. Lalu Zamri tidak mahu memanjangkan cerita lagi. Zamri menghulur tangan kepada Ezli.
“Bagi aku bil tu.” Zamri turut membahasakan diri sebagai ‘aku’.
Ezli segera mengeluarkan bil dari saku kemejanya lalu disorongkan ke depan Zamri. “Aku ni bukannya hadap sangat pasal duit. Tapi aku nak ini jadi pengajaran bagi isteri kau tu supaya berhati-hati bila bawak kereta.”
Zamri tersenyum lagi memandang wajah Ezli sebelum meneliti bil di tangannya. “Ya, aku faham. Tapi untuk pengetahuan Encik Ezli, Iryanie tu bukan isteri aku. Dia tu adik ipar aku. Dan dia bukan sengaja nak langgar kereta Encik Ezli. Memang brek Satria tu tiba-tiba ada masalah sikit. Jadi sekali lagi aku mintak maaf bagi pihak dia.”
Ezli sedikit terkejut mendengar penjelasan Zamri. Spontan benaknya teringatkan peristiwa kelmarin kala Iryanie mengadu melalui telefon kepada Zamri tentang kemalangan itu. Amboi? Adik ipar? Mesra benar mereka! Ada skandal ke? Ah! Lantaklah! Malas aku ambil tau.
“Aku tak ada cash sekarang. Aku bagi cash cheque. It is okay with you?” tanya Zamri memandang wajah Ezli menuntut kepastian.
“Okey,” balas Ezli pendek. Malas hendak banyak cakap.
Sombong! Terdetik komen ringkas itu di dalam hati Zamri untuk Ezli. Dia juga tidak mahu bercakap panjang lagi bila melihat tiada kemesraan pada raut wajah Ezli. Terus sahaja dia menulis sekeping cek lalu dihulurkan kepada Ezli.
“Terima kasih,” ucap Ezli pendek sebelum bangun. Tangannya tetap dihulur kepada Zamri. Menunjukkan hemah ala kadar kerana dia tahu selepas ini mereka tidak akan berjumpa lagi!
4
IRYANIE termenung di sofa menghadap TV yang terpasang. Akan tetapi kepalanya asyik terbayangkan perisiwa kemalangan tempohari. Perasaan kesal bertimpa-timpa dalam hati. Iryanie memejamkan mata setiap kali terbayang betapa lancangnya mulut lelaki yang memandu Honda EJ7 itu. Angkuh betul! Muka punyalah hensem tapi tengok orang macam nak telan! Entah apalah namanya ya? Takut punya pasal sampai tak sempat bertanya nama. Ah! Tak tau pun tak apalah nama si sombong tu!
“Hey, kau fikir pasal accident tu lagi ke?” Hana bertanya sambil melabuhkan punggung di sisi Iryanie.
“Hmm… abang Zamri hantar SMS beritahu lelaki tu baru datang ofis dia tuntut claim,” beritahu Iryanie. Mengeluh di hujung kata.
“Banyak ke kena?” Hana bertanya penuh prihatin.
“Campur servis ketuk, ganti skirting belakang, nombor plat baru, lampu, cat… adalah dalam RM600,” terang Iryanie sedikit resah. Baginya jumlah RM600 itu terlalu besar. Boleh beli macam-macam! Tapi apa boleh buat kereta yang dilanggarnya itu Honda. Bukan Proton mahupun Perodua. Walaupun Honda itu model Civic EJ7 tahun 1997, tetapi harga lampunya sahaja sudah mencecah ratusan ringgit.
“Abang Zamri yang bayarkan untuk kau?” Hana menyoal untuk kepastian.
Iryanie hanya mengangguk bersama keluhan berat.
“Habis tu kenapa kau nampak risau sangat ni?” Hana bertanya kehairanan bila melihat raut wajah Iryanie masih gundah gulana.
