BERIKAN CINTAMU

Monday, January 12, 2009




Terbitan : Alaf 21 Sdn Bhd
Harga : RM 19.90/ S&S RM22.90
Halaman :512
ISBN : 983-124-265-3

Sebuah cerita yang pasti mencuit perasaan anda dengan gelagat orang bercinta. Eza Nylea terlalu mendambakan cintanya kepada Rizal sedangkan lelaki itu langsung tidak menghargai kejujuran, ketulusan dan pengorbanannya. Dia sahaja yang terlalu setia sebagai seorang kekasih, tetapi Rizal langsung tidak memahami perasaannya.

Justeru itu, ketika Eza memendam perasaan, hadirnya seorang sahabat yang baru dikenali bernama Azalan. Lelaki itulah yang sudi berkongsi rahsia hati dan perasaan Eza. Persahabatan itu, akhirnya termeterai dengan ikatan kasih sayang.

Eza keliru. Antara Rizal dan Azalan... yang mana harus diberikan cinta? Di sana masih mencintai, di sini menagih kasih. Pada masa yang sama Eza berhadapan dengan kerenah bekas rakan-rakan serumahnya semasa menuntut di universiti. Penganiayaan dan fitnah sudah menjadi kudis buatnya. Adakah Eza terus berdiam diri setelah pelbagai penyeksaan dilakukan oleh mereka sehingga dia hampir diragut kesuciannya?

*************************************

1
EZA menghempaskan gagang telefon sekuat hati. Nasib baiklah telefon itu tidak bernyawa, kalau tidak… pasti ia juga akan menyumpah-nyumpah Eza, sebagaimana mulut Eza yang sedang menyumpah-nyumpah ketika ini. Sakit hati yang  Eza rasakan ketika ini, tidak terluah dengan sekadar menghempas gagang telefon sahaja. Kalau boleh Eza mahu melakukan lebih daripada itu.

Eza tiba-tiba terasa mahu menangis tetapi entah mengapa tiada airmata yang mahu keluar. Gambar berbingkai kayu  dengan hiasan bunga-bunga kecil, yang terletak di atas meja solek, direnungnya dengan perasaan membara. Kenapalah lelaki yang bergambar bersama aku tu suka sangat menyakitkan hati aku? Tapi walaupun dia buat macam tu, aku tetap mencintainya! Hai… susahnya kalau dah namanya bercinta ni. Keluh Eza.

Didorong oleh perasaan sedih dan sakit hati yang bergumpal di dalam dada, Eza tanpa berfikir panjang, menukar pakaian tidur kepada jeans dan t-shirt. Kemudian dia terus keluar dari bilik.

Ketika melintasi ruang tamu, Najwa menyapa, “Kau nak pergi mana Eza?”

“Nak keluar.” Jawab Eza pendek dan ringkas serta tidak mesra. Dia sekarang bukan dalam situasi ingin berbual jadi Eza fikir lebih baik dia diam, nanti tidak pasal-pasal ada pula yang tersinggung dan akan bermasam muka.

“Eh, dah malam ni Eza. Kau nak kemana lagi?” Tanya Najwa dengan kerutan di dahi.

Eza mengerling pada jam di dinding. Pukul 10 malam! Ah…! Tak pedulilah!

“Ke mana sahaja untuk membawa hati yang luka ini!” jawab Eza spontan dan dia sendiri tidak pasti kenapa mulutnya begitu ringan menuturkan ayat sedemikian.

Bila melihat Najwa sudah terpekup-pekup mulut menahan ketawa, Eza terus berjalan menuju ke pintu. Nasib baik Syella, teman sebiliknya tiada di rumah. Kalau tidak, perempuan itu mesti gelakkan aku puas-puas! Tak habis-habis nak mengejek aku! Eza mengeluh lagi.

“Hai, malam-malam Valentine ni, takkanlah kau nak membawa hati yang luka pulak...” sinis sahaja bunyi suara Najwa, menghantar langkah Eza ke luar rumah. Eza sekadar diam tidak terkata sambil menyarung sandal ke kaki.

Dengan langkah longlai, Eza berjalan meninggalkan rumah teres satu tingkat yang sudah hampir tiga tahun disewanya bersama enam rakan yang lain di kawasan perumahan Taman Teratai. Eza berjalan tanpa arah tujuan, hanya mengikut hayunan langkah kakinya.

Sedar tidak sedar, dia sudah berada di Simpang Pulai! Eza terpinga-pinga sendiri. Mak oii… sejauh ini aku berjalan? Inilah padahnya kalau terlalu menurut kata hati. Mata Eza melingas memerhatikan kawasan sekitar, kemudian menoleh pada jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir pukul sepuluh setengah malam. Bagaimanapun, banyak lagi kedai-kedai makan yang masih beroperasi membuatkan suasana sekitar masih lagi terang benderang.

Entah mengapa, kaki Eza begitu ringan menaiki bas yang kebetulan berhenti di depannya. Eza mengambil tempat duduk di kerusi bahagian belakang dan lebih banyak membuang pandang ke luar tingkap. Fikirannya terus melayang-layang entah ke mana.

Bila Eza ternampak laut, serta-merta dia bangun lalu menekan loceng. Bas berhenti dan kini Eza sudah berada di Pantai Lido. Dengan langkah longlai, Eza menuju ke arah tembok pemisah antara pantai dengan jalanraya.

Sebaik sahaja Eza melabuhkan punggung di atas tembok, satu keluhan berat terbit dari mulutnya. Mengenangkan hari ini adalah hari Valentine, hati Eza menjerit tanda protes lebih-lebih lagi ketika terpandang pasangan kekasih yang berada berdekatan dengannya. Dengki rasa hatinya tidak terkata lagi.

Bukan aku mahu mengagungkan hari Valentine! Bukan aku mahu mengikut budaya barat, tetapi bila mengenangkan janji yang tidak ditepati, Eza jadi marah yang amat sangat. Lebih-lebih lagi bila yang berjanji itu kekasih sendiri!! Batin Eza menjerit resah.

Minggu lepas Rizal sudah berjanji akan mengambil cuti dan turun ke Johor Bahru untuk menemuinya pada hari Valentine. Bila tiba harinya, Eza tunggu dan tunggu hingga tidak dapat bersabar lagi. Tergerak hati Eza untuk menelefon ke rumah Rizal, dan dia terkejut bila mendengar suara lelaki itu. Rizal masih di Puchong?!

Rizal… kenapa kau harus buat aku macam ni??? Tak penting ke aku dalam hidup engkau??? Jerit hati kecil Eza, bertalu-talu. Masih terngiang-ngiang di telinganya alasan yang diberikan oleh Rizal sebentar tadi.

“Sorrylah sayang. I nak ke Penang esok. Ikut kawan.”

Eza terkejut habis mendengarnya. Harapan untuk bertemu Rizal jadi senipis kulit bawang besar!

“Habis tu? Janji you macam mana? You kata nak datang sini jumpa I? You dah janji tau! You selalu lebih pentingkan kawan you dari I!” Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Eza kuatkan volume suaranya biar pecah gagang telefon. Biar Rizal tahu yang dia benar-benar marah dan sakit hati.

“Ala… lain kalilah. Banyak lagi masa kita boleh jumpa.”

Amboii… senang sungguh dia memujuk aku. Ibarat aku ni boleh digulakan dengan kata-kata simple macam tu aje! Gerutu Eza di dalam hatinya.

