CINTA MEKAR DI HATI

Monday, January 12, 2009



Terbitan : Alaf 21 Sdn Bhd
Tajuk: Cinta Mekar Di Hati
Halaman: 560 ms
Harga: RM19.90/S&S = RM22.90


CINTA MEKAR DI HATI merupakan novel terbaru daripada Rose Harissa, kini sudah berada di pasaran.

Setiap cinta…pasti ada derita, pengorbanan, cemburu dan air mata. Cinta tidak hadir dengan kekayaan dan kebendaan…tetapi hadir dengan pengorbanan dan kesetiaan.

Ady Rafizal…cinta tidak pernah punya undang-undang, tetapi mengapa harus aku terhukum? Dalam derita, hanya bayangmu yang mampu kudakap. Namun, selagi aku bernafas dengan nama ALLAH, tidak pernah sekali aku berhenti merinduimu. Dan aku yakin, cinta akan mengembalikan kau kepadaku.

Fasha… cinta tidak pernah menyeksa tetapi sentiasa menguji. Sekali kau memberi cinta, tidak akan kubiarkan ia hilang ditelan waktu walau beribu batu kita terpisah. Sesungguhnya, kau adalah cinta dan nyawaku dalam hidup ini.

Fahrin… cinta itu sebuah pengorbanan, tetapi mengapa ia bukan noktah cintaku kepadamu? Kenapa semakin sukar aku miliki cintamu setelah menanggung derita ini? Cintaku indah tapi aku derita perasaan.

Tengku Alis Marina… cinta itu madu dan racun! Andai aku tidak memiliki madunya, biarlah aku jadi racunnya!

Cinta adalah satu-satunya bunga yang tumbuh mekar tanpa bantuan musim- Khalil Gibran


*********************

PROLOG

PENYAIR Agung Khalil Gibran pernah berkata, “Cinta adalah satu-satunya bunga yang tumbuh mekar tanpa bantuan musim…” Begitulah cinta Rafizal terhadap Fasha. Tidak pernah pudar mahupun bermusim. Selama matanya terbuka, sampai jantungnya tidak berdetak, selama itu jugalah dia mampu mengenangkan Fasha kerana wanita itu adalah cinta sejatinya. Cinta yang sentiasa mekar di hati, dibajai rasa rindu yang tidak pernah terhapus hingga ke hujung nyawanya.

Dan demi cintanya yang mekar itu juga, Rafizal menguatkan diri. Berlari selaju mungkin menuju ke satu arah di mana dia akan menemui kembali cinta yang pernah diragut dari dalam hidupnya. Panggilan Saifulizam dan Fazrul tidak lekat lagi di telinganya. Rafizal tidak peduli lagi akan halangan yang bakal ditempuhi. Kocakan rasa hati lebih meruntun perasaan. Dia ingin mengambil kembali haknya yang pernah hilang.


Larian Rafizal semakin laju. Sama laju dengan debaran kencang di dadanya. Dia sendiri belum pasti samada mampu menghadapi segalanya dengan tenang atau tidak. Kelibat wanita berambut panjang melepasi bahu berjalan menyusuri pantai membelakanginya, semakin jelas di pandangan mata. Debar di dada Rafizal semakin meronta, kuat hingga hampir menyesakkan nafasnya sendiri. Hanya tinggal beberapa ela sahaja lagi jarak antara dia dan wanita itu.


Namun, langkahnya terhenti tatkala bayu Laut China Selatan menghembuskan nafas membawa bersama haruman dari tubuh wanita itu. Denyut jantung Rafizal seakan terhenti. Haruman itu amat dikenalinya. Haruman dari minyak wangi Ananya menusuk lembut ke hidungnya. Dia pernah ketagihkan haruman itu di saat jiwanya menderita rindukan Fasha.


“Fasha…” Tanpa disedari bibirnya menyeru perlahan nama tersebut. Nama yang pernah membuatkan tidur malamnya tidak lena. Sepasang mata milik Rafizal masih tidak berkelip memerhatikan setiap langkah wanita itu, sedangkan suaranya seperti tidak terkeluar lagi.


“Ibu!!” 


Rafizal tersentak mendengar panggilan tersebut. Kelihatan seorang kanak-kanak kecil berlari menerpa ke arah wanita itu. Itu Adri! Adakah itu bererti Adri adalah anaknya? Namun Rafizal keliru bila melihat tidak jauh dari situ, berdiri seorang lelaki bertubuh sasa sedang tersenyum mesra menanti Adri dan wanita tersebut menghampiri.


“Fasha!!!” panggil Rafizal agak kuat seiring dengan jeritan batinnya. Wanita itu berpaling. Lelaki itu juga turut menoleh. Mereka sama-sama terkaku. Apatah lagi Rafizal, yang terasa menggeletar seluruh tubuhnya. Namun gelora di jiwa hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Fasha!! Memang itulah Fasha yang dicarinya selama lima tahun ini. Yang dirinduinya… yang dicintainya…


Rafizal tidak mampu melangkah lagi. Perlahan-lahan melurut ke atas pasir halus memutih. Kiranya di sini rindunya terlerai. Mereka berpandangan, gamam untuk beberapa ketika.


