Blurb belakang buku :
Persahabatan itu tidak pernah disengajakan, perasaan tersebut biasa-biasa sahaja. Tidak ada rasa sayang, tidak ada rasa kasih...
Bahkan Zarul tahu Edrinaz sudah berpunya. Namun semakin jauh mereka menerokai, semakin indah perasaan itu dirasa. Semakin sering bertemu, semakin Zarul merindu. Dan akhirnya Zarul, mahupun Edrinaz sedar, mereka sama-sama berasa serasi di hati.
*********************************
1
ZARUL terkebil-kebil di dalam gelap. Entah mengapa matanya terasa sukar untuk lelap kembali setelah tiba-tiba terjaga dari tidur. Sudahnya Zarul bangun dan termangu seketika di birai katil. Tangannya menekan suis lampu meja di sisi katil. Terdengar satu keluhan kecil. Zarul berpaling. Zalina Asha di sebelahnya memusingkan badan ke arah lain, menandakan silau lampu yang terpasang mengganggu lena tidurnya. Zarul mengeluh. Lama dia merenung tubuh Zalina yang dibaluti comforter. Tapi hanya dengan renungan kosong, yang tidak membawa apa-apa erti. Tidak terpalit langsung rasa kasih untuk wanita itu. Irbah terhadap Zalina juga sudah semakin berkurangan dari hari ke hari. Tidak ghairah lagi seperti dulu. Dia mengeluh lagi.
Zarul menjeling sekilas jam tangannya di atas meja. Sudah pukul 4.30 pagi. Itu bererti dia hanya tidur selama dua jam sahaja tadi. Waktu tidur yang terlalu pendek untuknya. Tangannya mencapai baju tidur yang berselerak di tepi katil. Tubuhnya terasa agak sejuk dek suhu rendah aircond bilik Hotel Equatorial Melaka yang bertaraf lima bintang itu. Pilihan Zalina sendiri yang sentiasa mahukan suasana eksklusif apabila bersamanya. Sambil mengikat tali baju ke pinggang, Zarul berjalan menuju ke jendela.
Lama juga Zarul termenung di situ. Menebarkan pandangan ke arah Bukit Bersejarah St. Paul’s yang kelihatan berbalam dalam kesamaran awal subuh. Sayup-sayup kedengaran suara azan, mematikan lamunan Zarul. Saat itu hatinya terasa pilu dan sendu. Tiba-tiba, terasa pelukan dari belakangnya. Dengus nafas halus, menghangatkan cuping telinganya. Zarul tidak menoleh, dibiarkan sahaja dirinya terus dipeluk oleh Zalina.
"Kenapa tak tidur ni sayang?" Suara wanita itu kedengaran menggoda. Jari-jemari runcingnya tidak henti-henti menggosok dada bidang Zarul. Mengharapkan akan ada reaksi positif dari Zarul. Namun Zarul sekadar membatukan diri.
“I tak mengantuk.” Ringkas sahaja jawapan yang keluar dari mulut Zarul. Pelukan Zalina semakin kemas. Wajahnya sengaja dirapatkan ke pipi Zarul.
"Jomlah tidur, sayang..." Tangan Zarul ditarik. “You tau kan I tak boleh tidur tanpa you di sisi…”
“Zal…hormat sikit waktu subuh ni!”
“Ah! Bukan you sembahyang pun! Jom!”
Tersentap hati Zarul mendengar selaan Zalina. Memang dia tidak bersembahyang tetapi hatinya kini mula terasa ingin mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Zalina terus menarik-narik tangan Zarul. Mulanya Zarul mengeraskan diri. Enggan menuruti kehendak Zalina. Pastinya nanti sampai ke pagi dia tidak akan dapat tidur melayan karenah Zalina. Namun rengekan Zalina amat merimaskannya hingga akhirnya dia akur.
****************************
"MINGGU ni Dato' balik, so you boleh cuti. Dato’ ajak I ke oversea. But...don't be naughty okay?" Zalina bersuara manja. Sengaja mahu menarik perhatian Zarul yang sejak tadi tidak bersuara walau sepatah pun.
Zarul sekadar mengangguk sambil memasukkan semua pakaiannya ke dalam beg. Memandang wajah Zalina pun tidak.
"Oh, dear… I'm gonna miss you!" Zalina menghampiri lalu memeluk Zarul kemas-kemas.
Zalina sedar akan ‘kedinginan’ Zarul terhadap dirinya. Senyuman di bibir pemuda itu juga kelihatan tawar. Semakin hari, Zarul semakin mengunci mulut untuk bersuara apabila bersamanya. Dia hanya berbicara bila perlu sahaja. Selebihnya pemuda itu dilihat lebih banyak mengelamun dan termenung. Seakan ada sesuatu yang sedang mengganggu perasaannya. Namun Zalina enggan mengakui kerana dia sedar, sampai bila-bila pun dia tidak akan dapat mengorek rahsia hati Zarul. Pemuda itu sudah mencipta satu ‘benteng’ antara mereka.
"Oppss… tak boleh lebih-lebih. Nanti you tak boleh nak layan Dato' puas-puas!" Zarul menolak lembut tubuh Zalina dari pelukannya. Separuh dari rasa hatinya sudah berasa jengkel dengan tingkahlaku Zalina. Rengusan Zalina langsung tidak dihiraukannya.
"Ah! You pun tau, I tak pernah puas dengan si tua tu! Dia tak hebat macam you!" jawab Zalina dengan muka masam mencuka. Hatinya sakit dengan perlakuan Zarul.
Zarul hanya mampu tersenyum nipis. Tanpa memberikan apa-apa respon terhadap komen Zalina, Zarul menggalas begnya dan mengangkat beg pakaian Zalina juga lalu melangkah menuju ke pintu.