Tetapi itulah Rizal yang Eza kenal sejak tiga tahun lalu. Tidak pernah ambil serius tentang banyak perkara. Baginya amat leceh kalau melayan rajuk orang perempuan.

Bila tiada tanda-tanda Rizal mahu memujuk, Eza menghentak kaki tanda protes diikuti dengan menghempas gagang telefon sekuat hati. Dan akibat daripada rasa tidak puas hati itu telah membawa Eza ke Pantai Lido ini, pada malam hari, seorang diri!

Eza terus mengelamun tentang Rizal. Aku terlalu mencintai Rizal! Sejak pertama kali melihat dirinya, aku sudah jatuh hati. Bagi aku tiada sesiapa yang dapat menggantikan dirinya dalam hidup aku. Aku sudah terlalu sayang padanya biarpun sikapnya kadangkala menyakitkan hati aku. Tapi bila tengok mukanya yang cute tu, aku jadi sejuk hati dan terpadam segala kemarahan aku padanya.

Bicara hati Eza tiba-tiba terganggu apabila terdengar decitan suara halus. Pada mulanya Eza sangkakan ianya suara tikus. Tetapi bila Eza menoleh ke kiri dan ke kanan mencari arah suara berkenaan, barulah dia sedar sekumpulan pemuda sedang bersiul-siul dan sedang berjalan ke arahnya.

Saat itu debar di dada Eza mula menggila. Barulah dia sedar, dia mungkin mengundang bahaya dengan duduk bersendirian begitu. Dan entah mengapa, tubuhnya terasa berat untuk bangun…

2
KUMPULAN lelaki tadi semakin dekat. Eza jadi tidak berani untuk bergerak. Matanya dipejamkan serapat mungkin dan cuba mengumpul kekuatan dalam diri untuk bangun serta beredar dari situ dengan kadar segera.

“Beraninya duduk kat sini sorang-sorang…” Tiba-tiba terdengar satu suara berbisik dekat dan jelas menyapa telinganya.

Lantas Eza membuka mata dan menoleh ke kiri. Seorang lelaki sedang duduk di sebelahnya. Dan Eza lihat kumpulan lelaki yang cuba menghampirinya tadi, mula beredar.

Dalam keadaan terpinga-pinga, Eza cuba mengamati seraut wajah milik lelaki yang tidak dikenali itu dengan kerutan di dahi. Kurang jelas. Eh… eh…entah-entah dia ni, ahli kumpulan tadi kot… Eza membuat andaian sendiri.

Eza memerhatikan lelaki itu dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Kemudian matanya tertancap pada sejambak bunga yang dipegang oleh lelaki tersebut. Eza tidak tahu kenapa, tetapi tiba-tiba dia terasa ingin ketawa.

“Apsal duduk kat sini sorang-sorang? Tak takut ke? Awak tu anak dara.” Suara lelaki itu mematikan keterpingaan Eza.

“Err… saja suka!” Agak tergagap Eza menjawab pertanyaan lelaki yang tidak dikenali itu. Aku kena jaga-jaga sikit. Entah mamat mana pulak ni? Tetiba aje menyelit kat sini! Beringat dahulu sebelum terkena. Eza menyematkan rasa waspada di dalam hatinya.

“Yelah tu… entah-entah tunggu boyfriend tak datang. Dah pukul 12 ni, baliklah rumah.”

Eza tersentak. Masya-Allah… dah pukul 12 ke? Mak oii… lamanya aku duduk termenung melayan perasaan kat sini. Eza meraup tangan ke mukanya.

“Maaflah, saya buat muka tak malu duduk kat sini. Budak-budak tu tadi nampak macam ada niat tak elok aje.” Jelas lelaki itu sambil sesekali menoleh ke belakang. Mahu memastikan kumpulan lelaki tadi benar-benar tiada di situ. Eza turut menoleh ke arah kumpulan tersebut. Beberapa orang daripadanya masih lagi menoleh-noleh ke arah mereka berdua.

“Err… terima kasih. Saya pun tak sedar sebenarnya dah lama sangat saya duduk kat sini.” Ucap Eza sambil cuba mengawal suara selembut mungkin sebagai tanda menghargai ‘bantuan kilat’ lelaki itu sebentar tadi.

“Boyfriend tak datang ke?” Sekali lagi dia menanyakan soalan yang sama. Sambil-sambil itu Eza melihat tangan lelaki berkenaan sibuk meleraikan kelopak sekuntum bunga ros yang ditarik keluar daripada jambangan yang dipegangnya tadi.

Eza mengangkat keningnya. Pelik juga dia melihat tingkahlaku lelaki di sebelahnya ini. Hendak tergelak pun ada. Apa kena dengan mamat ni?! Dah bawak bunga tu, dileraikannya pulak!

“Bukan sebab boyfriend tak datang. Tapi ada gaduh sikit dengan dia kat phone tadi.” Jawab Eza tanpa berselindung lagi. Ah, mudahnya aku bercerita pada orang yang tak dikenali. Tak apalah, biar dia tahu yang aku ni dah berpunya, itupun kalau dalam hati dia tu ada unsur-unsur nak mengusha aku! Eza menggumam dalam hati sambil mencuri pandang ke arah lelaki tersebut.

“Samalah tu…” Bidas lelaki itu sambil menabur ceraian-ceraian kelopak bunga yang telah dicariknya ke atas tanah. Eza cuba menahan tawa bila melihat gelagatnya itu. Macam orang tak betul aje dia ni!

“Ye ke? Rasanya tak samalah. Yang awak ni kenapa pulak carik-carikkan bunga tu? Girlfriend tak datang ke?” Eza memulangkan paku buah keras.

Lelaki itu ketawa kecil. Memang benar kekasihnya tidak datang tetapi dia rasa agak malu untuk mengakuinya. Tiba-tiba sahaja jambangan bunga itu dilemparkan ke tanah.

“Bukan dia tak datang, tapi dia memang tak nak datang langsung!” Suaranya yang sebelum ini agak mesra, kedengaran sedikit kasar dan berbaur geram.

Dalam suasana samar-samar, Eza cuba lagi mengamati wajah lelaki itu. Masih kurang jelas. Cahaya lampu yang terlindung dek dedaun pokok yang rimbun tidak dapat membantu Eza melihat wajah lelaki yang tidak dikenali tetapi peramah itu.

“Rumah kat mana?” Dia mengalih soalan.

“Taman Teratai.” Jawab Eza ringkas dan pendek tetapi cukup mesra pada pendengaran lelaki tersebut.

“Datang dengan apa tadi? Kenapa datang sini?” Tanyanya lagi dengan ramah sekali.

“Sebenarnya saya tak sedar tadi, tiba-tiba terus naik bas. Saja nak datang sini, layan perasaan.” Eza menjawab spontan.

Kemudian barulah Eza tersedar akan sesuatu. Lagi, dia membuka ruang kemesraan. Kenapa dengan aku ni? Peramah tak tentu pasal? Eza mengutuk diri sendiri. Tiba-tiba sahaja Eza merasakan dia ingin melepaskan kemarahan dan ‘dendam’nya pada Rizal.

Rasanya tidak salah kalau aku beramah mesra dengan lelaki penyelamat ini. Kalau tidak kerana Rizal mungkir janji, takkan aku bodoh-bodoh nak duduk kat Pantai Lido ni sorang diri. Getus Eza lagi sambil memalingkan muka ke arah lelaki asing di sebelahnya.