“Abang!!!” Jeritan halus itu menyapa di telinganya. Fasha berlari, menerpa ke arahnya. Jelas terlihat linangan airmata di pipi gebunya. Fasha masih mengenalinya!


Saat Fasha lekat dalam rangkulannya, airmata lelaki Rafizal mencuri keluar, tidak dapat tidak tahan lagi. Sedetik hatinya memanjat rasa syukur kepada Ilahi.


Doanya selama ini dimakbulkan ALLAH. Derita menanggung rindu lima tahun terungkai sudah.
YA, ALLAH Ya Tuhanku, Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengasihani…


1
“HAH?! Minah tu pernah jadi awek kau?” 

Fazrul dan Ady Rafizal sama-sama terjojol biji mata memandang ke luar restoran, ke arah seorang gadis yang sedang berdiri di sisi sebuah Mercedes Benz sambil mengirai-ngirai rambutnya. Setelah beberapa ketika ternganga dengan mata tidak berkelip-kelip, barulah Fazrul dan Rafizal mengalih pandang pada Saifulizam yang bermuka monyok.


“Kau biar betul, Tam?” Rafizal menagih kesahihan.


“Kenapa? Korang tak percaya aku pernah couple dengan minah tu?” sela Saifulizam dengan wajah menahan geram.


Fazrul dan Rafizal menggeleng serentak. Memang mereka tidak percaya langsung! Mana mungkin si keding seperti Saifulizam dapat berpasangan dengan gadis seseksi itu! Mustahil!


“Tiga bulan aje kami tahan. Lepas tu dia blah!” Suara Saifulizam berbaur kekecewaan.


“Hishh…ranggi benar awek tu. Macam tak percaya pulak dia tu bekas kekasih kau!” kata Rafizal dengan wajah berkerut seribu. Mencerunkan sedikit matanya ke arah Saifulizam.


“Tak percaya sudahlah! Yang kau pulak macam tak pernah tengok perempuan seksi, apahal? Tak puas tengok minah salleh kat US dulu?” tingkah Saifulizam bila melihat Rafizal masih lagi memandang ke arah gadis seksi itu.


“Alah, kau ni, itu minah salleh…lain cerita. Dah tak heran aku kalau tengok diorang pakai baju tak cukup kain. Tapi ni, Melayu! Huuishhh! Daring betul!” balas Rafizal sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak sanggup untuk melihat gelagat si gadis itu meliuk-lentuk di sebelah lelaki yang agak berusia. Hatinya terasa sinis dan jelek. Manalah perginya maruah gadis itu sebagai perempuan Melayu? Sanggup berpakaian seksi begitu dan berpasangan dengan lelaki berusia? Adakah kerana harta? Rafizal mengeluh. Seketika kemudian, Mercedes Benz itu berlalu pergi. 


“Agaknya, dia memang dah sedia nak masuk neraka ye?” sambung Rafizal lagi mengundang senyum sinis di bibir Fazrul dan Saifulizam. Rafizal memang begitu. Anti dengan perempuan agaknya, ada sahaja sindirannya jika tidak berkenan pada seseorang gadis. Dalam konteks itu, Rafizal dilabel sebagai terlalu memilih oleh rakan-rakannya. 


“Tapi dia macam tak kenal kau aje?” Tiba-tiba sahaja Fazrul menepuk meja, menayangkan raut wajah tidak puas hati. Memang dia tidak percaya langsung Saifulizam yang sudah sinonim dengan panggilan Tam itu, pernah bercinta dengan perempuan seksi itu. Ada ke perempuan nakkan lelaki kurus macam Saifulizam ni? 


“Dah tu? Kau tengoklah dia keluar dengan siapa? Dengan bapak jerung! Kalau dia tegur aku, habislah periuk nasi dia. Itu pun tak faham ke? Ingat aku ni tak layak ke couple dengan perempuan macam tu?” jerkah Saifulizam, tiba-tiba sahaja naik angin. Terasa dirinya dipersendakan oleh rakan sendiri.


“Eh? Rilekslah Tam. Aku tanya aje,” Fazrul mula gabra, tidak menyangka gurauannya mengundang kemarahan Saifulizam.


“Sorrylah, Rul. Aku tak sengaja nak marah-marah kau. Tapi aku ni sensitif sikit kalau pasal perempuan tu,” Saifulizam mengendurkan suara setelah menyedari keterlanjuran kata-katanya sebentar tadi. 