Sambil tersenyum, Zarul bersuara, “Shall we?“
Zarul menunduk hormat sebagai tanda mempersilakan Zalina keluar. Zalina tersenyum mesra, terasa seperti dirinya seorang permaisuri. Langkah diatur supaya nampak sempurna di mata pemuda idamannya itu.
Selesai segala urusan, Zarul memandu kereta Honda SR4 hitam berkilatnya, meluncur laju meninggalkan kawasan Hotel Equatorial Melaka. Zalina mula merungut. Dia sememangnya kurang gemar setiap kali Zarul memandu kereta dengan laju. Dia takut dan gelisah setiap kali Zarul mencelah-celah di antara deretan kereta yang sesak beratur ketika trafik jam. Lebih menggerunkan jika Zarul lepas bebas ke lebuhraya. Zarul akan memecut hingga ke tahap maksima. Saman yang sampai jangan ceritalah. Setiap bulan pasti ada sahaja ‘surat cinta’ dari balai trafik. Semuanya Zalina yang selesaikan demi cintanya terhadap Zarul.
“You ni, apahal suka drive laju-laju ni? Hellooo?! I ni isteri Dato’! I need to live longer! Banyak lagi harta dia yang I tak rasa tau!” Zalina membentak. Zarul tersenyum sinis. Perempuan ni, kalau pasal harta, nombor satu! Dasar perempuan materialistik!
“Apa yang you nak takutkan? Kalau nak mati pun, bila-bila masa aje Tuhan boleh tarik nyawa kita! Ah! You tu nama aje isteri Dato’ tapi you masih cari I untuk puaskan nafsu buas you tu!” Zarul menguatkan suaranya. Sengaja dia mahu menyindir Zalina tetapi wanita itu tidak menampakkan riak tersinggung dengan kata-katanya. Sebaliknya Zalina terus tersenyum meleret sambil melirik manja ke arah Zarul.
“Of course! You are the great man I’ve ever met! Sayang you!” Pujian dari Zalina sikit pun tidak mengusik hati Zarul.
Dia sudah muak dengan segala kata pujian yang keluar dari mulut Zalina, you are great! You are gorgeos! You are hot! You are sexy… bla…bla…bla…Terlalu banyak pujian yang diberi Zalina. Hingga Zarul sendiri sudah naik jelak dan jengkel mendengarnya. Setiap pujian Zalina, baginya tidak pernah ikhlas. Pasti ada udang di sebalik batu. Ada keinginan yang perlu dilangsaikan!
**************************
KERETA Zarul memasuki kawasan perumahan ‘townhouse’ Sri Damansara. Keretanya diberhentikan di hadapan sebuah rumah yang dicat dengan warna kuning air. Zarul keluar membuka pintu kereta untuk Zalina membuatkan perempuan itu tersenyum panjang. Selepas keluar dari kereta, Zalina berdiri mengadap Zarul.
"Okeylah, I nak masuk dulu. You jangan nakal-nakal dengan perempuan lain okey? Even I’m not with you, but my 'eyes' will always be around!" Satu peringatan yang lebih berupa kepada amaran diberikan oleh Zalina.
Zarul pura-pura tersenyum sambil menganggukkan kepala tanda faham. Walhal, hatinya bersorak riang mendengar berita itu. Dirinya akan bebas buat sementara waktu.
Zalina mengenyitkan matanya sebelum melangkah masuk ke dalam townhouse kepunyaan Dato’ Kamarudin itu. Rumah nombor duanya selepas banglo besar di Bukit Antarabangsa. Dato’ Kamarudin bergilir-gilir bermalam di rumah kedua-dua isterinya. Tetapi selalunya Dato’ Kamarudin lebih senang menghabiskan masa bersama Zalina berbanding Datin Mahza yang semakin tua dimamah usia.
Sebaik sahaja kelibat Zalina hilang di balik pintu kayu berukir itu, Zarul menarik nafas panjang. Lega…
Berlalu sudah waktu-waktu merimaskan dan memenatkan bersama Zalina. Zarul mahu merehatkan diri. Dua hari bersama Zalina di Melaka membuatkan dia terasa sengal seluruh badan. Zalina betul-betul pandai mengambil kesempatan dengan ketiadaan Dato’ Kamarudin. Letih Zarul melayan karenah Zalina tetapi dia tidak mampu untuk menolaknya…
2
APARTMENT gaya studio Riana Green, Tropicana itu sunyi sepi, menyambut kepulangan Zarul. Dia menekan suis lampu di tepi dinding berhampiran pintu dan memerhatikan suasana sekitarnya. Kemas dan tersusun rapi. Lagipun tidak banyak barang yang dimilkinya. Ada sebuah televisyen berukuran 21”, set hi-fi lengkap dengan pemain DVD dan sebuah peti sejuk satu pintu. Gitar akustik jenama Aria dan gitar elektrik jenama Legend kesayangannya tersandar di dinding berhampiran katil. Almari pasang siap pula tersergam di sebelah kiri katil.
Zarul mengeluarkan pakaian dari beg galasnya lalu dimasukkan ke dalam bakul di tepi bilik air. Besok sajalah basuh. Matanya ketika ini terlalu ingin pejam dan berbaring seenaknya di atas katil. Lalu, sebaik sahaja kemejanya ditanggalkan, Zarul segera merebahkan badan di atas katil. Aneh, tidak pula matanya mahu pejam sebaik sahaja kepalanya menyentuh bantal sebaliknya dia terkebil-kebil memandang siling. Tertabir di ruang mata adegan asmaranya bersama Zalina. Tiba-tiba dia berasa jijik sendiri. Jengkel mengenangkan semuanya! Lantas, dia memekup mukanya dengan bantal. Meluat sendiri mengenangkan semua itu.
Saat bersendirian seperti sekarang ini, membuatkan Zarul selalu memikirkan perjalanannya hidupnya setelah merantau dari Johor Bahru beberapa tahun yang lalu. Terkenang saat dia mula berkenalan dengan Zalina. Ketika itu dia bekerja sebagai waiter di Hotel Grand BlueWave, Shah Alam.