“Amboi? Naik bas dalam keadaan tak sedar? Awak mengingau ke?”

Eza jadi terpanar mendengar pertanyaan lelaki itu. Ha, yang lelaki ni pun satu. Pemangkin untuk aku beramah mesra. Cara dia bercakap dengan aku, macam dah kenal lama aje. Otak Eza mula ligat berfikir mencari hujah yang boleh mematahkan soalan mengena lelaki itu.

“Bukan mengigaulah! Boyfriend saya mungkir janji. Biasalah… kalau jalan dalam keadaan marah. Inilah akibatnya. Saya pun tak faham kenapa berani sangat saya jalan sorang diri macam ni. Biasanya saya ni penakut.” Jawab Eza dengan suara tegas sambil  melirikkan mata ke arah lelaki tersebut. Ada juga terselit rasa bimbang dalam hatinya. Manalah tahu kalau-kalau lelaki di sebelahnya ini sengaja berlagak ramah sebelum bertindak di luar jangkaan.

“Hmm… kenapa ye mesti mungkir janji? Sedangkan kita beriya-iya nak jaga hati dia, nak ambil hati dia. Bagi bunga lagi… tak cukup ke?” Suara lelaki itu berubah mendatar di penghujung kata.

Tiba-tiba hati Eza berasa hairan. Hai… nampaknya mamat ni macam nak meluahkan perasaan terbuku aje. Biar betul… Takkan jenis ‘karat’ dia ni. Serentak dengan itu Eza mengalih pandangan pada jambangan bunga yang bertaburan di atas tanah. Belum sempat Eza bertanya apa-apa, lelaki itu tiba-tiba bangun dari duduknya.

“Jom, saya hantarkan awak balik.” Katanya tiba-tiba.

Eza agak terkejut dengan pelawaan lelaki itu. Baik benar mamat ni, siap nak hantar aku balik? Mesti ada apa-apa ni! Hati kecil Eza berbisik, was was.

“Tak naklah. Entah-entah awak ni…” Sengaja Eza tidak menghabiskan kata-katanya dengan niat untuk mengusik. Rasanya lelaki itu sudah sedia maklum apa maksud yang cuba disampaikannya.

“Awak jangan fikir yang bukan-bukan. Kalau saya jahat, saya biarkan aje mamat-mamat tu tadi kacau awak. Biar awak kena ‘gulai’!” Tegas betul nada suara lelaki itu. Dia mula bercekak pinggang.

Eza tergamam. Bodohnya aku ni, nak bergurau tak kena tempat. Dah orang tolong pun masih nak bersyak wasangka. Eza memarahi dirinya sendiri. Akhirnya Eza yang memohon maaf kerana bersikap syak wasangka begitu sedangkan lelaki itu telah membantunya tadi.

“Awak datang naik kereta ke?” Tanya Eza dengan perasaan ragu-ragu sambil mengekori lelaki tersebut yang ketika itu sudah pun melangkah ke depan. Eza cuba menyaingi langkahnya. Hai, panjang betullah langkah dia! Tak larat aku nak kejar dia. Dahlah tinggi!

“Saya naik motor aje…”

“Hah? Takkan saya nak naik motor dengan awak?!” Serta-merta langkah Eza terhenti. Lelaki itu juga turut berhenti lalu berpaling ke arah Eza.

“Eh? Siapa kata saya nak hantar awak balik rumah naik motor? Awak datang tadi naik bas kan? So, saya temankan awak tunggu baslah!”

Eza terkedu. Betapa selambanya mulut lelaki itu. Saat itu Eza mula merasakan kulit pipinya panas. Cerempet punya jantan! Malu aku! Tetapi Eza tidak mahu berbalas kata dengannya. Sekadar diam dan tertunduk.

“Tapi rasanya awak kena naik teksi, dah pukul berapa ni, mana ada bas lagi.” Sambung lelaki itu lagi setelah melihat jam di pergelangan tangannya menunjukkan pukul 12.30 malam.   

Eza sekadar mengangguk dan menurut langkah lelaki berkenaan menuju ke arah sebuah motor RXZ yang diparkir tidak jauh dari situ.

“Saya tahu ramai perempuan intelek tak suka naik motor.” Ujar lelaki tersebut sambil mula menolak motosikalnya.

Perempuan intelek? Eza hampir tergelak lagi. Hai… boleh tahan juga frasa kata yang mamat ni gunakan. Eza tersenyum sendiri dan berjalan seiring dengannya. Ketika itu barulah Eza dapat melihatnya dengan lebih jelas.

Lelaki itu agak tinggi. Eza mencongak sendiri, agaknya mungkin mencecah 6’. Aku yang berketinggian 5’ 4” ini hanya sekadar berada di bawah paras dagunya sahaja. Tubuhnya agak lampai, tidaklah sasa tetapi nampak tegap. Urat-urat yang timbul pada lengannya jelas menunjukkan bahawa dia seorang lelaki yang tahu buat kerja berat. Eza mula membuat analisa yang biasa dilakukannya apabila menilai seseorang lelaki.

Dan Eza agak tertegun bila melihat seraut wajah milik lelaki itu. Mak oii, handsome orangnya! Kulit wajahnya bersih. Hidungnya mancung terletak. Pandangan matanya nampak redup dan mendamaikan jiwa. Pendek kata wajahnya boleh diibaratkan sejuk mata memandang biarpun rambutnya nampak sedikit berserabai.

“Hai, cik adik… berangan ke?” Teguran lelaki itu mengejutkan Eza.

Tersipu-sipu Eza cuba mengawal diri agar nampak tidak keterlaluan pada mata lelaki itu kerana mencuri-curi membuat timbangtara pada penampilannya. Cepat sangat aku menilai dirinya. Entah-entah dia perasan ingat aku suka tengok mukanya yang handsome tu. Eza mengutuk dirinya sendiri.

Mereka melangkah seiringan menyusuri laluan pejalan kaki sehinggalah sampai di pondok menunggu bas, barulah lelaki itu memberhentikan langkah dan menongkat motornya.   

“Kita tunggu teksi dekat sini ye?” Lelaki itu memberikan cadangan. Eza mengangguk dan terus duduk. Lelaki itu juga turut melabuhkan punggung di sebelah Eza tetapi sedikit berjarak.

“Nama siapa?” Dia bertanya, memecah kesunyian antara mereka.

“Panggil Eza aje.” Eza menjawab ringkas dan enggan memberitahu nama sebenarnya. Bukan bermakna Eza sombong, tapi dia sudah biasa tidak memberitahu nama penuhnya setiap kali ada yang bertanyakan nama. Manalah tahu, kalau dia jugak nak kutuk aku bila tahu nama betul aku! Eza terus-terusan mengomel di dalam hati.

“Oh, saya Muhammad Azalan bin Haji Rahman. Panggil… emm… Lan!”

Semacam ada rasa lucu mencuit tangkai hati Eza ketika mendengar jawapan lelaki itu. Terasa agak kelakar apabila lelaki itu memberikan nama penuhnya siap dengan nama bapanya sekali. Lebih-lebih lagi bila mengenangkan yang mereka baru sahaja berkenalan dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Eza cuma mengangguk sambil menahan senyum.

“Bawak bunga tadi untuk apa ye?” Eza memberanikan diri untuk bertanya kembali tentang bunga yang lunyai dicarik-carik olehnya sebentar tadi.