Sesekali Saifulizam mengerling ke arah Rafizal yang pura-pura tekun mengupas bawang besar. Mahu sahaja terhambur tawanya bila melihat gelagat Rafizal. Rasa kelakar bila melihat lelaki sekacak Rafizal, terkial-kial mengupas bawang. Matanya terkejip-kejip menahan pedih. Nampaknya petua tangkai cili kering diselitkan di celah telinga tidak menjadi untuk mengelakkan pedih mata ketika mengupas bawang.


“Apa sebenarnya dia dah buat sampai kau marah sangat ni?” tanya Rafizal sambil menggenyeh mata yang sudah berair dengan bahu. Matanya sudah kelihatan merah tanda kepedihan.


“Aku bukan tahap marah lagi dah. Tapi kadang-kadang kalau fikir balik, rasa macam nak cekik minah bernama Julia tu sampai mati! Kau tau, lepas dia mintak aku beli rantai berlian sampai lima ribu, dia boleh blah macam tu aje. Bila aku telefon ajak keluar, dia kata kitorang dah tak sesuai! Dah tak ada persefahaman! Geram betul aku dibuatnya!”


“Beli rantai sampai lima ribu?! Mak oi, dah boleh buat hantaran tu! Banyaknya duit kau Tam!” Fazrul terjerit.

“Itulah, murah hati sangat dengan perempuan!” celah Rafizal dengan wajah selamba.


“Eleh… tak kena kat kau, senanglah cakap! Kalau kau berani, cubalah tackle dia. Aku nak tengok berapa banyak kau keluar duit untuk dia!” Nada suara Saifulizam seakan mencabar.


“Tackle?” Rafizal tergelak kuat. “Kalau tackle nak buat main-main, bolehlah. Tapi kalau nak buat stok bini, perempuan tu tak layak untuk aku!”


Saifulizam dan Fazrul sama-sama mencemik tanda meluat. Kata-kata Rafizal kedengaran agak angkuh.


“Aku ni mendambakan seorang gadis yang cun, kiut, berkulit putih, sedap mata memandang. Jelita sangat pun aku tak nak, susah nak jaga. Kurang fasih ilmu agama tak apa. Paling penting, sembahyang tak tinggal. Dalam ertikata lain, fardhu ain dia lulus dengan cemerlang. Fardhu kifayah tu, kalau setakat cukup makan, boleh dimaafkan lagi.” cerita Rafizal tentang gadis idamannya. 


“Oii…kau kahwin dengan ustazahlah!” sindir Saifulizam.


Rafizal tergelak. Biarlah kalau Safulizam dan Fazrul mahu mengutuknya. Walaupun pada zahirnya dia kelihatan nakal dan tidak pernah menunjukkan minat untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana gadis, namun dia juga sudah tetap pendirian. Itulah ciri-ciri gadis idaman untuk menjadi calon isterinya nanti. 


“Tak adalah sampai nak kahwin dengan ustazah. Tapi kau tengoklah perempuan tu. Exposed sangat. Kalau aku jadi boyfriend dia pun, aku fikir beratus kali sebelum nak buat dia jadi isteri sebab dia dah benarkan juga orang lain menjamu mata tengok tubuh badan dia. Perempuan tu sesuai untuk main-main aje!” tokok Rafizal lagi, menyuarakan pendapatnya.


“Baik! Aku cabar kau kenakan minah tu balik! Aku tak kisah dah pasal kerugian lima ribu tu, janji kau dapat kenakan Julia balik! Kau cuba jadi boyfriend dia!” cabar Saifulizam sudah tidak tahan lagi mendengar omelan Rafizal. 


“Well…look at me lah! Kalau dia tak melutut depan aku, dia mesti tersungkur!” Rafizal menyengih.
Sekali lagi Saifulizam dan Fazrul mencemik. Berlagak betul teman mereka yang seorang ni!


“Eleh! Engkau tu pulak, harap muka aje handsome tapi kerja tukang ambil order!” sindir Fazrul yang kemudiannya menghamburkan ketawa sampai terbahak-bahak, disambut oleh Saifulizam. Mereka sama-sama bertampar tangan kerana berjaya mengenakan Rafizal.


“Oi, kau tak perasan ke? Sejak aku kerja sini, semakin ramai awek jadi pelanggan Restoran Rempah Ratus ni. Aku wajar diberikan pujian tau!” kata Rafizal, dalam nada separuh bergurau. 


Saifulizam dan Fazrul sama-sama mencemik. Memang benar, sejak Rafizal bekerja di sini, semakin ramai gadis datang makan di situ. Semuanya kerana terpikat pada Rafizal. Mereka tidak percaya lelaki sekacak Rafizal boleh bekerja sebagai pelayan di Restoran yang terkenal keenakan masakannya. 


“Hai…nasib baik aku tak jaga sini selalu. Kalau tidak mesti geli-geleman tiap-tiap hari tengok ulat beluncas naik daun!” usik Saifulizam, pura-pura menggeledikkan tubuhnya tanda kegelian sebelum ketawa mengenakan Rafizal.