*******************
ZALINA sedang menjamu selera di Agehan Japanese Restaurant bersama seorang rakan wanitanya. Zarul mengakui, Zalina memang cantik orangnya. Berbadan ramping dengan gaya yang anggun memikat serta berwajah glamour. Sewaktu Zarul meletakkan hidangan di meja, dia memang sudah perasan akan pandangan mata Zalina yang tidak lepas-lepas dari menatap wajahnya. Zarul cuba berlagak tenang biarpun getar di hati cukup membuatkan dia sedikit menggeletar sewaktu menuang minuman tambahan ke dalam gelas.
"You are so gorgeous!” Tiba-tiba tercetus satu pujian dari bibir mungil Zalina. Serta-merta wajah Zarul merona merah. Teman wanita Zalina itu turut tersenyum melihat Zarul yang nampak sedikit terkejut.
"Hmm... Zarul...” Mata Zalina melirik ke arah tag nama di dada Zarul sambil kemudiannya memperkenalkan diri. “I’m Zalina Asha, and this is my friend, Julie."
Zarul cuma mengangguk, demi menjaga etika sebagai seorang pekerja yang baik. Cuba untuk tidak mempedulikan Zalina yang galak mengukir senyuman nakal.
*************************
ZARUL bergegas ke Ladies Floor iaitu ruang penginapan yang direka eksklusif untuk wanita, sebaik sahaja menerima pesanan memaklumkan ada pelanggan meminta khidmatnya membetulkan sedikit masalah di dalam bilik. Di dalam hati, Zarul tertanya-tanya kenapa tidak dipanggil sahaja staff dari bahagian yang berkenaan? Loceng pintu bilik ditekan. Tidak lama kemudian, terserlah wajah Zalina dari balik daun pintu. Zarul sedikit terperanjat. Oh! Perempuan ini rupanya…
"Ouh… you dah sampai, masuklah," Zalina tanpa segan silu terus menarik tangan Zarul, membawanya masuk ke dalam. Zalina ketika itu berpakaian dress hitam paras lutut bertali halus, begitu ketat hingga menyerlahkan setiap lekuk tubuhnya.
"Actually I ni Datin Zalina!"
Tersentak Zarul mendengarnya. Terusnya matanya tertancap pada ruang wajah Zalina. Seakan tidak mempercayai kata-kata Zalina. Melihatkan wajah Zarul yang berkerut, Zalina ketawa halus.
“Okeylah, Datin tu I saja taruk! Entah bilalah I boleh dapat full title tu," Zalina melirik manja membuatkan Zarul kembali tertunduk. Zalina senyum meleret. Nampak benar anak muda ini tidak biasa dengan perempuan.
"Zarul, kalau I offer you kerja dengan I, you nak tak?" Tawaran Zalina agak mengejutkan Zarul. Terangkat terus wajahnya menentang pandang wajah Zalina.
"Kerja? Kerja apa?" Zarul terpinga seketika. Terasa pelik kerana tiba-tiba wanita yang tidak dikenalinya itu mahu menawarkan kerja kepadanya.
Zalina senyum lagi. Gelora di hati, hanya dia yang tahu. Dalam tawaran, ada agenda lain sudah terencana dalam minda sejak pertama kali melihat Zarul. Susuk tubuh Zarul amat menggetarkan jiwanya. Tidak sasa mahupun berotot berketul-ketul tetapi susuknya cukup kemas terbentuk.
"Hmm... you should know this, I used to be a public figure, well known model and actress and I'm a second wife of Dato' Kamarudin, Director of KMBina Holdings, the most established developer in Malaysia!” Zalina mengatur bicara satu-persatu.
Bunyinya macam berlagak pula penerangan perempuan bernama Zalina Asha itu, ditambah pula dengan keningnya terangkat-angkat setiap kali menuturkan kata. Namun Zarul hanya sekadar mendengar sahaja dan lebih banyak tertunduk. Tak kuasa dia hendak menentang pandang dengan Zalina. Lirikan matanya menggoda sungguh!
“Bini tua dia tu selalu kacau I, maklumlah dia takut segala harta Dato’ akan jatuh ke tangan I. Lagipun masa I baru berkahwin dengan Dato’, bini tua dia tu pernah ugut nak simbah asid ke muka I yang cantik ni. So, sebelum apa-apa terjadi, I need a protection. I need a bodyguard, and I need someone to protect me when Dato' not around. Actually I dah pernah cakap kat Dato’ pasal ni, tapi dia terlalu sibuk nak carikan bodyguard untuk I. Sekarang I dah jumpa dengan you, I think you sesuai sangat!" Penerangan yang panjang lebar dari Zalina.
"Tapi..." Zarul agak ragu-ragu untuk terus menerima tawaran Zalina yang baru dikenalinya itu. Kenapa mesti aku? Baru aje kenal, itupun sekadar kenal nama. Takkan semudah itu Zalina menawarkan kerja kepadanya?
"Tentang bayaran, you jangan risau,” Zalina memotong percakapan Zarul “I boleh mintak Dato' bagi berapa aje yang you nak, as long as you jaga I, hmm?"
Zalina mengangkat keningnya, menghampiri dan berlegar-legar di depan Zarul. Matanya tidak lepas menatap Zarul dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Pemuda bertubuh lampai itu benar-benar menarik perhatiannya. Amat kacak. Rambutnya yang panjang dihiasi jaluran keperangan diikat kemas ke belakang, membuatkan pemuda itu kelihatan makin memikat. Kulitnya cerah sedikit kemerah-merahan. Raut wajahnya manis, dihiasi sepasang mata jernih berwarna hazel dilatari kening yang tidak terlalu tebal. Hidungnya mancung terletak. Ada tahi lalat kecil menghiasi bibir Zarul yang kemerahan menambahkan aura seksi padanya. Zalina sudah tergoda pandang pertama terhadap lelaki muda ini. ‘Gatalnya’ datang tanpa diundang.