“Hana… aku dah tak nak pakai kereta tu. Petang tu memang aku dari kampung. Ingat nak hantar Satria tu ke rumah abang Zamri, tapi aku fikir nak singgah balik rumah ni dulu. Tak sangka pulak boleh accident. Dengan lelaki sombong pulak tu!” Iryanie mengusap mukanya sebelum melepaskan keluhan kesal. Sampai hari ini dia masih tidak boleh melupakan betapa jengkelnya cara pemuda itu memandangnya. Harapkan muka saja hensem tapi garang!
“Ala… rilekslah… abang Zamri dah tolong selesaikan untuk kau kan? Buat apa kau nak risau lagi?” Hana cuba memujuk. Bahu temannya itu dipaut mesra.
“Memanglah. Tapi aku dah banyak kali menyusahkan abang Zamri. Kali ini aku dah tak mahu terima bantuan apa-apa lagi dari dia.” Iryanie membulatkan tekad.
“Abang Zamri kan sayang kat kau? Kau terima ajelah apa dia nak bagi. Jangan tolak rezeki!” Hana tersenyum mengusik. Mengenangkan kebaikan Zamri terhadap Iryanie yang tidak ada batasnya.
“Hana! Aku tak suka macam tu. Aku dah nekad. Tak mahu pakai kereta tu. Aku tau aku akan susah. Tapi aku akan usaha dengan cara sendiri,” tegas Iryanie menegaskan pendiriannya.
“Cara apa? Mintak duit dengan ayah kau? Kau ingat kau boleh dapat bantuan dari ayah kau? Fikirlah sikit, selama ni ada dia hulur duit kat kau buat belanja kat sini? Harapkan duit pinjaman MARA kau tu saja. Ha, sekarang ni kau terpaksa repeat satu subjek dan MARA pulak dah hentikan pinjaman sebab kau sepatutnya dah grad. Kalau abang Zamri tak tolong kau, aku rasa mahu kau makan maggi tiap-tiap hari nanti!” sindir Hana. Sinis bunyinya tetapi bukan niat Hana mahu menyakiti hati Iryanie.
Hana sekadar mahu mengingatkan. Iryanie sebenarnya berpangkat senior dengannya. Tetapi perkenalan dengan Iryanie ketika dia berada di tahun pertama mengikuti pengajian Ijazah Sains Komputer di UiTM, mengheret kepada sebuah persahabatan sejati. Dari tinggal sebilik di kolej, sampailah menyewa di rumah yang sama. Mereka tidak mahu berpisah lagi. Dia tahu kepayahan Iryanie. Masalah kewangan yang amat menghimpit dalam masa yang sama tega meneruskan pengajian.
Malang bagi Iryanie kerana terpaksa mengulang satu semester lagi kerana diisytihar gagal akibat tidak menghadiri peperiksaan akhir satu subjek elektif. Bukan Iryanie sengaja. Tetapi pemergian arwah emak membuatkan Iryanie terpaksa pulang ke kampung dan gagal menghadirkan diri pada hari peperiksaan akhir subjek tersebut. Puas Hana memujuk Iryanie ketika gadis itu pulang setelah beberapa hari peperiksaan berlalu. Itupun Zamri yang membawanya pulang. Iryanie menangis sungguh-sungguh kerana kecewa dengan apa yang telah terjadi. Mahu tidak mahu, Iryanie terpaksa redha.
Iryanie masih lagi terdiam. Dia sedar akan hakikat yang sedang dihadapinya kini. Selama ini, dia bergantung penuh kepada pinjaman MARA dan Zamri yang banyak membantunya. Tetapi bila dia terpaksa menyambung satu semester lagi hanya semata kerana satu subjek, Iryanie mula bungkam.
“Aku nak kerja!” Iryanie berkata tiba-tiba.
Hana tersentak. “Kau biar betul? Kau nak kerja apa? Part time kat Guardian? Seven Eleven? Nanti kau gagal lagi ambil exam sebab sibuk bekerja pulak.”