Lelaki bernama Azalan itu tidak terus menjawab. Dia tersenyum dan membuang pandang pada seraut wajah milik gadis di depannya ini. Hmm… cute jugak orangnya...

Eza pula bagaikan terpukau dengan senyuman Azalan dan membalas dengan memberikan senyuman yang semanis mungkin. Ah, aku ni sedang menggatal ke? Entahlah… bila melihat wajahnya, aku rasa mesra. Cepat-cepat Eza membawa kembali dirinya berjejak ke bumi yang nyata.

“Buat-buat tanya pulak. Untuk aweklah… tapi nak buat macam mana, awek tak sudi dengan kita.” Azalan menjawab dengan tidak memandang lagi pada Eza. Dia bimbang jika dituduh mengambil kesempatan pula oleh gadis manis di depannya itu.

Eza tersenyum sendiri. Jauh benar bunyi nada suara Azalan ni. Nampak macam dia kecewa dan jauh hati. Tiba-tiba timbul keinginan di hati Eza untuk terus berbual dengan Azalan.

“Kenapa pulak? Muka dah handsome, gaya boleh tahan… ada motor lagi…” Eza sengaja mengumpan Azalan untuk meluahkan rasa hatinya. Seronok juga kalau dapat mendengar masalah orang lain. Tetapi Eza tidak menyangka Azalan menjeling tajam. Eza terdiam. Hendak kata Azalan marah, tidak juga. Sebab nampak menggoda pula jelingan matanya itu. Pelik…

“Perli ke?” Tanya Azalan dalam nada geram tetapi ada senyuman di bibirnya. Kening Eza mula bertaut melihat lelaki bernama Azalan itu. Hai, pelik betul lelaki ni, nampak macam marah tapi siap boleh senyum lagi! Kuat betul ‘iman’ dia.

“Err… tak… takde niat pun nak perli-perli.” Eza cuba membetulkan keterlajuran kata-katanya sebentar tadi. Nampaknya Azalan sudah salah faham. Dia diam menekur memandang lantai mozek yang sudah pecah-pecah di depannya.

“Ala…dia tak nak kat saya sebab saya ni miskin.” Tiba-tiba Azalan tersenyum pula.

Eza semakin pelik dengan perangainya. Sekejap nampak geram, sekejap tersenyum… hai, betul ke tak dia ni? Entah-entah mamat sebelah aku ni kurang betul…hishh…

Azalan terus menyambung katanya, “Saya tak mampu nak bawak dia makan kat tempat high class, bagi barang kemas. Saya bagi bunga pun pasal dia selalu membebel nak bunga setiap kali jumpa.”

Eza tercengang. Aduhai… untungnya kekasih Azalan tu. Aku ni, jangankan nak dapat bunga, nak dapat kad daripada Rizal pun jarang sekali. Sudahlah berjauhan, kalau jumpa pun setakat makan-makan dan jalan-jalan saja. Tidak lebih dari itu. Rizal tidak mahu terlalu mengikut ‘adat istiadat’ orang bercinta. Rizal mahu dengan caranya yang dikatakan sempoi.

“Kenapa awak boleh ikut apa yang dia nak ye? Kalau saya minta itu ini dengan boyfriend saya, sure dia cakap saya banyak songeh!” Sedikit sebanyak Eza juga cuba meluahkan perasaan. Best juga dapat bertukar pendapat dengan orang yang mengalami masalah yang sama ni. Selalunya asyik aku aje menasihatkan orang, macamlah aku ni pakar kaunseling! Eza tersenyum sendiri.

“Sebab bagi saya itu dah menjadi tanggungjawab sebagai seorang kekasih. Saya akan buat apa saja untuk menyenangkan hati orang yang saya sayang.” Balas Azalan dengan penuh keyakinan.

“Walaupun dia dah sakitkan hati awak?” Bidas Eza sambil cuba meneliti raut wajah Azalan untuk melihat reaksinya. Ternyata Azalan terdiam. Riak wajahnya bagai menggambarkan bahawa dia sedang berusaha keras mencari jawapan sempurna untuk menjawab soalan Eza sebentar tadi.

“Apa salahnya kalau kita berkorban sikit. Kalau tidak, tak merasalah pahit manisnya bercinta…”

Entah mengapa Eza tergelak kuat bila mendengar kata-kata Azalan. Dapat menjawab lagi tu! Tak padan dengan orang, ayatnya bukan main. Jiwang! Nasib baik orangnya tak nampak leweh!

Azalan hanya memandang dengan mata terkebil-kebil. “Eh, kita ni asyik berborak aje, dah dua tiga buah teksi terlepas. Awak tak nak balik ke?”

Mendengarkan pertanyaan Azalan, Eza tersenyum gelihati. Ye tak ye jugak. Asyik benar mereka berbual. Tentang cinta pulak tu. Kelakarnya… dua orang yang tidak mengenali, bercakap soal cinta pada malam Valentine bila jauh hati dengan kekasih masing-masing.

Akhirnya sebuah teksi berhenti setelah ditahan oleh Azalan. Dia membukakan pintu untuk Eza. Sebaris ucapan terima kasih terluncur keluar dari mulut Eza. Teksi itu kemudiannya terus bergerak meninggalkan kawasan Pantai Lido.
***************************
EZA meminta pemandu teksi supaya berhenti di Simpang Palas 14. Sebaik sahaja teksi beredar, Eza terkejut bila mendapati sebuah motosikal tiba-tiba berhenti di depannya. Eza tergamam. Dan apabila si penunggangnya menanggalkan helmet, Eza jadi lebih tergamam.

“Eh? Kenapa awak sampai kat sini pulak? Awak mengintip saya ye? Apa awak nak hah?!” Eza bertanya dengan nada separuh menjerit bila melihat penunggang motosikal itu adalah Azalan!

“Banyaknya soalan… saya saja ikutlah. Takut awak jalan dengan teksi tu entah ke mana-mana lagi.” Kata Azalan sambil tersenyum. Sebenarnya dia memang sengaja mengekori teksi yang membawa Eza pergi sebentar tadi. Hatinya tiba-tiba diusik rasa bimbang tentang keselamatan gadis yang baru dikenalinya itu.

Eza jadi serba salah. Baik benar hati dia ikut aku sampai ke sini. Atau ada udang di sebalik batu? Sedikit sebanyak hati Eza tetap juga menaruh rasa curiga terhadap Azalan.

“Mana rumahnya?” Tanya Azalan sambil kepalanya tertinjau-tinjau ke arah deretan rumah yang ada.

“Tu, yang nombor tiga dari sini.” Eza menuding ke arah rumah yang masih terang dengan cahaya lampu.

“Cerah lagi tu… diorang tak tidur lagi ke?”

“Ala… dah tidur kot tapi lupa tutup lampu. Tak pun masing-masing tengah sibuk tayang hadiah Valentine…” 

“Orang perempuan memang macam tu ye… suka tayang barang-barang hadiah.” Azalan memotong percakapan Eza membuatkan gadis itu terkedu seketika.

“Bukan semua macam tu, okey!” Bidas Eza dalam nada tidak puas hati. Lepas cakap betul mamat ni. Langsung tak ingat yang dia baru aje kenal aku. Hishh…!

“Kalau bukan semua macam tu, baguslah. Jangan awak termasuk sekali dalam senarai dahlah…” Nampaknya Azalan masih lagi memerli.