"Berapa umur you?"
"22." Ringkas sahaja jawapan Zarul.
Bulat mata Zalina mendengar jawapan Zarul. Sedikit terkejut dengan jawapan Zarul. "Wow! Then you have a very nice figure. I thought you ni mid-twenty.“ Zalina terus memandang Zarul dari atas hingga ke bawah. Membandingkan Zarul dengan dirinya yang sudah berusia 32 tahun. Bolehlah tu…aku pun masih cantik dan seksi lagi.
“Beritahu I, you mesti tau martial art. Am I right?"
Zarul hanya mengangguk lambat-lambat.
"What kind?" tanya Zalina sambil memeluk tubuh dan berdiri di hadapan Zarul yang semakin tertunduk demi mengelakkan godaan di depan mata.
"Taekwondo, black belt 3rd Dan," beritahu Zarul dengan suara agak perlahan.
"Wow! So you are the right person! Okey, jangan cakap banyak, just terima aje offer I. You masih muda dan I nak offer you kerja dengan gaji beribu sebulan. You tak payah kerja kuat-kuat, just jaga I saja. You boleh jadi personal manager I juga. Lagipun kadang-kadang masih ada promoter panggil I untuk fashion show, maklumlah…I masih laku dan berharga. You jangan jadi bodoh! Zaman sekarang ni orang pentingkan duit. No money, no talk!" Zalina benar-benar mahu Zarul menerima tawarannya.
Zarul diam lagi. Kali ini makin tunduk kerana liuk-lentuk Zalina benar-benar menguji kelelakiannya. Tidak tahulah samada Zalina sengaja ingin menggoda atau memang sudah begitu sifatnya. Otak Zarul ligat memikirkan tawaran Zalina. Fikirannya juga ligat mengenangkan perjalanan hidupnya. Duit bukanlah agenda utama. Tapi dia sedikit ragu untuk menerima tawaran yang datang secara tiba-tiba itu.
"Kalau you diam aje ni, I anggap you setuju. Deal?" Zalina menghulurkan tangannya. Zarul teragak-agak menyambutnya.
**********************************
BERMULA dari saat itu hingga kini, Zarul setia menemani Zalina setiap kali wanita itu memerlukannya. Dato’ Kamarudin telah meletakkan sepenuh kepercayaan terhadapnya. Sayangnya, kepercayaan itu telah disalahgunakan oleh Zalina dan Zarul sendiri. Bermula dengan cumbuan biasa, mereka akhirnya telah menyimpang jauh dari batas yang sepatutnya.
Zarul melepaskan keluhan demi keluhan setiap kali memikirkan perjalanan hidupnya. Kesunyian terasa mencengkam dirinya kini. Ingin sahaja dia menjerit dan melaungkan segala apa yang terpendam di hatinya.
Kalaulah masa itu dapat diputar kembali, ingin sahaja Zarul kembali ke masa yang telah lepas untuk memperbetulkan setiap kesalahan yang telah dilakukannya. Waktu itu dia benar-benar bodoh dan tidak menggunakan akal yang matang. Bertindak melulu mengikut perasaannya yang sering memberontak ketika itu. Malang sekali semua itu hanya angan-angan yang tidak mungkin akan jadi kenyataan.
Apa yang telah terjadi, terpaksa ditelannya sebagai satu sejarah dan kenangan hitam. Menyesal sudah tidak berguna lagi. Dia sudah terlalu jauh menyimpang. Dirinya seolah-olah sudah sebati dengan Zalina. Saat ini dia memang ingin menyalahkan Zalina. Kerana Zalinalah yang menggoda. Zalina juga yang mengheretnya masuk ke lembah penuh dosa yang mengasyikkan dan menghanyutkan dirinya ke lautan nikmat. Untuk berpatah kembali, terasa amat mustahil. Zarul seolah-olah sudah ‘terikat’ dengan Zalina.
Usia mudanya banyak dihabiskan bersama Zalina. Wanita penggoda itu bijak memainkan peranan dan bijak mengambil setiap kesempatan dan peluang yang ada. Sikitpun Dato’ Kamarudin tidak mengesyaki apa-apa. Di depan Dato’ Kamarudin, dia akan menjadi seorang isteri yang sentiasa kasih, rindu dan cintakan suaminya. Tetapi di belakang, Zalina bagaikan singa betina yang kelaparan. Kadangkala Zarul cukup muak menonton perlakuan Zalina yang pandai bermuka-muka.
Tetapi hingga ke saat ini, Zarul masih tidak dapat melepaskan diri dari ‘ikatan’ yang dicipta Zalina. Perempuan itu sudah mencengkamnya. Jarang sekali Zarul dapat bergerak bebas, Zalina sentiasa ‘mengganggu’ hidupnya dengan apa cara sekalipun. Dan Zarul tidak tahu bilakah dia akan lepas bebas menikmati hidupnya sendiri. Dosa zinanya terlalu besar. Tanpa berbekalkan kasih dan cinta, hanya berlandaskan nafsu semata, dia terjerumus ke lembah zina.
Firman-Nya, "Dan janganlah mendekati zina; sesungguhnya ia satu kesumbangan, dan jalan yang jahat"
Sedangkan hidup Zarul sudah bergelumang dengan zina. Dia ingin bertaubat. Namun dia keliru. Masih bolehkah keterlanjurannya diampunkan Tuhan?