“Taklah. Kerja ni aku jamin takkan ganggu study aku. Aku dah ambil pun iklan tu…” Iryanie lantas menarik satu keratan kertas dari buku rujukannya di atas meja.
Hana membaca apa yang tertulis. Bulat matanya tanda tidak percaya dengan apa yang dibaca. “Kau nak jaga anak orang? Kau ni mengarutlah!”
“Aku serius… rumah dia belakang UiTM aje. Senang sikit kalau aku nak ulang alik ke UiTM.” Wajah Iryanie sedikit teruja. Sejak awal lagi dia memang sudah berminat untuk cuba meminta kerja di rumah itu.
“Isk… kau ni, sanggup ke nak jaga budak?” soal Hana tidak mempercayai kebolehan Iryanie.
“Aku kan suka budak-budak. Lagipun Hana, aku rasa inilah kerja yang paling senang. Sambil jaga budak tu, aku boleh study dan buat assignment. Aku dah telefon rumah tu. Mak dia yang angkat. Makcik tu suruh aku datang cepat,” terang Iryanie sambil tersenyum. Dia benar-benar mahukan kerja untuk menampung perbelanjaannya.
“Hmm…” Hana kembali meneliti nama yang tertulis berserta nombor telefon rumah di kertas kecil itu. Ada senyum nakal terukir di bibirnya. “Eddy Ezli… sedap namanya. Orangnya mesti handsome kan? Silap hari bulan nanti kau ada skandal dengan suami orang pulak!”
Iryanie membulatkan mata lalu menampar bahu Hana. “Eh, ke situ pulak kau! Aku tak ada niat tau! Niat aku cuma nak kerja saja sementara nak habiskan subjek tu!”
Hana ketawa berdekah-dekah. “Bila kau nak pergi? Aku sanggup hantarkan. Nak tengok Eddy Ezli!”
“Hana!”
Ketawa Hana terus berkumandang.
******************************************
RUMAH teres dua tingkat itu kelihatan cantik dihiasi taman mini berkonsepkan Bali di sudut halaman. Ada kerusi taman buatan aluminium turut menjadi penyeri taman itu. Cat berwarna terracotta yang menyelaputi dinding luar, membezakan rumah tersebut dari rumah lain yang sederet dengannya. Tuan rumahnya pasti sangat mementingkan kebersihan dan keunikan. Kelihatan sebuah motor Cagiva Mito EV 125 berwarna kuning terparkir elok di sisi sebuah buaian besi di bawah porch. Hana mencuit bahu Iryanie, memberi isyarat supaya memberi salam sambil dia sendiri bersedia menekan loceng. Tanpa membuang masa, Iryanie menuruti. Tidak lama kemudian, kelihatan seorang wanita lingkungan usia 50-an keluar sambil menyahut salam.
“Ini Iryanie yang telefon semalam tu ya?” soal wanita tua itu bersama senyum menguntum di bibir.
“Ya, saya makcik. Ini kawan saya, Hana.” Iryanie mengukirkan senyum.
“Ooo… ha, masuklah. Nama makcik Faridah, mak Eddy Ezli.” Faridah segera menekan alat kawalan jauh di tangannya untuk membuka pintu pagar automatik itu.
Sebaik masuk, Iryanie dan Hana menyalami Faridah. Kemudian mereka dibawa masuk ke dalam rumah. Sampai di ruang tamu, Iryanie dan Hana sama-sama terpegun. Kemas dan indah susun atur rumah itu. Tatahias ruang berkonsepkan nusantara. Sofa berwarna krim jadi penghias ruang tamu menghadap skrin TV Plasma Panasonic bersaiz 39” lengkap dengan sistem teater rumah. Sebuah gitar akustik jenama Gibson tersandar di tepi peti sistem suara. Pokok bird of paradise yang besar jadi penghias sudut ruang tamu bersebelahan dengan pintu gelangsar bergrill yang menghadap halaman rumah.