Eza menjeling geram tetapi agak terkejut bila melihat Azalan sedang tersenyum manis bukannya tersenyum sinis. Dengan sedikit merengus, Eza berjalan meninggalkan Azalan. Makin dilayan, makin pelik pulak perangai lelaki ni!

Azalan pula mengekori Eza sambil menyorong motosikalnya hingga sampai di depan rumah sewa Eza. Terdengar suara riuh-rendah dari dalam rumah. Nampaknya mereka tidak tidur lagi. Pasti ada cerita menarik yang mereka bualkan. Eza berpaling mengadap Azalan yang sedang menongkat motornya. Azalan kemudiannya mencapai helmet lalu disarungkan ke kepalanya. Bersedia untuk naik ke atas motornya.

“Terima kasih sebab tolong saya dan escort saya balik.” Ucap Eza sambil tersenyum manis.

“Sama-sama kasih.” Balas Azalan sambil tersenyum. Nampak nakal senyumannya itu. Azalan mula menghidupkan enjin motor. Sebelum berlalu pergi sempat dia berkata, “Jumpa lagi!”

Eza terkaku. Jumpa lagi? Nak jumpa lagi ke? Hmm… malas Eza hendak ambil pusing dengan kata-kata Azalan itu. Tetapi bila melihat kelibat Azalan yang sudah semakin menjauh, Eza tersenyum puas.

Tiba-tiba terlintas kata-kata yang selalu Rizal ungkapkan kepadanya, “Berkawan biar seribu…”

3
“BARU balik ke Eza?” Tegur Syella ketika melihat Eza melangkah masuk ke dalam rumah. Eza menjawab pertanyaan Syella itu dengan sekali anggukan kepala dan melabuhkan punggung di sebelah Syella.

Najwa, Aida, Mus dan Idah juga ada di ruang tamu, sedang sibuk membelek hadiah dan jambangan bunga masing-masing. Untungnya mereka dapat boyfriend satu fakulti. Setiap masa boleh berjumpa. Bukan macam aku, bercinta dengan orang luar, jauh pulak tu! Puchong dan Johor Bahru. Jauh benar tu… Eza mengeluh lemah.

“Tengoklah Eza, Ikmal bagi aku bunga!” Syella menayangkan jambangan bunga ros berwarna merah jambu. Eza sekadar melihatnya dengan perasaan lesu.

“Mana Fikriah? Tak balik lagi ke?” Eza sengaja bertanyakan tentang Fikriah yang tidak nampak batang hidungnya bagi mengelakkan Syella daripada terus menayang-nayangkan jambangan bunga ros itu ke mukanya. Menyampah Eza melihat muka Syella ketika itu yang seakan sengaja mahu mengejek-ngejeknya.

“Dah  berkeruh dalam bilik tu. Maklumlah, best student… tidur kena cukup. Lagipun dia mana nak join kita.” Aida menjawab sambil sibuk membuka balutan coklat Cadbury. Entah coklat siapa punyalah yang dia balun masuk mulut tu!

“Aku pun nak tidurlah…” kata Eza lalu bangun bila merasakan suasana di situ tidak lagi sesuai dengan moodnya yang semakin tidak menentu.

“Eh, lepaklah dulu Eza. Kau tak sudi ke nak tengok hadiah-hadiah lain ni?” Syella menghulurkan sebuah kotak kepada Eza. Entah apa isinya, Eza tidak mahu tahu langsung!

“Aku mengantuklah… sorrylah ye?” Terus Eza masuk ke dalam bilik yang dikongsinya bersama Syella yang terletak di bahagian belakang. Malas aku hendak melayan karenah kau, Syella. Sibuk menayang hadiah, bukannya nak ambik tahu kenapa aku berwajah masam begini, desis hati Eza yang sedikit sebanyak ada rasa kecewa dengan sikap Syella itu.

Selepas mencuci muka dan menukar pakaian, Eza memanjat katil double decker dan merebahkan badannya. Tangan Eza menarik keluar album gambar dari bawah bantalnya. Album berisi gambar-gambar Rizal itu memang sentiasa menemani tidurnya. Sebelum melelapkan mata, Eza membelek satu-persatu gambar Rizal. Tiba-tiba airmatanya mengalir di pipi. Sudah dua bulan Eza tidak bertemu dengan Rizal. Rasa rindu yang menghimpit jiwanya kini terasa amat menyeksakan. Akhirnya Eza tertidur dalam sendu.
*********************************

PANGGILAN telefon daripada Rizal membuatkan hati Eza ceria kembali. Mendengar suara Rizal, hilang terus rasa marahnya. Timbul pula rasa cinta dan sayang yang menggunung. Senang sungguh perasaannya berubah.

“Bulan depan kita jumpa, okey? I turun JB nanti.” Rizal memberikan jaminan. Eza mengeluh berat. Bulan depan? Bermakna ada dua minggu lebih lagi. Lama lagi tu!

“Ala, kenapa mesti bulan depan?” Eza memberontak manja. Suaranya pula sengaja dilunakkan, manalah tahu Rizal akan berubah hati, cair dengan kemanjaannya.

“I sibuklah sekarang. Lagipun you kan dah masuk final semester. Tak bolehlah jumpa selalu…” Rizal memberikan alasan yang pada Eza tidak cukup konkrit dan menyemarakkan lagi pemberontakan yang sedang berlaku dalam hatinya.

Memanglah aku sekarang berada di final semester tapi aku dah nak grad pun! Tesis dah nak siap! Bukannya aku nak ambil SPM! Aku bukan jenis yang suka mencampur adukkan hal cinta dan pelajaran. Dan bukannya dia tak tau aku macam mana! Eee… geramnya! Eza merengus.

Pernah sekali mereka terputus hubungan, hati Eza memang kecewa tetapi pelajaran tidak terabai kerana dia tidak mahu masa depannya hancur hanya kerana terlalu menurut perasaan. Buat apalah hendak bodohkan diri, mengenang, merayu cinta sampai terlingkup pelajaran? Eza benar-benar berasa tidak puas hati kerana dia merasakan Rizal masih belum memahami dirinya.

“Okeylah, you janji tau!” Akhirnya Eza mengalah demi memupuk sikap tolak ansur dan timbang rasa pada dirinya. Kang merengek lebih-lebih kang, orang bosan pulak!

“Thanks sayang. Nanti I call lagi, okey? Bye!”

Selepas gagang telefon diletakkan, Eza mengeluh berat. Mulai sekarang, dia akan menghitung hari menanti saat untuk bertemu dengan Rizal…

4
SUDAH hampir empat tahun Eza menimba ilmu di Fakulti Kejuruteraan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai atau lebih ringkas lagi, UTM. Eza mengambil pengkhususan dalam bidang Remote Sensing. Dan sekarang dia berada di semester akhir pengajian serta sedang menyiapkan tesis yang bertajuk “Pemantauan Kawasan Tanah Tinggi Menggunakan Remote Sensing”. Eza telah memilih Cameron Highlands sebagai kawasan rujukan dan pengumpulan maklumat untuk tesisnya.