“Amboi, kau ingat aku ni gatal sangat ke nak melayan semua perempuan tu? Tolong sikit ye? Aku bersih dari sebarang skandal!” balas Rafizal membela diri. Saifulizam dan Fazrul sekadar tersenyum mengena. Sengaja mereka mahu mengusik Rafizal sedangkan memang mereka tahu Rafizal bukan jenis lelaki mata kerancang. Dia begitu memilih dan berhati-hati bila mahu mendampingi wanita. 


“Kau ni, boleh ke tidak kerja sini? Kalau tak boleh, cakap aje tak boleh. Nanti lingkup pulak restoran bapak aku ni. Ada ijazah, tapi nak kerja kat sini. Apa punya oranglah ni?” sindir Saifulizam apabila melihat Rafizal masih terkial-kial mengupas bawang yang penuh satu besen sederhana besar tetapi baru tiga biji yang siap dikupasnya.


“Hishh…bolehlah ni. Jangan pandang aku sebelah mata, okey? Ini Ady Rafizal tau! Jejaka serba boleh!” jawab Rafizal sambil terus memotong bawang. Entah macam mana, terpercik air bawang ke matanya. Rafizal terjerit kepedihan.


Saifulizam dan Fazrul sama-sama ketawa melihat Rafizal menggelupur bangun, berlari ke singki sambil menjerit kepedihan.


“Eleh! Cakap saja lebih!”


Rafizal berpaling dengan mata merah berair. Saifulizam dan Fazrul sedang seronok mentertawakannya.


“Tak guna punya kawan!” rungut Rafizal, sedang gelak tawa dua sahabatnya itu masih menampar-nampar telinganya.


2
JULIA mencerunkan mata pada lelaki yang tersengih di hadapannya ini. Timbul rasa meluat di dalam hati apabila lelaki itu tidak sudah-sudah tersengih menayangkan giginya yang tersusun cantik. Killer grin! Muka pun handsome. Itu memang tidak dapat Julia nafikan. Rambutnya panjang, diikat kemas ke belakang, dengan anak rambut berjuntaian sedikit di tepi dahi. Anak matanya berwarna coklat gelap. Berkulit cerah dengan bibir kemerahan dan bertubuh athletic, tinggi lampai. Memang kategori jejaka manhunt! Rupanya memang perfect!

Tetapi itu penampilan menarik dari hujung rambut sampai ke hujung dagu sahaja. Julia hampir tercekik apabila melihat pakaian si lelaki itu. T-shirt pagoda berwarna putih lusuh yang kenipisannya hampir-hampir memperlihatkan kulit. Jeansnya pula kusam sungguh sampai sudah tidak terlihat lagi warna birunya. Dan lelaki itu berkasut penguin! Yarkhhh! Terus sahaja Julia berasa jelek sedangkan lelaki itu semakin tersenyum simpul.


“You ni siapa?” tanya Julia garang. Keningnya terangkat mengamati Rafizal.


“Ady Rafizal. Panggil Ady je.” jawab Rafizal dalam sengihan yang masih belum surut. Tangan kanannya menghulur salam. Tetapi Julia hanya mencemik tanda jelik. Jam tangan pun tak ada! Koman sungguh!


Apabila melihat tiada tanda salamnya bersambut, Rafizal menarik kembali tangan dan melebarkan lagi sengihan.


“I nak berkenalan dengan you!” beritahu Rafizal dengan beraninya. Matanya berkelip-kelip penuh cahaya.


“Apa? Nak berkenalan dengan I?” jegil Julia dengan hujung jari telunjuk ditunjal ke dada sendiri. “Excuse me! I tak ada masa nak layan, okey?”


Julia menepis rambutnya ke belakang. Saat itu ingin sahaja Rafizal menghamburkan cemuhan. Sombong sungguh minah ni! Kalau tidak kerana cabaran Tam, jangan haraplah aku nak terhegeh-hegeh datang rumah perempuan macam ni! Sah, perempuan ni memang materialistik. Mentang-mentang aku pakai selekeh macam ni, kau tak nak pandang aku ye? Tam pun satu, perempuan macam ni dia pilih jadi awek? Kalau akulah, campak dalam lombong aje! Rafizal menggerutu di dalam hati.


Selepas berdehem beberapa kali dan memaksa bibirnya mengukir senyum mesra, Rafizal bersuara lagi. “Takkan nak berkenalan pun tak boleh?”


“Tak boleh! Nak berkenalan dengan I, sekurang-kurangnya kena ada kereta sebuah. Paling koman pun Perdana. Kalau tak ada, jangan mimpi I nak pandang. Kirim salam, selamat malam!”


Aduh mak! Bongkak sungguhlah minah ni! Rafizal merungut di dalam hati. Rahangnya bergerak-gerak sesama sendiri menahan geram. Tetapi muncung mulutnya cepat sahaja diganti dengan senyum lebar apabila menyedari Julia sedang asyik memerhati dirinya dengan kening bertaut rapat.