3
PANGGILAN telefon dari Zalina sebentar tadi, membuatkan Zarul mengeluh lega. Masih terngiang-ngiang di telinga, Zalina merengek kerana tidak dapat bersamanya minggu ini. Entah mengapa, Dato' Kamarudin memanjangkan cutinya bersama Zalina selama satu minggu lagi! Dato’ Kamarudin tiba-tiba berhasrat untuk ‘berbulan madu’ dengan Zalina setelah hampir sebulan tidak berjumpa dek kesibukannya menguruskan syarikat. Lebih-lebih lagi bila KMBina Holdings selalu menang tender-tender besar termasuk projek di luar Negara membuatkan Dato’ Kamarudin tidak dapat menghabiskan waktu bersama isteri mudanya itu. Ah! Sekurang-kurangnya untuk minggu ini Zarul masih bebas bersendirian.
Zarul memandu keretanya menuju ke SS15, Subang Jaya. Sudah lama dia tidak ke situ. Zarul mahu menikmati keenakan roti telur di Gazebo. Dia suka benar duduk melepak di situ walaupun terpaksa datang bersendirian, sekurang-kurangnya dia boleh memerhatikan gelagat orang ramai yang berkunjung di situ. Namun Zarul sendiri turut menjadi perhatian beberapa orang gadis yang sedang menikmati minuman petang di situ.
Apa tidak, penampilan dirinya memang memikat. Dengan rupa paras menarik serta rambut beralun lembut hempir mencecah bahu, dan bertubuh lampai dengan ketinggian 5’10”, sesiapa sahaja pasti akan menoleh berkali-kali ke arahnya. Apatah lagi rupa parasnya tidak kelihatan seperti lelaki Melayu tulen.
"You ni memang handsome Zarul, perfect! But you tau apa yang paling memikat I? Your sexy lips ni. Tahi lalat pada bibir you ni yang mahal. Macam menggoda perempuan untuk bercium dengan you!” kata-kata nakal dari Zalina masih terngiang-ngiang di cuping telinganya.
Zarul tersenyum sinis sendirian. Zalina mahu hanya dia seorang menikmati keindahan tubuh badan lelakinya, luar dan dalam! Tidak memberi peluang dan ruang untuk dirinya mengenali mana-mana perempuan. Zalina pasti mengamuk jika mengetahui Zarul menjalin hubungan dengan gadis lain. Pernah Zarul menjalin hubungan dengan seorang gadis pelajar kolej. Tetapi akibatnya, gadis itu teruk dipukul Zalina sebelum dilambakkan dengan sejumlah wang sebagai menutup mulutnya daripada membuat aduan polis. Zarul kecewa bila gadis itu menerima wang tersebut dan meninggalkan dirinya begitu sahaja. Dasar perempuan materialistik!
Tetapi Zarul sendiri tidak pasti samada Zalina benar-benar cinta atau sekadar obses terhadap dirinya.
********************************
KETIKA jam di pergelangan tangan menunjukkan hampir pukul lima petang, Zarul mula angkat punggung, beredar dari Gazebo. Keretanya dipandu perlahan menyusuri lorong di antara deretan kedai. Tiba-tiba matanya tertumpu pada deretan kedai di sebelah Café Darussalam. Kedai cyber café! Hmmm… Dah lama tak chit chat. Surfing pun okey jugak ni. Boleh jugak tengok apa barang bagus. Zarul tersenyum nakal. Kereta diparkir tidak jauh dari situ.
Zarul melangkah masuk ke Lucos Internet Café dan mendaftar di kaunter. Hanya beberapa buah komputer sahaja yang kosong. Selebihnya dikuasai oleh beberapa remaja hingar-bingar bermain game online. Mujur juga dia ditempatkan di komputer paling belakang. Adalah juga sedikit privasi untuknya.
Program mIRC diklik. Zarul terpaku seketika, menatap skrin berukuran 15” itu. Nak pakai nama samaran apa ek? Takkan nak pakai nama betul? Dah lama tak chat, takkan nak letak Zarul? Zairy? Effendy? Heh! Gilalah pakai nama betul! Zarul mula menaip nama samaran yang tiba-tiba terlintas di fikirannya, badguy. Ikon connect to server diklik.
Sebaik sahaja ikon connected tertera, Zarul mula masuk ke beberapa channel. Channel ‘Mamak’, ‘Kampung’,... Ah! Banyaknya message flood yang diterima. Terus sahaja Zarul keluar dan menaip beberapa nama channel sesuka hati. Ada yang berpenghuni, dan ada juga yang kosong. Ada beberapa mesej peribadi menjemputnya masuk ke channel lain. Zarul hanya melayan sahaja. Akhir sekali, dia menaip nama channel Setinggan setelah menerima jemputan dari seseorang yang menggunakan nickname AnoMcute.
Kelihatan suasana channel Setinggan agak meriah. Mereka berbual-bual tentang banyak perkara. Zarul hanya membaca sahaja perbualan mereka tanpa berhajat mengenalkan diri. Nampaknya mereka sudah saling mengenali antara satu sama lain. Antara nickname yang aktif, DingDang, PanJanG, JiMMy, daniel_haiqal, BebiOren dan CiK_KeSoM! Haha… kelakar pulak nama CiK_KeSoM tu…
Zarul tertarik dengan nama samaran tersebut. Lagipun dia perhatikan CiK_KeSoM banyak bergurau senda di channel, membayangkan seolah-olah dia seorang yang periang. Tanpa ragu-ragu, Zarul meghantar pesanan peribadi kepada CiK_KeSoM.
Lama Zarul menunggu. Tiada jawapan. Tetapi CiK_KeSoM masih lincah berbual di channel. Zarul terus menanti sambil membaca perbualan mereka yang kadangkala sedikit mencuit hatinya. Betapa mereka kelihatan ‘gembira’ dan ‘riuh rendah’.
Akhirnya ada jawapan. Zarul tersenyum. Memang dia akui, CiK_KeSoM itu nampak sibuk melayan perbualan di channel.