Untuk itu, Eza telah menghabiskan masa selama dua minggu pada cuti semester lepas dengan berkampung di Cameron Highlands bersama beberapa rakan lain untuk mengumpul seberapa banyak maklumat tentang penerokaan hutan di Cameron Highlands. Menyelidik dan menganalisa gangguan kepada bentuk mukabuminya akibat penerokaan itu dan banyak lagi. Eza sengaja meluangkan masa lama sedikit di kawasan tanah tinggi itu. Apa salahnya, asalkan tidak tertinggal maklumat berguna dan terpaksa kembali ke situ. Bukankah itu sudah membuang masa dan duit?

Petang itu, selepas bertemu dengan Prof. Adnan, Eza terus pulang ke rumah. Ketika Eza masuk ke dalam bilik, kelihatan Syella sedang berbual-bual dengan Nuyun. Sudah lama Nuyun tidak datang ke rumah mereka. Maklumlah Nuyun tinggal bersama keluarganya di Taman Tun Aminah dan dia ada kereta sendiri, jadi panjanglah langkahnya.

“Eza, malam ni kita tengok wayang nak tak?” Syella mempelawa. Sedikit minyak wangi disemburkan ke pergelangan tangannya. Harum semerbak baunya.

Berkerut dahi Eza melihat botol minyak wangi Clinique Happy yang berada di tangan Syella. Perfume aku!!! Suka hatinya dia pakai perfume aku! Argghhh… jeritan sakit hati bergema di ruang jiwa Eza.

“Tengok wayang? Kat mana? Aku malaslah…” Sesungguhnya Eza tidak mempunyai mood untuk menonton wayang. Fikirannya masih runsing memikirkan kerinduan terhadap Rizal. Begitulah Eza, bila berada di Fakulti, payah pula hendak teringatkan Rizal tetapi balik sahaja ke rumah, terus terpacul wajah lelaki itu di ingatannya.

“Kau ni Eza… liat betullah kalau kitorang ajak jalan. Asyik bawak diri sorang-sorang aje. Bukan nak join dengan kitorang lagi dah!” Nuyun menyatakan rasa tidak puas hatinya. Dan Eza sendiri mengakui kebenarannya. Wajah Nuyun nampak sedikit masam, namun Eza sekadar memandang dengan mata layu. Kononnya benar-benar letih dan mengantuk.

“Bukan macam tu Nuyun. Kau jangan salah faham. Aku letih sikit hari ni.” Eza memberikan dalih agar Nuyun dan Syella tidak berkecil hati dengannya. Bukan dia sengaja mahu mengelak diri daripada mereka berdua tetapi Eza berasa kekok bila berjalan bersama mereka yang tentunya akan berkepit dengan buah hati masing-masing. Jadi, daripada mengekor mereka macam orang bodoh, lebih baik Eza duduk di rumah sahaja. Layan tidur!

“Yelah tu… cakap ajelah kau dah bosan nak kawan dengan kitorang!” Termuncung-muncung mulut Nuyun.

Nampak jelas riak tidak puas hati terlukis pada wajah hitam manisnya. Eza jadi serba-salah. Bukan dia tidak faham dengan sikap Nuyun yang mudah salah sangka dengannya. Ni silap haribulan ni kang ada pulak yang bermasam muka ni… hisyyy…Eza sedaya upaya cuba memaniskan mukanya di depan Syella dan Nuyun.

“Tak apalah Nuyun. Terima kasih ye. Aku betul-betul nak tidur ni.” Dalih Eza lagi. Kali ini Eza lihat Syella mencemikkan bibirnya. Nuyun juga begitu. Eza mengeluh. Sudahnya dia capai tuala lalu masuk ke dalam bilik air. Kalau dilayan nanti, ada pula yang salah faham. Jadi lebih baik Eza mengalah.

Setengah jam Eza mandi, bila dia masuk kembali ke dalam bilik, Nuyun dan Syella sudah tiada di situ. Lapang sedikit rasa dada Eza. Tetapi demi melihat zip almari plastiknya terbuka, Eza mengeluh berat. Ini tak lain kerja Syella!

Lalu Eza mendekati dan mendapati, lipstik serta bedak mukanya bertaburan. Sekali lagi Eza mengeluh berat. Bilalah perangai Syella akan berubah? Sampai bila pula aku hendak bersabar dengannya? Barang-barang aku sudah jadi macam harta awamnya. Tetapi dia selalu mengungkit bila aku guna barang-barang dia tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu. Ohh!! Keadilan… di manakah dikau?? Tetapi kerana tidak mahu bertekak dan sayangkan kawan, Eza diamkan sahaja.

Selepas mengemas almari, Eza menarik turun sebiji bantal dan dihamparkan ke atas lantai berlapikkan tikar mengkuang. Sekejap sahaja matanya terpejam rapat.
****************************

SAYUP-sayup telinga Eza terdengar ketukan pintu bertalu-talu diiringi suara Najwa memanggil-manggil namanya. Terpisat-pisat Eza bangun. Keadaan sekeliling bilik sudah gelap, begitu juga di luar sana. Eza mengerling jam di dinding, sudah pukul sembilan malam rupanya!

Eza bingkas bangun dan menuju ke pintu. Bila pintu dibuka, terpacul wajah Najwa.

“Ada apa Najwa?” Tanya Eza sambil menggenyeh-ngeyeh matanya yang masih terasa kelat penangan daripada rasa mengantuk.

“Tu, ada orang cari kau kat luar sana.” Beritahu Najwa sambil memuncungkan bibirnya ke arah luar rumah. Serta-merta mata Eza terasa segar. Rizal?

Cepat-cepat Eza berlari keluar dari bilik dan mengintai melalui pintu kaca sorong tarik. Eza cuba mengamatinya. Tetapi Eza sedikit kehairanan bila melihat lelaki yang sedang bertenggek di atas motor di depan pintu pagar rumah. Eh? rasanya itu bukan Rizal! Serta-merta Eza berlari kembali mendapatkan Najwa yang sedang duduk di sofa.

“Najwa! Siapa tu?” tanya Eza dengan rasa tanda tanya memukul-mukul di dada.

“Entah… mana aku tau! Kau pergilah keluar jumpa dia.” Kata Najwa yang kemudiannya sibuk meneruskan pembacaan novel bertajuk Kau Yang Satu, karya Nia Azalea. Itulah novel yang selalu dikelek Najwa ke sana ke mari.

“Err… kau suruhlah dia tunggu kejap. Aku nak mandi dulu. Entah siapa pulak tu… Kau suruh dia tunggu ye?” Pinta Eza sambil menarik-narik tangan Najwa dengan wajah penuh mengharap. Najwa mendengus sedikit.

“Yelah… yelah! Kau jangan mandi lama sangat. Kesian mamat tu.” Najwa memberikan peringatan. Eza mengangguk sebelum terkocoh-kocoh masuk ke bilik air.

Lima belas minit kemudian, Eza sudah menyiapkan diri. Tanpa membuang masa, dia keluar. Najwa tersengih-sengih memandangnya yang kelihatan kalut menuju ke pintu. Eza sekadar menjeling dengan bibir tercebik.

Eza kemudiannya terus mendapatkan lelaki yang sedang menunggu itu. Bila sudah hampir dengannya, hampir-hampir sahaja Eza terjerit. Biarpun sudah lebih seminggu, Eza masih dapat mengecam wajahnya. Wajah itu milik lelaki yang pernah menyelamatkannya secara tidak sengaja di Pantai Lido dulu.

“Eh? Azalan?!” Terbeliak biji mata Eza melihat Azalan yang sedang tersengih-sengih memandangnya. Azalan bingkas turun dari motornya.