“I rasa I tahu siapa you!” Kerutan di dahi Julia semakin hebat. Rafizal mula menelan air liurnya yang tiba-tiba terasa payau. Alamak? Dia dah tau aku siapa ke?


“Kenal? Bila pulak you kenal I?” tanya Rafizal dengan lagak bodoh. Hai, entah macam manalah rupa aku agaknya ye? Rasa macam keldailah pulak! Heh, nasib baik kau bukan gadis idaman aku. Kalau tidak, barulah terserlah diri aku yang sebenarnya. Aku ni sebenarnya romantik tau! Rafizal tersengih sendiri sambil mengomel di dalam hati. 


Julia mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Matanya mengecil mengamati Rafizal yang tiba-tiba nampak gelisah bila direnung begitu. 


“Hah!” Julia memetik jarinya. Kemudian matanya membulat garang. “You kawan Saifulizam, kan?”


Rafizal tersenyum lagi. Tidak pula dia menafikan malah mengangguk tanda mengiyakan.


“Oh, dia suruh you dekat dengan I, kan?” jegil Julia.


“Eh? Taklah! Memang I sendiri nak dekat dengan you.” Rafizal pantas menyangkal, takut rahsianya terbongkar.


Julia tersenyum sinis. Dia menjeling ke arah kereta Rafizal. Proton Wira warna putih.  Kereta lama! “Nak kenal dengan I, ye? You kerja dekat Restoran Rempah Ratus, kan?”


Rafizal angguk cepat-cepat.


“Ada kad kredit?”


Rafizal geleng perlahan.


“Rumah?” 


Rafizal menggeleng lagi.


“Jadi, selamat tinggal!” jawab Julia pantas dan cepat-cepat masuk kembali ke dalam rumah. Meninggalkan Rafizal terpinga-pinga sendirian di pintu pagar.


*****************************
MAKANAN yang dipesan kini terhidang di atas meja. Norliza, Naemah dan Fasha mula mengambil makanan masing-masing. Kecuali Julia, masih memanggung dagu. Menanti Norliza menyorongkan pinggan berisi mee hailam kepadanya. Hai, kalau tidak kerana memikirkan ajakan teman serumah, memang dia tak ingin makan di sini! Tak ada kelas langsung!


"Weh, Fasha, kau ni tak ada menu lain ke? Asyik kueteow sup aje!" tegur Naemah tatkala melihat Fasha bagaikan tidak sabar-sabar menghirup kuah kuetiow supnya. Fasha tidak menjawab, sekadar menjeling tajam. Perutnya terasa amat lapar setelah seharian tidak makan kerana terlalu sibuk mengadap komputer menyiapkan kerja grafiknya.


"Eh, korang perasan tak budak yang ambik order tadi tu? Budak baru kan? Muka tak macam Melayu pun, kan? Hensemnya, macam Dennis Oh! Rambut dia lawanya!" Norliza memuji menyamakan pemuda itu dengan model dan berlakon berdarah Korea-Amerika yang diminatinya. Matanya tidak lepas-lepas memandang ke arah dapur, kepada pemuda yang mengambil pesanan mereka sebentar tadi. 
"Liza, kau menggatal pandang lelaki lain, aku repot kat tunang kau!" ugut Fasha. Norliza memang begitu, pantang melihat lelaki kacak, terus ‘terlupa’ pada tunangnya. Nasib baik juga tunangan Norliza sporting orangnya, kalau tidak pasti mereka selalu berperang. 


“Eh, eh? Kau ni Fasha, dengki pulak! Itulah, aku suruh cari boyfriend, kau tak nak!” sela Norliza agak tidak senang dengan ugutan Fasha.


"Ala…kalau dia hensem pun, korang ingat dia nak pandang ke muka kapur korang tu?” Tiba-tiba Julia menyampuk sebelum menyisip fresh orangenya. Norliza, Naemah dan Fasha memandang serentak ke mukanya.


“Dia pandang aku ni! Kalau korang nak tahu, nama dia Ady Rafizal! Semalam dia datang terhegeh-hegeh dekat rumah semata-mata nak berkenalan dengan aku! Tapi sorrylah ye, aku tak main mamat gerai walaupun muka dia hensem habis!" Kata-kata Julia benar-benar berunsurkan rasa bangga dan riak.


Naemah, Norliza dan Fasha sama-sama mempamerkan muka bengang apabila mendengar kata-kata 'terlebih perah santan' dari mulut Julia. Eeyyee...! Tahulah seksi, perasan pulak! 


“Ni apahal pulak kau keluar statement camtu?” tingkah Norliza menunjukkan muka tidak puas hati. Sejak dari dulu lagi, mereka sedar dengan perangai Julia yang suka meninggi diri. 


“Yelah, dia nak tackle aku!” Julia membalas selamba.