Zarul mula membetulkan duduknya sambil tersenyum. Peramah betul si CiK_KeSoM ni... Tertarik hatinya untuk terus berbual. Ikon itu seolah-olah membayangkan CiK_KeSoM sedang tersenyum nakal sambil menjelirkan sedikit lidah. Cute! Sekejap sahaja Zarul sudah mula rasa terhibur.
<badguy> By the way, u ni perempuan ke? Dah kahwin?
Zarul terpegun. Wah! Boleh tahan hebat dia ni, ada kedai sendiri! Patutlah sesuka hati aje boleh online! Teringin pula Zarul untuk berkenalan dengan CiK_KeSoM itu dengan lebih dekat.
Entah mengapa, Zarul terasa ingin berterus terang dengan CiK_KeSoM atau Edrinaz yang baru dikenalinya itu. Terasa ingin bercerita sesuatu dengan Edrinaz lebih-lebih lagi perempuan itu ‘kelihatan’ peramah dan ceria. Easy going!
Tergelak Zarul dibuatnya. Membayangkan bahawa Edrinaz betul-betul melopong bila diberitahu akan pekerjaannya. Yelah, mesti orang terkejut punya. Dia bukanlah golongan lelaki yang baik… mungkin boleh dikategorikan sebagai gigolo… tapi gigolokah dia? Zarul sendiri tidak pasti.
Hampir sahaja Zarul tergelak kuat membaca ayat yang ditaip oleh Edrinaz. Nasib baik dia dapat mengawalnya. Kalau tidak, pasti gamat cyber café ini dengan gelak ketawanya.
Zarul senyum lagi. Edrinaz sedikit sebanyak telah berjaya membuatkan dirinya terhibur. Dia tidak menyangka, Edrinaz boleh memberikan nasihat keagamaan padanya. Zarul ingin meneruskan bicara tetapi terpapar di skrin, No such Nick/Channel. Zarul memerhatikan channel. Tertera tulisan:
*CiK_KeSoM has quit IRC (Quit: roger n out! )
Aiseh, dah keluar la pulak, tak sempat nak mintak contact number. Zarul mengeluh dan terus tersandar di kerusi. Frust!
4
INTAN EDRINAZ menutup program mIRC. Cukuplah setengah jam dia berbual dengan rakan-rakan di internet, bertukar-tukar pendapat dan pandangan serta bergurau-senda. Ada banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan. Sebenarnya Edrinaz berasa sedikit tertekan sejak kebelakangan ini. Dia cuba memikirkan cara terbaik memajukan Trend Art Collections, kedai hiasan dalaman yang diusahakan bersama rakan baiknya, Ainon Nisa sejak setahun yang lalu.
Kedai usahsama mereka itu menawarkan barangan hiasan dalaman, rata-ratanya berkonsepkan nusantara. Kedai mereka masih boleh dikira baru tapi nasib agak menyebelahi mereka, bila jualan setiap bulan masih ada untungnya biar tidak begitu tinggi. Kerana itulah mereka berdua terpaksa bekerja keras mencari pelanggan baru. Mujur juga Ainon tinggal di Kota Damansara, dekat dengan kedai yang disewa beli mereka di Dataran Sunway Damansara. Sedangkan Edrinaz tinggal di Apartment Keranji SS19, Subang Jaya. Nasib baiklah mereka mempunyai pekerja yang boleh dipercayai, Suriani yang bertugas sebagai pembantu kedai dan Aziz, pemandu lori merangkap ‘mat dispatch’ mereka.
Dapat berbual dengan rakan-rakan lama menerusi saluran IRC tadi, sedikit sebanyak memberi sedikit kelegaan pada otaknya yang sudah terasa sendat dan sarat. Berchatting di internet sebenarnya banyak kebaikan, cuma bergantung pada cara seseorang itu menggunakannya atas niat dan tujuan apa.
Hmm, ada jugak orang nak kenal. Entah mamat sesat manalah yang masuk channel Setinggan tadi. Zarul… hmm, boleh percaya ke dia tu gigolo? Kesian pulak kat dia, aku quit macam tu aje… Lantaklah, bukan aku kenal pun siapa dia tu. Dalam ‘dunia IRC’ ni, macam-macam ada! Edrinaz tersenyum sendiri. Bila jam di pergelangan tangan menunjukkan hampir pukul 5.30 petang, Edrinaz segera berkemas untuk pulang ke rumah. Sakit kepala Edrinaz bila mengenangkan akan menempuhi kesesakan lalulintas sebentar lagi. Lebih-lebih lagi ketika hari hujan begini. Balik ikut highwaylah jawabnya…
“Ainon! Aku dah nak balik ni,” beritahu Edrinaz menghampiri Ainon. Gadis itu masih sibuk menyemak jumlah jualan dalam komputer.
“Eh? Dah waktu balik ye? Alamak! Aku tak sedarlah!” Ainon mula kalut menutup suis komputer.
“Hari ni pun aku nak balik awal lah. Su cuti, malaslah aku duduk kat kedai sorang-sorang. Aziz pun baru call, dia kata tak sempat balik sini, jalan jammed dekat Bukit Bintang,” tokok Ainon lagi. Kebiasaannya dia dan Edrinaz akan bergilir-gilir berada di kedai sehingga jam 8.00 malam dengan waktu kedai yang memulakan operasi seawal jam 9.30 pagi.
“Balik ajelah Ainon, nanti kau seorang kat sini, bahaya. Kau nak aku tunggu tak ni?” tanya Edrinaz.
“Tak apalah. Kau balik dulu. Biar aku tutup kedai.” kata Ainon memberikan jaminan.
“Kalau macam tu, aku balik dulu ye? Jumpa lagi esok. Bye!” ucap Edrinaz.