“Ye…sayalah Azalan!” Katanya sambil terus tersengih-sengih. Eza pula ketawa kecil. Apahal pulak mamat ni datang ke sini?

“Kenapa datang sini?” Tanya Eza dengan penuh rasa hairan.

“Saja. Bosan duduk kat rumah. Saya pergi Pantai Lido tadi, lepas tu terus teringat kat awak. Jadi saya datanglah ke sini.” Kata-katanya itu tanpa sedar telah menyumbang untuk Eza ketawa lagi. Hai… mamat ni suka duduk tepi laut ke?

Azalan mengangkat kening, sedikit hairan melihat Eza yang masih tidak berhenti ketawa. “Awak apa khabar?”

“Saya sihat aje.” Jawab Eza dalam tawa yang masih bersisa.

“Kita pergi minum nak tak?” Azalan mempelawa.

Eza tidak dapat memberikan jawapan ya atau tidak. Terfikir bahawa dia dan Azalan masih di peringkat terlalu awal sebagai kawan. Jadi adakah wajar dia pergi minum bersama Azalan? Hmm…?

“Kenapa diam? Takut ke? Anggap ajelah saya ni kawan walaupun kita baru kenal.” Azalan seakan dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran Eza. Dia tahu, gadis di depannya ini masih ragu-ragu dengannya. Yelah… aku ni terlebih peramah kot… baru kenal dah berani nak ajak dia keluar.

“Kita jalan kaki aje. Kita pergi kedai depan tu.” Azalan memberikan cadangan bila melihat Eza masih lagi mendiamkan diri. Otak Eza pula masih lagi ligat berputar memikirkan pelawaan Azalan itu. Bila melihat wajah Azalan yang penuh mengharap, Eza lantas angguk kepala tanda setuju.

Mereka kemudiannya berjalan menuju ke Restoran Citarasa Mak Ngah yang letaknya di Jalan Lumpit, tidak jauh dari rumah sewaan Eza. Hanya mengambil masa tidak sampai sepuluh minit berjalan kaki. Mereka mengambil tempat di bahagian luar restoran bila mendapati terlalu ramai pelajar duduk di bahagian dalam. Suasananya riuh rendah. Restoran Citarasa Mak Ngah memang popular di kalangan pelajar UTM kerana harganya yang berpatutan, sedap dengan resepi masakan tersendiri, dan Mak Ngah, si tuan punya restoran yang peramah serta baik hati. Malah kebanyakan pekerja restorannya terdiri daripada pelajar UTM yang bekerja secara sambilan.

Minuman yang Azalan dan Eza pesan sampai lima minit kemudian. Azalan menyorongkan gelas berisi nescafe ais ke hadapan Eza. Sementara dia sendiri menarik gelas berisi teh halia.

Kini Eza dapat melihat dengan lebih jelas lagi wajah Azalan di bawah cahaya lampu yang terang benderang. Terleka seketika dia menatap wajah Azalan. Memang handsome habis! Sukanya aku tengok muka dia yang nampak sweet sangat bila tersenyum. Eza terbuai dengan perasaannya sendiri bersama senyum meleret di bibir.

“Awak ni suka berangan ye?” Teguran Azalan mengejutkannya.

Tersipu-sipu Eza, malu jadinya tapi dia pura-pura menyisip minuman. Iskk… malu betul! Macam manalah boleh alpa ni? Ingat Rizal! Ingat Rizal! Eza memupuk semangatnya sendiri.

“Mana ada! Kalau saya berangan pun, saya tak ingat benda lain. Saya ingat pakwe sayalah!” Eza berdalih memberikan alasan yang rasanya dapat diterima pakai.

“Tak dapat jumpa lagi ke dengan dia?” Tanya Azalan mesra sambil mengacau-ngacau straw di dalam gelas minuman. Dia sendiri tidak tahu kenapa bibirnya tidak lekang menguntum senyuman bila berhadapan dengan gadis yang baru dikenalinya ini.

“Hmm… minggu depan kot baru dapat jumpa. Rindu sangat dah ni! Tak tahan rasanya! Sesak sangat dah rasa dalam hati ni. Macam ni rupanya bila hati sarat dengan rindu ye?” Tanpa segan silu Eza meluahkan rasa hatinya sambil tangannya menepuk-nepuk dadanya. Iye… iye je aku ni… Eza tersengih.

Azalan tersenyum. Daring jugak awek ni. Terus terang punya kaki! Suka betul aku tengok jelingan mata dia tu, menggoda! Azalan terus tersenyum panjang. Tetapi sekejap kemudian senyumannya tiba-tiba hilang dari bibir. Bagaikan ada sesuatu yang tiba-tiba mengganggu hatinya.


“Hai, untung boyfriend awak dapat girlfriend penyabar macam awak.” Suara Azalan berubah menjadi tawar. Bila melihat raut wajah Azalan yang tiba-tiba menjadi keruh, Eza dapat mengagak, lelaki kacak di depannya ini masih memendam sesuatu. Tak apa… slow-slow, aku akan korek rahsia hati kau! Eza tersengih nakal.

“Mana ada untungnya. Biasa aje. Terseksa jiwa adalah.” Eza membetulkan tanggapan Azalan terhadapnya.

“Yang awak pulak kenapa? Rasanya dari hari masa kat Lido dulu lagi awak dah macam orang pasrah aje…” Eza mula cuba mencungkil rahsia hati Azalan. Dan seperti sudah menjadi kelazimannya, Azalan akan tersenyum sebelum menjawab soalan Eza. Kaya dengan senyuman betullah dia ni! Eza mengerling. Nampak manja pada pandangan mata Azalan.

“Orang tak sudi pada saya… itu yang nampak kecewa tu. Yelah, dia orang lawa. Saya ni apalah sangat…” Azalan merendah diri. Eza pula menggeleng kepala tanda tidak setuju dengan Azalan.

“Pada saya, tiada sebab girlfriend awak nak tolak cinta awak tu. Awak kan..-“ Tidak sempat Eza hendak menghabiskan kata-kata, Azalan terlebih dahulu memotong.

“Ada sebabnya! Saya ni tak berharta!” Sela Azalan dengan wajah yang nampak tegang.

“Perempuan zaman sekarang ni lebih memandang harta benda, pangkat. Ada rupa pun, tapi kalau tak ada harta, kena reject jugak!” Nada suara Azalan benar-benar menunjukkan bahawa dia tidak puas hati. Eza mendengus, jadi geram tiba-tiba dengan tohmahan Azalan terhadap kaum perempuan.

“Jangan tuduh sembarangan okey? Boyfriend saya pun bukan ada harta, bawak motor jugak! Tapi saya tetap nakkan dia!” Tempelak Eza dengan suara sedikit meninggi tanpa mempedulikan beberapa pasang mata yang memandang ke arah mereka.

Azalan nampak sedikit terkejut dengan perubahan sikap Eza. Bulat mata Eza yang merenungnya, bagaikan terus menikam ke hatinya. Aduh! Eza mengertap bibir. Wajah Azalan yang nampak gabra itu ditenungnya cukup-cukup. Biar dia terkejut, jangan sewenang-wenangnya menyamakan setiap perempuan. Hati Eza menggerutu geram.


“Okey, okey… awak lain daripada diorang.” Azalan memujuk dengan kata-kata yang pada pendengaran Eza agak tidak ikhlas.