Fasha buat tidak tahu sahaja. Tidak mahu masuk campur bertelagah kerana seorang lelaki. Namun sempat juga dia mengerling ke arah lelaki yang dimaksudkan. Memang Fasha akui, lelaki itu kacak, memang ada iras-iras model pelakon yang diminati Norliza, malah rasanya pemuda itu lebih kacak. Tetapi Fasha tidak mahu ambil pusing langsung. Biarpun hanya dia seorang sahaja belum berteman, memandangkan dialah yang paling muda antara mereka semua. Norliza sudah bertunang, Naemah sudah ada kekasih. Julia? Keliling pinggang! Tapi masih belum dapat menentukan yang mana satu boleh dibuat suami!


“Sampai bila kau nak berlagak macam ni, Julia?” Norliza menegur. Benar-benar tidak puas hati dengan sikap Julia. Sekali-sekala dia mengalih pandangan ke arah pemuda kacak bernama Ady Rafizal yang sedang sibuk ke hulu ke hilir mengambil pesanan. Tetapi dalam sibuk-sibuk ke hulu ke hilir itu, sempat lagi pemuda itu melemparkan senyuman ke arah mereka. Norliza tidak tahu kepada siapa senyuman itu ditujukan tetapi apa yang Norliza tahu, senyuman pemuda itu cukup memikat hati. Bisa gugur jantung gue!


“Sampai bila-bila yang aku sukalah! Lagipun mamat tu, tak sesuai dengan aku. Harap muka aje hensem tapi selekeh!”


“Selekeh apanya macam tu? Okey apa? Sempoi!” Norliza terus-terusan membela biarpun dia tidak mengenali ‘Ady Rafizal’ secara dekat.


“Huh!” Julia mencemik. Di penghujung kata, Julia menjeling sekilas ke arah Ady Rafizal. Memang pemuda itu tidak selekeh tetapi hatinya sahaja begitu kuat menolak kenyataan bahawa pemuda itu memang kacak, hanya kerana kerjanya sebagai pelayan di Restoran Rempah Ratus!


*******************************
LEWAT jam sebelas malam, Saifulizam dan Fazrul muncul di Restoran Rempah Ratus. Rafizal baru sahaja duduk melepaskan penat sambil menikmati Nescafe panas. Waktu-waktu begini biasanya pelanggan hanya datang untuk minum dan makan roti canai kalau tidak pun nasi lemak bungkus yang sudah terhidang di atas meja. Jadi dapatlah Rafizal berehat seketika. Lagipun Pak Ayob sudah mengambil dua orang lagi pelayan baru. 


Melihatkan wajah Rafizal agak lesu, Saifulizam dan Fazrul melemparkan senyum sinis sebelum pura-pura berbisik sesama sendiri. Rafizal hanya menjeling tajam. Mengumpat akulah tu!


“Hai, letih nampak?“ sapa Fazrul sambil tersengih-sengih. Rafizal tidak menjawab, sekadar mengangguk. 


“Hah, macam mana dengan Julia? Kau dah dapat tackle dia ke belum?” Saifulizam menepuk meja.


“Ah! Malaslah aku tackle minah tu. Gila kerek! Aku pakai kereta pun dia tak pandang aku!” sela Rafizal dengan muka masam.


“Dah kau pakai Wira buruk, memanglah dia tak pandang. Cubalah beli kereta mahal sikit, barulah dia pandang.”


“Ah! Tak ada masa aku nak melabur untuk perempuan tu. Aku ni bukannya berduit sangat. Nak beli Wira tu pun fikir dua tiga kali. Itu pun nasib baik duit masa aku kerja kat US dulu ada lagi aku simpan. Kalau tak, tak merasalah aku…” 


“Dah tu, kau beli jugak kenapa? Dah tau tak mampu tu, berpada-padalah kawan. Dahlah beli Proton Diesel, 2.0 pulak tu. Road tax mahal! Mencemarkan alam lagi!” sindir Saifulizam sambil menjeling ke arah Fazrul, mengharapkan sokongan. Ternyata, Fazrul mengangguk setuju.


“Eh! Pakai kereta diesel jimat, tau tak? Road tax dengan insurans baru RM937.06 setahun. Lagipun aku isi minyak full tank RM50, boleh tahan sampai seminggu. Bukan macam kereta korang. Harap lawa aje! Isi minyak cecah RM90, tak sampai tiga hari dah nak kena isi lagi! Kalau nak kira pencemaran alam, korang hisap rokok tu pun mencemarkan alam jugak! Lagipun aku beli kereta tu untuk diri aku sendiri. Senang aku nak ke sana ke mari. Bukan sebab nak tackle perempuan!”


Saifulizam dan Fazrul terdiam mendengar hujah panjang lebar Rafizal. Apa yang dikatakan oleh Rafizal sememangnya benar belaka. Tidak dapat disangkal lagi. Menggunakan kereta berenjin diesel memang menjimatkan walaupun penggunaan diesel dikatakan mencemarkan alam. Tetapi amalan menghisap rokok juga menyumbang ke arah pencemaran alam!