“Anak makcik tu tak ada. Macam biasalah, kerja. Jadi dia serahkan pada makcik untuk pilih calon yang sesuai jaga anak dia,” terang Faridah sambil tersenyum ramah. Sekejap kemudian, muncul Afizan.
“Inilah anaknya, Adli Afizan. Afi, salam dengan auntie tu semua,” arah Faridah. Cucunya hanya menurut. Mula menyalami Hana diikuti dengan Iryanie.
“Comelnya… tapi kenapa tak hantar ke nursery aje makcik?.” Iryanie bersuara. Teruja melihat Afizan. Kiutnya budak ni!
“Anak makcik cerewet sikit bila masuk bab anak dia ni. Dia tak nak hantar Afi ke nursery sebab dia tak percaya dengan jagaan kat situ. Makcik pulak dah teringin sangat nak balik kampung. Bukan tak nak jaga cucu lagi dah. Tapi bila dah tua-tua ni, hati memanggil-manggil untuk rehat saja di kampung. Minggu depan, Afi dah nak masuk sekolah rendah. Pasal tu Ezli kelam kabut cari orang untuk jaga Afi ni,” terang Faridah penuh mesra.
Matanya asyik melihat ke wajah Iryanie yang menarik perhatiannya. Hati ibunya merasakan sesuatu tatkala merenung Iryanie. Lebih-lebih lagi bila melihat Afizan seperti tersipu setiap kali memandang Iryanie. Kuat aura budak ni! Kata Faridah di dalam hati sambil tersenyum penuh erti.
“Iryanie tau memasak tak?” soal Faridah.
“Bolehlah sikit-sikit.” Iryanie merendah diri. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman.
“Begini, makcik ni tak memilih umur. Asalkan boleh kerja dan sanggup jaga Afi. Ezli dah tetapkan gaji RM500 sebulan. Kerjanya, siapkan sarapan untuk Afi sebelum ke sekolah. Waktu pergi, abahnya hantarkan tapi bila balik, Afi kena naik bas sekolah. Lepas tu masakkan makan tengahari untuk Afi. Tengokkan kerja sekolah dia. Maknanya jaga Afi sampai abah dia balik kerja. Tapi tak tentu pukul berapa abah dia balik. Kadang-kadang pukul 10 malam baru nampak batang hidung di rumah.” Faridah menerangkan satu per satu bidang tugas yang perlu dilakukan.
Iryanie mengangguk perlahan. Baginya kerja itu bukan susah. Malah jumlah gaji RM500 itu sudah lebih dari cukup. Hana memandang Iryanie penuh kerisauan. Tidak tahu apa yang difikirkan oleh Iryanie tetapi dia tahu Iryanie akan menyanggupi kerja itu.
“Sanggup?” soal Faridah mahukan kepastian.
“Sanggup! Cuma saya nak beritahu satu perkara, saya ni sebenarnya masih belajar di UiTM, kena repeat satu subjek. Kuliah untuk subjek tu di sebelah pagi aje tapi ada masanya saya perlu ke UiTM atau ke library untuk cari rujukan.” Iryanie berterus terang, menyatakan pula ketetapannya.
Faridah terdiam. Merenung wajah Iryanie dalam-dalam. Terlihat raut wajah yang terpapar kejujuran. Kemudian dia mengukirkan senyum. Tidak peduli apa Eddy Ezli akan kata, dia nekad memilih Iryanie. Gadis itu cantik, nampak baik budi, berpelajaran tinggi. Kalau setakat nak tengok-tengokkan kerja sekolah Afizan, pasti tiada masalah. Dan Faridah faham benar dengan perangai Ezli, bukan lelaki mata keranjang yang suka mengambil kesempatan. Kalau tidak masakan Ezli bertahan selama tujuh tahun hidup menduda. Lagipun Ezli bukan selalu ada di rumah. Jadi Iryanie tidak perlu risau berada seharian di rumah ini. Hanya perlu menjaga Afizan sehingga Ezli pulang dari kerja. Itu saja.