Selepas bersalaman, Edrinaz keluar dari Trend Art Collections. Edrinaz memandu keretanya keluar dari tol Kota Damansara terus memasuki Lebuhraya NKVE. Tapi keadaan jalanraya tidak seperti yang disangka. Jalan sesak teruk selepas tol Subang. Aduh mak! Edrinaz memicit dahi. Kalau boleh menangis, dia mahu menangis melihat deretan kereta beratur dan berebut-rebut mahu memotong masuk barisan yang ada. Sabar ajelah…
********************************
“LAMBAT balik?“ tegur Shamsul Azman setelah menoleh sekilas ke arah Edrinaz di muka pintu. Nampak sarat menjinjing barang-barang keperluan dapur. Tetapi Shamsul Azman tidak membantu, sebaliknya mengambil suratkhabar dari atas meja dan duduk di sofa mengadap TV. Edrinaz mengeluh kehampaan.
“Jalan jam! Ingatkan lalu ikut highway, boleh sampai cepat tapi sama jugak! Lepas tu Inn singgah Carrefour jap. Lenguh kaki ni!” rungut Edrinaz dengan wajah sedikit mencemik sebelum terus ke dapur. Mengasingkan barang-barang kering dan basah untuk disimpan di dalam peti sejuk.
Selepas itu kelam-kabut Edrinaz masuk ke bilik air untuk mandi. Kalau lambat mandi selepas terkena hujan, alamat sakit kepalalah jawabnya. Sudah terasa aura migraine mahu datang menyerang!
Sesudah mandi dan menunaikan solat maghrib, Edrinaz terus ke dapur untuk menyediakan makan malam. Dia mahu memasak ayam goreng berlada dan sayur bayam tumis air. Lauk kesukaan suaminya. Sebelum memasak, Edrinaz sempat membancuh nescafe panas dan menghantarnya ke depan Shamsul Azman. Selepas itu Edrinaz kembali ligat memasak di dapur.
“Abang, jom makan! Dah siap ni!” panggil Edrinaz dari dapur. Tangannya sibuk menyenduk nasi yang masih berasap ke dalam pinggan. Beberapa ketika kemudian, barulah suaminya itu muncul dan terus duduk di meja.
“Ikan masin tak ada ke?“ soal Shamsul Azman ketika mula menyuap nasi ke mulut. Matanya melirik ke setiap pinggan lauk di atas meja.
“Alamak! Bang, Inn lupa beli!” Edrinaz menahan tangan ke dahinya dengan muka berkerut dan sedikit tersengih memandang Shamsul Azman. Sungguh, dia terlupa hendak membeli ikan masin gelama jeruk kesukaan suaminya. Dia terlalu kalut hendak pulang cepat ke rumah setelah selesai membeli barangan dapur tadi.
“Sorry ye bang?“ Edrinaz memegang tangan kiri Shamsul Azman. Memandang wajah suami dengan penuh rasa bersalah.
Shamsul Azman hanya mengangguk dan terus makan. Edrinaz tahu, suaminya itu sedikit marah. Namun dia cuba memujuk hatinya sendiri agar tidak terlalu menurut perasaan. Mereka terus makan tanpa keluar sepatah bicara. Hanya terdengar bunyi sudi berlaga dengan pinggan. Selepas makan, Shamsul Azman terus ke ruang tamu untuk menonton TV sementara Edrinaz membasuh pinggan mangkuk. Waktu itu, Edrinaz mulai merasakan kepalanya berdenyut-denyut. Berkerut dahinya menahan denyutan yang terasa semakin mencengkam urat kepala.
Cepat-cepat Edrinaz menyudahkan cucian, menelan dua biji panadol dan segera ke ruang tamu. Edrinaz merebahkan badannya di ribaan Shamsul Azman. Rasa sedikit lega apabila dapat berbaring di pangkuan suami tercinta.
“Ni kenapa pulak ni? Sakit kepalalah ni? Sikit-sikit sakit kepala! Makan jamu macam-macam tapi sakit jugak!” perli Shamsul Azman. Agak sinis bunyinya. Edrinaz menarik nafas panjang. Sakit juga telinganya mendengar sindiran si suami tetapi dia pura-pura mempamerkan reaksi manja.
“Ala, abang ni, janganlah membebel. Makin sakit kepala Inn. Tolonglah picitkan sebelum melarat,” rengek Edrinaz sambil menarik tangan Shamsul Azman lalu ditekapkan ke dahinya.
Sakit yang tadinya tidak seberapa mulai terasa menjalar ke seluruh kepala. Shamsul Azman mula memicit kepala Edrinaz. Baru sahaja beberapa minit Shamsul Azman memicit, Edrinaz sudah terlena keletihan. Shamsul Azman cuba mengejutkan Edrinaz. Tetapi nampaknya Edrinaz tidak mahu bangun melainkan hanya merengek dengan mata terus terpejam rapat.
Mahu tidak mahu, terpaksalah Shamsul Azman mencempung Edrinaz masuk ke dalam bilik. Edrinaz terus tidur dengan nyenyak. Shamsul Azman menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal merenung sekujur tubuh Edrinaz. Hai… nampak gayanya ‘MC’ lagilah malam ni… keluhnya dengan perasaan kecewa teramat sangat sambil menarik selimut.
**************************
JAM lapan pagi, Edrinaz sudah siap berpakaian untuk ke Trend Art Collections. Shamsul Azman pula masih pulas di atas katil. Suaminya itu memang liat hendak bangun pagi. Solat subuh pun selalu sahaja terlepas walau sudah berbuih mulut Edrinaz mengingatkan tentang yang fardhu. Sementara menunggu Shamsul Azman bangun, Edrinaz membancuh Nescafe tarik, kegemaran suaminya sejak masih bujang lagi. Bila sudah siap semuanya, barulah Edrinaz kembali ke bilik tidur untuk mengejutkan Shamsul Azman dari tidur.