“Walau apa pun alasannya, aku tetap nak tengok kau kenakan Julia tu! Aku nak tengok dia tersungkur depan kau tu nanti. Kau kan handsome?” Sengaja Safulizam menekan perkataan ‘handsome’ itu dalam-dalam. Secara tidak langsung cuba membangkitkan semangat Rafizal.


“Malaslah beb…” Suara Rafizal mengendur. Jawapan selamba Rafizal sudah cukup untuk membuatkan Saifulizam termati akal seketika. 


“Ala…cuba ajelah, tak rugi apa pun. Kau jugak yang kata dulu, kalau dia tak melutut, dia mesti tersungkur depan kau. Takkan hari ni dah mengalah?” Sememangnya tiada erti putus asa bagi Saifulizam. Dia benar-benar ingin melihat Julia tewas di tangan lelaki kacak seperti Rafizal.


“Tengoklah kalau aku rajin,” jawab Rafizal dalam nada malas. Terus menyandarkan tubuh pada kerusi dengan sebelah kaki menahan lutut pada birai meja. Sesungguhnya moodnya untuk mengenakan Julia, sudah lama terbang. Biarpun sekadar untuk main-main tetapi hati Rafizal bagaikan tidak rela untuk mendekati Julia. Tambahan pula ada wajah lain sedang mencuri tempat di benaknya kini. Gadis yang datang makan bersama Julia dan dua rakan lain sebentar tadi. Mereka serumahkah?


Puas dia melemparkan senyum pada gadis itu tetapi orang lain pula yang membalasnya. Bila aku cuba kenyit mata, si gadis cun tu jeling aku macam nak telan! Nampak garang tapi kiut… Rafizal tersengih mengenangkan gadis tersebut.
Siapa nama awek tu ye?


3
RAFIZAL menghempaskan tubuhnya ke atas katil bujang. Selepas mandi dan menunaikan solat Isyak tadi, dia tidak terfikirkan perkara lain lagi melainkan mahu merebahkan badan dan tidur sampai esok pagi dengan tenang tanpa sebarang gangguan. Tulang-temulangnya terasa sengal menyengat-nyegat. Penat rupanya kerja di restoran. Ingatkan senang. Salah ambil order, boleh kelam-kabut jadinya. Silap hari bulan, dimarahi pelanggan. Setelah puas menelentang, Rafizal bergolek-golek seketika sebelum meniarap dengan muka disembamkan ke bantal. Menemui kedudukan selesa untuk beradu, dia memusingkan kepala ke kiri dan mula memejamkan mata.


“Hoi! Ini kerja kau rupanya! Pemalas!” Jerkahan itu membuatkan Rafizal tersentak. Melayang segala bunga-bunga mimpi yang baru hendak bertunas. 


Dengan gaya malas, Rafizal memusingkan badannya ke posisi menelentang. Saifulizam dan Fazrul muncul di depan matanya. Balik dah dua malaun ni… kacau betullah! Lupa pulak nak kunci pintu bilik!


“Apa kau ni? Aku cari kau kat restoran. Bapak aku cakap kau dah balik. Baru pukul 9.00 dah balik? Tak gunalah kau ni. Kan aku dah kata, kau tak mampu kerja kat restoran!” Bebelan Saifulizam satu persatu menujah gegendang telinga Rafizal. 



“Aku letihlah…” Leweh sahaja suara Rafizal, mengundang senyum sinis di bibir teman-temannya.
“Boleh ke kau bertahan ni? Tak tahan, mengaku awal-awal. Jangan nak paksa diri.”


Sebaik sahaja mendengar kata-kata Fazrul, Rafizal bingkas bangun dari baringnya. Wajah yang tadinya lesu dan layu, tiba-tiba berubah segar. Matanya yang kuyu tiba-tiba membulat.


“Tak sampai sebulan aku kerja, korang dah perlecehkan aku! Apa punya kawanlah korang ni! Tak supportive langsung!” 


“Bukan apa, kitorang ni kesian kat kau. Sampai bila kau nak hidup macam ni? Ijazah ada, flying color lagi, tapi kau sanggup kerja susah macam ni. Cubalah cari kerja lain.” Saifulizam cuba menyedarkan Rafizal. Niatnya ikhlas, tidak ada maksud lain.


“Kenapa korang risau sangat ni? Macamlah korang yang bagi aku makan! Eh, suka hati akulah nak kerja mana pun. Dah tak ada rezeki aku kat tempat lain. Biarlah aku kerja sini dulu. Lagipun, boleh aku belajar masak. Senang isteri aku nanti!” tutur Rafizal sambil menyengih. Saifulizam dan Fazrul sama-sama mencemik. Mengada betullah mamat ni!


“Tak adalah…kami ni bukannya apa, penat-penat kau belajar tinggi-tinggi. Sampai ke US lagi. Balik Malaysia, kerja restoran aje! Tukang kupas bawang dengan ambil order! Kau tak rasa itu satu kerugian ke?” Fazrul menokok.