“Baiklah. Makcik tak kisah. Asalkan Iryanie pandai bahagikan masa. UiTM pun dekat saja dengan rumah ni. Esok pagi boleh datang?” Faridah bertanya. Kalau boleh dia mahu mempercepatkan semuanya.
“Hmm… boleh, tapi bila makcik nak balik kampung? Sempat tak ajar saya sikit-sikit?” Iryanie bertanya kembali.
“Jangan bimbang makcik cadang nak balik minggu kedua lepas Afi masuk sekolah. Kalau Iryanie lulus dengan cemerlang, makcik akan balik kampung dengan senang hati lepas tu.” Faridah tergelak di hujung kata sambil mengusap mesra kepala Afizan yang terlentok di bahunya.
Iryanie dan Hana turut sama tergelak. Pandai juga Faridah berlawak. Mereka terus berbual mesra, tambahan pula Faridah baik hati menghidangkan mereka minuman dan biskut coklat buatannya sendiri. Kata Afizan, biskut coklat opah lebih sedap dari biskut Famous Amos! Dan kata Faridah mujur cucunya itu tidak berbadan debab kerana suka makan coklat dan makanan yang sedap-sedap.
Hampir setengah jam kemudian, barulah Iryanie dan Hana meminta diri untuk pulang. Tetapi sebelum keluar dari rumah, Hana sempat bertanya kepada Faridah.
“Maaf makcik kalau saya tanya ni soalannya agak sensitif. Tapi kenapa anak makcik tu beriya sangat nak cari orang jaga anak dia. Isteri dia buat apa?” Selamba sahaja pertanyaan itu keluar dari mulut Hana. Iryanie sendiri agak terkejut mendengarnya.
Namun Faridah tetap tersenyum lembut. “Sebenarnya anak makcik tu duda.”
“Hah?! Duda?!” Iryanie dan Hana sama-sama tersentak.
5
DARI tingkat atas, sudah terbau keharuman sambal tumis udang masakan Faridah. Ezli tersenyum sambil menyelitkan hujung kemeja ke celah corduroy hitam yang dipakainya. Terasa kecur liurnya membayangkan keenakan nasi lemak kukus hasil air tangan emak. Ezli berdiri di depan cermin panjang mengemaskan penampilan. Selagi emak ada di sini, selagi Afizan belum masuk sekolah, dia memang punya masa untuk berlengah-lengah ke tempat kerja. Ezli tersenyum puas hati melihat dirinya dan bersedia untuk turun. Bau harum wangian Aigner Black mengiringi dirinya bertepatan dengan tema wangian tersebut, maskulin, klasik, misteri dan mengagumkan.
Ketika menuruni anak tangga, Ezli terdengar suara Faridah ketawa dan berbual mesra. Dengan siapa? Ezli memasang telinga sambil terus berjalan menuju ke ruang makan di dapur. Terlihat kelibat Faridah bersama seorang perempuan membelakanginya. Oh? Jadi emak dah pilih orang untuk jaga Afizan. Ezli tersenyum. Semalam sewaktu pulang dihantar oleh Fuad, dia tidak sempat bertanya apa-apa kepada Faridah bila dirinya terlalu letih dan terus masuk tidur.
Namun ketika Faridah dan perempuan itu sama-sama berpaling, Ezli tersentap. Terbeliak matanya melihat pemilik wajah yang berdiri di sisi Faridah. Dia?! Dan dapat Ezli lihat gadis itu juga tergamam memandangnya.
“Ha, Ezli. Ni mak kenalkan… Iryanie. Dia yang akan jaga Afi nanti. Hari ni mak ajarlah dia sikit-sikit apa yang patut dibuat.,” kata Faridah tanpa mengesyaki apa-apa.
Ezli dan Iryanie sama-sama berpandangan. Tetapi pandangan Ezli lebih mencerun. Garang. Sedangkan Iryanie kelihatan gugup. Tak sangka inilah Eddy Ezli!