Mula-mula Edrinaz menatap puas-puas wajah Shamsul Azman. Inilah wajah yang pernah menjadi rebutan perempuan dulu. Akhirnya dapat kat aku jugak. Tapi, sayang ke dia pada aku? Atau dia semata-mata kahwin dengan aku sebab duit? Atau sebab digesa oleh keluarganya, setelah bertahun-tahun bercinta, kononnya? Hmm… entahlah!
“Abang, bangunlah. Dah dekat pukul lapan suku ni,” bisik Edrinaz lembut ke telinga suaminya. Shamsul Azman hanya bergerak sedikit.
“Abang…bangun,” Edrinaz mula menggoncang perlahan bahu Shamsul Azman. Susah betul nak kejutkan dia ni bangun. Kalau dibiarkan, alamat, tak pergi kerjalah jawabnya…
“Hmmm…” Shamsul Azman menjawab dengan nada penuh malas tetapi mula membuka matanya. Bila terlihat Edrinaz di sisi yang sudah kemas berpakaian, dia bingkas bangun. Memisat-misatkan mata sebelum mengamati jam di dinding.
“Ha… Inn dah kejutkan banyak kali tau, tapi abang liat nak bangun!” Awal-awal lagi Edrinaz membela diri bila melihat kerutan di dahi Shamsul Azman beserta renungan tajam. Memahami akan kemarahan yang bakal meletus.
Shamsul Azman tidak bersuara tetapi segera bangun mencapai tuala lalu terus ke bilik air. Edrinaz pula cepat-cepat mengemaskan katil yang berkapar dengan selimut dan bantal, lintang pukang.
Sementara menunggu Shamsul Azman bersiap, Edrinaz kembali ke meja untuk bersarapan. Cukup dengan hanya dua keping roti disapu mentega dan segelas Nescafe.
“Abang, Inn dah nak pergi ni,” Edrinaz mendapatkan Shamsul Azman yang baru keluar dari bilik tidur. Tangan kanan lelaki itu ditarik dan disalami. Edrinaz kemudiannya mencium kedua-dua belah pipi suaminya. Ciuman ringan juga hinggap di bibir Shamsul Azman. Kemudian barulah Edrinaz tunduk dan mencium tangan Shamsul Azman yang dikasihi.
Itulah rutin seharian Edrinaz sebelum ke tempat kerja. Tapi hatinya seolah sedikit longlai sejak kebelakangan ini. Selalu sahaja Edrinaz terkenangkan peristiwa-peristiwa lama antara dia dan Shamsul Azman.
**********************************
“INN tak boleh nak lupakan Man… Inn tak boleh nak terima orang lain dalam hidup Inn. Inn hanya cintakan Man, Inn tak boleh nak fikirkan hidup Inn dengan orang lain,” esak tangis Edrinaz, mengiringi kata-katanya.
Shamsul Azman hanya terdiam. Sebenarnya dia agak terkejut kerana setelah berkali-kali putus hubungan dan sekian lama berpisah, Edrinaz datang mencarinya di Klang. Dia sendiri pun sudah tidak mengharapkan lagi jodohnya dengan Edrinaz. Maklumlah Edrinaz gadis lepasan Universiti. Tidak padan dengan dirinya yang sekadar belajar hingga peringkat SPM. Malah, setelah berpisah, Shamsul Azman terus berkawan dengan ramai perempuan. Maklumlah dia sememangnya ramai peminat. Punya rupa yang boleh memikat dengan tubuh tegap pada ketinggian 5’8”. Bermata tajam persis renungan helang.
Kesungguhan Edrinaz merebut kembali cinta Shamsul Azman membuatkan mereka menyambung semula hubungan yang sekian lama terputus. Keputusan yang membuatkan ramai kawan perempuan Shamsul Azman kecewa termasuklah seorang gadis bernama Junaida yang agak rapatnya. Kisah tentang Junaida, hanya Edrinaz ketahui selepas berkahwin, itupun setelah Edrinaz terjumpa sepucuk surat cinta dari Junaida, barulah Shamsul Azman mahu bercerita.
Biarpun tidak pernah keluar ucapan sayang dan cinta dari mulut Shamsul Azman, Edrinaz yakin bahawa Shamsul Azman adalah jodohnya. Edrinaz menganggap dengan berhubungan begitu, sudah membuktikan Shamsul Azman sayang padanya. Maklumlah Shamsul Azman jenis lelaki ‘berhati dingin’ dan sukar untuk meluahkan perasaan.
Cuma semakin lama, setelah berkahwin, Edrinaz terlalu mendambakan ungkapan sayang dari Shamsul Azman. Kerana bagi Edrinaz, perasaan kasih dan sayang antara suami dan isteri perlu ditunjukkan setiap hari. Tetapi lama kelamaan, keyakinannya terasa semakin goyah dek sikap suaminya itu yang terlampau ‘dingin’, terlalu ego untuk meluahkan kata sayang, biarpun pada isteri sendiri. Meleset segala sangkaannya bahawa Shamsul Azman akan berubah menjadi lebih penyayang setelah mereka berkahwin.
*************************************
AKU ni terlalu mendesak ke? Aku ni terlalu mengharapkan cinta dia ke? Berat sangat ke mulut dia nak lafazkan sayang kat aku? Edrinaz mengomel sendirian. Dia sedar ada sesuatu yang semakin terhakis antara mereka berdua. Sikap Shamsul Azman yang acuh tidak acuh, tidak pernah mengambil berat tentang dirinya membuatkan Edrinaz tertekan. Edrinaz ingin sekali Shamsul Azman memanjakan dirinya, membelainya dengan penuh kasih. Tidak perlu kata cinta tapi cukup dengan perbuatan. Huh! Tapi itu semua tinggal harapan sahaja. Nak tengok TV sambil berpelukan pun Shamsul Azman kata rimas. Inikan pula hendak berbual dan bergurau senda secara romantik!
Hanya keluhan yang dapat Edrinaz luahkan… Kenangan manis antara mereka berdua terasa semakin tawar dan pudar…