“Maafkan saya. Saya terikut perasaan sangat. Saya minta maaf Eza…” Pinta Azalan sambil memandang tepat ke muka Eza, mengharapkan simpati. Dia benar-benar nampak serba-salah. Eza tersenyum kemenangan dan mula mengendurkan ketegangan pada wajahnya.

“Berapa umur girlfriend awak tu? Nama siapa?” Tiba-tiba sahaja Eza terasa ingin tahu tentang kekasih Azalan. Best sangat ke perempuan tu sampai dia kecewa gila-gila ni?

“Err… muda lagi. Baru habis belajar. Nama dia Afnida.” Nampak dari raut wajahnya, Azalan seperti mahu menyembunyikan sesuatu.

“Yela… muda tu berapa? 22? 23?” Eza meneka-neka dengan mata mencerun membuatkan Azalan kembali nampak serba-salah. Dia mengagak kekasih Azalan tentulah sebaya dengan dirinya.

“Err… 18! Baru habis SPM!”

Hampir tersedak Eza bila mendengar jawapan Azalan. Serta-merta terburai tawanya. Kalau diikutkan hati mahu saja dia gelak sekuat hati, tidak pun gelak guling-guling, tetapi memandangkan mereka berada di tempat awam, Eza tahan dengan memekup mulutnya.

“Gila apa bercinta dengan budak sekolah?” Eza tidak dapat menerima hakikat itu. Wajah Azalan kelihatan merah padam. Mungkin dia benar-benar malu kerana aku dengan suka hati mentertawakannya. Kejam pulak aku ni!

“Memang saya gila. Afnida tu asalnya adik angkat saya aje. Tapi sebab dah sayang, saya pun luahkan rasa cinta saya!” Azalan kemudiannya tertunduk. Timbul pula rasa kasihan di hati Eza bila melihat begitu merah muka Azalan. Ah, tak patut sungguh aku ketawakan dia.

“Sorry… Tak sengaja. Tiba-tiba saya rasa macam lucu sebab awak bercinta dengan budak kecik!” Kata Eza dengan wajah menahan senyum.

“Tak payahlah nak mintak maaf pulak. Saya ni yang tak tahu malu couple dengan budak sekolah.” Suara Azalan kedengaran menjauh. Eza tidak sanggup lagi untuk mentertawakannya.

“Jom, balik. Saya takut nanti saya ketawa tak ingat dunia pulak kat sini. Awak jugak yang malu!” Eza memberikan cadangan.

Lebih baik mereka beredar sebelum banyak lagi cerita Azalan yang akan membuatnya ketawa lupa diri. Azalan mengangguk tanda setuju dan terus bangun menuju ke kaunter untuk membayar harga minuman. Eza tersenyum mengiringi langkah Azalan. Hmm… markah untuk sikap gentleman sudah tercatat di situ. Kemudian Azalan mendapatkan Eza yang sudah menanti di bahu jalan.

“Saya rasakan, tak payahlah kita nak ber’saya’ ‘awak’. Rasa macam budak skema aje!” Tiba-tiba sahaja Eza mengutarakan pandangan. Sesungguhnya dia rasa agak tidak selesa dengan membahasakan diri ‘saya’ ‘awak. Seolah-olah tiada kemesraan sebagai seorang sahabat, jika benar Azalan ingin berkawan dengannya.

“Habis tu nak panggil apa? Aku, engkau?” Tanya Azalan dengan mempamerkan riak wajah terkejut. Eza cepat-cepat mengangguk.

“Tak kisah ke? Saya dah 25 tau… awak?” Azalan bertanya lagi untuk meminta kepastian dari Eza.

“Dah nak masuk 23. Ala, setakat beza dua, tiga tahun tu tak kisah langsunglah. Lagi okey apa, kalau aku… engkau. Kita kan dah jadi kawan.” Eza memberikan kepastian sambil mengenyit mata ke arah Azalan membuatkan pemuda itu tersenyum lagi.

Mereka kemudiannya berjalan seiringan pada kadar yang agak perlahan menuju ke rumah sewa Eza. Diam-diam, Eza mengakui dia benar-benar rasa senang hati berbual dengan Azalan. Sikapnya yang mesra, membuatkan Eza turut berasa mesra untuk terus melayan perbualannya sehinggakan tidak teringat langsung bahawa persahabatan mereka sebenarnya baru sahaja terjalin.

“Sebenarnya aku budak UTM jugak. Tahun lepas habis... lepas tu, aku terus kerja kat JB sebab nak dekat dengan girlfriend akulah kononnya.” Azalan mula menceritakan tentang dirinya. Nampak dia sedikit kekok untuk membiasakan dirinya ‘aku’. Eza hanya ketawa kecil melihatnya.

“Oh, ye? Kau ambil apa?” tanya Eza dengan penuh rasa teruja tanpa berminat untuk tahu tentang kekasih ‘bawah umur’ Azalan itu lagi.

“Ambil mechanical engineering. Aku ambik major Automotive.”

“Ohh… jadi sekarang ni dah bergelar engineerlah ye?”

“Ha ah, engineer cabuk! Sebab tu awek aku reject aku! Tak ada duit nak beli kereta!”

Ah, nampaknya Azalan seperti tidak mahu lari daripada bercerita tentang kekasihnya. Akhirnya Eza mendengar sahaja omelannya. Nampak sangat Azalan benar-benar sayangkan kekasihnya yang bernama Afnida itu. Cemburu pulak aku rasa! Kan best kalau Rizal camni! Eza berkata-kata di dalam hati.


“Kau duduk kat mana? Awek kau pulak duduk kat mana?” Bertubi-tubi soalan yang Eza ajukan.

“Aku sewa rumah dengan kawan-kawan dekat Taman U. Awek aku duduk dekat Taman Pelangi dengan family dia.”

Eza hanya menganggukkan kepalanya.

“Ada email tak?” Tanya Azalan tiba-tiba setelah mereka sampai di depan rumah sewaan Eza.

“Kenapa mintak email? Kenapa tak nak mintak nombor telefon?” Tanya Eza dengan wajah selamba. Amboi, tak malunya aku, selamba aje bertanya begitu.

“Sebab aku tak ada telefon nak telefon rumah kau! Aku malas nak pakai handphone ni, bukan ada orang nak call aku pun. Telefon kat rumah aku kat Taman U tu asyik online 24 jam.” Selamba sahaja wajah Azalan tetapi kedengaran cukup jujur. Eza tersenyum gelihati.

“eza791215@yahoo.com! Kalau tak ingat, kira nasiblah, tapi kalau dapat ingat, kau memang terror!” Eza sengaja mengusik Azalan dengan tidak mencatitkan alamat email itu ke dalam kertas. Sebenarnya alamat email itu adalah gabungan nama dan tarikh lahirnya.

Azalan sekadar tersenyum. Heh… ingat aku tak boleh hafal ye? Tunggu ajelah! Email aku bakal menghiasi hidup engkau lepas ni! Tanpa bersuara, Azalan menyarungkan helmet ke kepala dan menghidupkan enjin motornya.

“Nanti aku email kau! Jumpa lagi.” Katanya sebelum beredar pergi.

Eza tersenyum sambil melambaikan tangan. Tetapi senyumannya hilang bila kereta milik Nuyun berhenti betul-betul di depannya. Dan seri di wajah Eza terus hilang bila melihat Nuyun dan Syella keluar dari perut kereta sambil menjeling tajam ke arahnya. Alamakkk!!