“Eh? Kenapa pulak ni? Ezli! Kenapa pandang Iryanie macam nak makan? Dah lapar sangat?” sergah Faridah apabila melihat Ezli tidak berganjak, memandang Iryanie seperti ingin ditelannya gadis itu hidup-hidup.
“Kenapa mak pilih perempuan muda macam dia ni?” sela Ezli mula menunjukkan rasa tidak puas hati.
“Eh? Apa salahnya pulak? Dah mak rasa Iryanie sesuai. Dia pun sanggup nak jaga Afi bila mak dah terangkan apa yang patut dibuat. Calon-calon lain semuanya tak sanggup termasuklah yang dah sebaya dengan mak. Semuanya nak kerja macam waktu pejabat,” balas Faridah sambil memandang wajah Ezli dan Iryanie silih berganti.
Iryanie masih kaku. Dia rasa serba salah untuk bergerak. Menentang pandang dengan Ezli, ibarat bertentang mata dengan harimau jadian… yang kacak! Eh? Apa aku ni? Iryanie mula kalut. Terasa tubuhnya seram sejuk. Dia tahu Ezli masih merenungnya tajam. Kalaulah dia tahu, pemilik nama Eddy Ezli adalah tuan punya Honda EJ7 yang dilanggarnya dan juga abah si Afizan, sumpah dia tidak akan mahu bekerja di sini. Menyesalnya tak tanya abang Zamri nama si sombong ni! Tapi mana pergi Honda dia? Tak nampak pun di porch?
“Mak, dialah yang langgar kereta Ezli hari tu.” Ezli membuka rahsia. Marahnya menyala kembali. Sakit hati mengenangkan kereta kesayangan kemek. Biarpun ia dibeli sebagai kereta second hand, tetapi Ezli memang sangat sukakan model itu. Ia antara model Honda paling popular walaupun pengubahsuaiannya memakan belanja besar. Tapi Ezli sanggup demi memastikan keretanya nampak sporty, kemas dan cantik. Namun walau sudah dibaiki selepas kemalangan tempohari, rasa sakit hati tetap ada. Sampaikan Ezli nekad menghantar kembali keretanya itu ke bengkel untuk disembur cat baru, Spoon Yellow!
“Ya ALLAH, itu puncanya kamu marah sangat ni?” Faridah mengurut dada. Dalam pada itu dia simpati melihat raut wajah Iryanie yang jelas ketakutan.
“Yalah, bukan reti bawak kereta. Cuai! Macam mana dia nak jaga Afi kalau dia ada sifat cuai?” sela Ezli penuh sinis.
Iryanie tersentap mendengar tuduhan itu. Tapi dia hanya mampu memandang Ezli yang sudah mula duduk di sisi Afizan di meja makan.
“Dah langgar kereta orang tu, ada hati pulak nak kerja kat sini!” sindir Ezli sambil menjeling Iryanie.
“Eh? Kalau saya tahu ini rumah awak, awak ingat saya nak kerja dengan lelaki garang macam awak?” Iryanie bersuara, hilang sabar. Lebih dari itu dia merasakan perlu membela diri. Lancang betul mulut si Ezli ni. Padanlah dia jadi duda! Agaknya bekas isterinya dulu tinggalkan dia sebab mulut jahat dia tu! Eee! Rasa nak cilikan aje!
Ezli terdiam. Makin tajam matanya menombak ke wajah lembut Iryanie. “Pandai menjawab pulak dia ni!”
“Ezli, jangan jadi macam budak-budak!” jerkah Faridah agak geram dengan sikap Ezli. Nampak benar antinya Ezli kepada Iryanie. Silap hari bulan mahu tiap-tiap hari mereka bertekak. Macam mana ni?