“Ala…biarlah. Biarlah!” Rafizal memekup telinganya dengan kedua-dua belah tangan tanda tidak mahu lagi berbual tentang kerja.


Bukan dia tidak pernah mencari kerja lain. Sudah hampir enam bulan sejak dia terpaksa pulang ke Malaysia. Sepanjang waktu itu, dia menganggur, bergantung pada duit simpanannya ketika bekerja sebagai pembantu arkitek di US. Pernah juga dia mengambil peperiksaan dengan Lembaga Arkitek Malaysia atau LAM untuk membolehkannya mendapatkan pengiktirafan sebagai Arkitek di Malaysia, tetapi gagal. Peperiksaan itu tidak semudah yang disangka. 


Saifulizam sudah bergelar Pengurus Pemasaran, Fazrul sudah bergelar Jurutera Kanan. Gaji masing-masing pula melebihi RM5,000 sebulan. Sedangkan dia? Entah apa malang. Tidak ada satu pun syarikat mahu mengambilnya bekerja walaupun diunjukkan dengan portfolio yang mengagumkan. Dalam usianya yang sudah menjangkau 26 tahun ini, pastinya dia juga inginkan kerjaya hebat seperti teman-temannya. Tetapi nasib tidak menyebelahinya. Hingga dia terpaksa bekerja di restoran kepunyaan bapa Saifulizam buat sementara waktu. Rafizal mengeluh panjang mengenangkan nasibnya.


“Itulah! Tukar lagi course!” Sempat pula Saifulizam menyela Rafizal sebaik sahaja temannya itu mengalih tangan dari telinga.



“Macam mak neneklah kau ni!” Serentak dengan itu, Rafizal membaling bantal golek yang dipeluknya ke arah Saifulizam. Saifulizam hanya tergelak panjang, Seronok memerhatikan wajah Rafizal masam mencuka bila diusik begitu. 


“Aku nak tanya kau betul-betul ni, bila kau nak cari kerja?” tanya Saifulizam. Kali ini mempamerkan wajah serius.


“Aku dah pergi interview kelmarin. Semua cakap tunggu panggilan. Ah! Aku pun dah tak yakinlah sekarang. Kalau aku keras hati kerja kat US dulu mesti aku dah kaya raya sekarang. Menyesal! Menyesal! Ini semua sebab perempuan gila tu lah!” jerit Rafizal penuh geram dan berbaring kembali.
Fazrul berpandangan dengan Saifulizam. 


Mereka tahu siapa perempuan gila yang dimaksudkan Rafizal. “Habis tu takkan kau nak duduk macam ni aje?”

Soalan Fazrul tidak Rafizal jawab. Sebaliknya dia melepaskan keluhan panjang dengan mata layu memandang siling. Seperti menekur masa depan yang tidak pasti.


“Rancangan kita nak bukak company sendiri tu macam mana? Jadi ke tidak?” kata Saifulizam, mengingatkan pada rancangan yang pernah mereka bincangkan suatu ketika dulu.
“Hah? Kau gila ke? Aku mana ada modal lagi!” bantah Rafizal sepantas kilat.
“Kita bukak kecil-kecilan dulu la…” sampuk Fazrul.


“Woo! Aku rasa kita kena tangguh dulu. Aku tak yakin lagi nak bukak company sendiri. Walau apa pun yang korang cakap, aku kena juga kumpul modal aku sendiri. Bagi masa setahun lagi.”


Shaifulizam dan Fazrul berpandangan sesama sendiri setelah mendengar kata-kata Rafizal. Nampaknya perancangan masa depan yang mereka susun bersama ketika masih menuntut di University of Tennesee, Knoxville U.S dulu tidak dapat dilaksanakan lagi. Ketika belajar, mereka tidak berada di kursus yang sama tetapi menjadi rapat kerana menyewa apartment yang sama. Susah senang ditanggung bersama. 


“Dapat ke kau kumpul modal dalam masa setahun dengan kerja di Restoran bapak aku tu?” Sinis benar bunyi sindiran Saifulizam. Ingin sekali Rafizal menempik geram tetapi kewarasannya masih berada di tahap neutral, jadi dia cuba bersabar.


“Kalau korang nak bukak dulu, bukaklah! Bila aku ada modal nanti baru aku join! Lagipun aku mesti ambil exam dengan LAM lagi. Aku tak nak kita upah arkitek lain untuk sain pelan-pelan yang kita keluarkan. Rugi!” Rafizal sudah naik geram. Kemudian Rafizal mengalih bantal kepalanya, berpaling mengadap dinding. Bantal itu dipekupnya menutup muka. 


“Layan sendulah tu!” usik Fazrul. 


Rafizal tidak berganjak. Telinganya mendengar sayup-sayup Saifulizam dan Fazrul melepaskan tawa. Cakaplah apa korang nak cakap! Hati aku ni, korang tak tahu!