Faridah berpaling memandang Iryanie. “Macam mana Iryanie? Awal-awal Ezli dah bertekak dengan Iryanie. Sanggup ke kerja? Kalau tak sanggup bagitau cepat-cepat. Boleh makcik cari ganti.” Faridah berterus-terang tentang kebimbangannya. Menjeling sekilas pada wajah Ezli.
Ezli diam sahaja menghadap nasi lemak yang enak di depan mata. Sesekali melampiaskan senyum sinis. Dia tahu gadis muda seperti Iryanie takkan sanggup bekerja dengannya. Sesedap mulut aje cakap aku garang. Sekarang biar aku tunjuk garang. Mesti dia akan menarik diri! Dan emak tidak akan jadi pulang ke kampung! Yeah! Sedikit sebanyak Ezli sengaja memilih untuk bertekak dengan Iryanie sebagai satu jalan menghalang niat Faridah pulang ke kampung.
“Sanggup makcik! Saya pun bukan selalu kena hadap muka anak makcik ni, kan? Cuma akan jumpa waktu dia nak pergi kerja, balik kerja. Itu saja kan? Selebihnya waktu saya lebih banyak dengan Afi. Jadi, tak ada apa yang perlu saya risaukan,” jawab Iryanie dengan yakin dan tenang. Tiba-tiba mendapat kekuatan untuk menghadapi Ezli.
Ezli hampir terbelahak mendengar jawapan berani Iryanie. Tersekat butiran nasi lemak di celah kerongkongnya. Tangan Ezli segera menjatuhkan sudu ke pinggan lalu menggapai gelas air suam. Diteguk sekaligus, melepaskan sekatan di kerongkong. Faridah tersenyum senang. Iryanie memang boleh diharap!
Mata tajam Ezli bagai menikam-nikam wajah Iryanie. Tanpa mahu menghabiskan nasi lemaknya lagi, Ezli bingkas bangun. Sempat mencium dahi Afizan sebelum anaknya itu menarik tangan dan menyalaminya. Kemudian, Ezli mendapatkan Faridah lalu tunduk mencium tangan emaknya itu. Tidak ada kata dan tanpa senyuman. Menonong sahaja perginya ke muka pintu.
“Nak pergi kerja dengan apa tu? Fuad datang ambil ke?” Faridah melaung sambil menjengah sedikit tubuhnya untuk melihat kelibat Ezli.
“Tak! Naik motor!”
Sebentar kemudian terdengar bunyi enjin motor sport Cagiva berkuasa 2 lejang 125cc dihidupkan. Diikuti dengan bunyi ngauman kuat beberapa kali. Ezli membakar! Faridah tersenyum mendengar deruman motor yang semakin menjauh.
“Dia dah merajuk tu,” kata Faridah sambil tersenyum gelihati memikirkan gelagat Ezli.
“Eh? Takkan hal kecil macam ni pun dia nak merajuk, makcik?” soal Iryanie agak kehairanan.
“Dia sebenarnya tak mahu makcik balik kampung, Taktik dia lah tu,” jawab Faridah sambil tersenyum memandang wajah Iryanie.
“Ala… dah tua-tua macam tu, dah ada anak besar, takkan nak berkepit bawah ketiak makcik lagi?” Iryanie bertanya dalam nada bergurau seraya melabuhkan punggung di sebelah Afizan.
“Dulu dia tak macam tu. Dulu dia tak pernah pedulikan perasaan makcik. Tapi bila hatinya terluka, barulah dia berubah,” kata Faridah perlahan.
Iryanie terdiam. Berkerut dahinya cuba memahami kata-kata Faridah. Nampaknya ada kisah menarik tentang Ezli yang perlu diketahui. Tetapi Iryanie tidak mahu ghairah bertanya.
Faridah menyambung kata, “Belajarlah kenali dia. Dia lelaki yang baik sebenarnya. Tapi kisah silam buat dia jadi macam tu.”
Iryanie tidak terkata apa lagi. Pandangan Faridah kelihatan lain macam. Iryanie segera melarikan pandangan.