Sebuah Kisah Benar Pelumba Negara
Sinopsis : Dia membuktikan dirinya mampu menjadi juara. Berbekalkan tekad dan azam, tiada apa yang dapat menghalangnya. Kini, namanya disebut-sebut sebagai salah seorang pelumba terbaik di Malaysia.
Beliau adalah Elly Idzlianizar. Perjalanannya bagi menjadi seorang pelumba berselang seli dengan pelbagai kisah suka dan duka. Ini adalah kisah seorang pemuda yang berjaya membuktikan kepada masyarakat, daripada seorang budak nakal seawal usia remaja, tandus dengan kasih sayang, terlibat dengan lumba haram serta pergaduhan, berubah menjadi salah seorang pelumba Malaysia yang digeruni di rantau Asean. Daripada gaya comot bertukar menjadi pelumba yang kemas bergaya.
Evolusi Elly adalah rangkuman kecil kisah Elly Idzlianizar sebagai pelumba yang dapat dijadikan iktibar bagi menunjukkan tanpa semangat, kesungguhan, azam dan tekad yang kuat, kejayaan tidak akan datang bergolek.
*****************************
KANDUNGAN
TENTANG ELLY ….. 5
PROLOG ….. 6
SEBELUM
Keriangan zaman kanak-kanak ….. 10
Obses dengan Cub Prix ….. 11
Tiru aksi Cub Prix dengan basikal ….. 13
Perpisahan yang menyakitkan ….. 14
Getir hidup berdikari ….. 21
Mula ponteng sekolah ….. 23
Curi-curi menunggang motosikal ….. 27
Berbasikal ke tempat perlumbaan ….. 31
Jaguh lumba haram di usia 13 tahun ….. 34
Kebebasan tanpa batasan ….. 37
Mencari diri ….. 38
2002
Bertemu sifu ….. 44
Kerja kontrak kumpul duit ….. 46
Berjimat demi cita-cita ….. 47
Misi Cub Prix ….. 49
Doa, harapan dan restu ….. 50
2003
Berlatih dengan sifu ….. 51
Litar Alor Gajah, litar pertama ….. 53
Pajak motosikal untuk berlumba ….. 55
Tidur dalam lori di tepi masjid ….. 56
Rakan-rakan menjauhkan diri ….. 57
2004
Hijrah demi perubahan diri ….. 60
Cabaran hidup merantau ….. 61
Cemerlang di Kuantan ….. 63
FIM Asia Road Racing Championship ….. 65
Motosikal terputus dua ….. 67
Berlumba dan terus berlumba ….. 68
2005
Masalah bermula ….. 70
Gila setting motosikal ….. 71
Berlumba tanpa gaji ….. 72
Ditinggalkan kekasih ….. 74
Pasukan mula goyah ….. 76
Teraniaya …. 78
Rayuan seorang anak ….. 80
Perlepasan kontrak ….. 82
‘Lenyap’ dari Cub Prix ….. 86
Peluang kedua ….. 88
Yamaha Asean Cup, Bangkok ….. 90
Suka mengatasi duka ….. 93
2006
Semangat pasukan baru, ujian baru ….. 95
Gigih berusaha ….. 98
FIM Asian Grand Prix, Indonesia ….. 101
Lari dari hospital ….. 104
Mahu pelumba bersatu ….. 106
Masalah hubungan dengan bos ….. 107
Kemenangan tanpa ganjaran ….. 109
Pelumba yang daif ….. 112
Dari Novice ke Expert ….. 115
Yamaha Asean Cup, Indonesia ….. 117
Masalah belum selesai ….. 119
2007
Tercicir musim baru Cub Prix ….. 126
Kontrak bersama pasukan baru ….. 127
Patah tulang selangka ….. 128
Akibat taktik kotor pelumba ….. 131
Semangat perjuangan ….. 134
Podium bersama Ikmal ….. 137
Yamaha Asean Cup, Batu Kawan ….. 139
SELEPAS
Setelah segala jerih ….. 143
Insaf kenang masa lalu ….. 144
Tiada cinta, hanya perlumbaan ….. 148
Hubungan sesama pelumba ….. 149
Sumbangan ….. 151
Perjuangan belum selesai ….. 153
PENUTUP
Pandangan Sifu ….. 154
*****************************
TIRU AKSI CUB PRIX DENGAN BASIKAL
BEBERAPA orang kanak-kanak kelihatan berkumpul di padang Sekolah Kebangsaan Jejawi. Beberapa helai baju yang diikat pada pancang kayu, berkibaran laksana bendera. Lima orang kanak-kanak bersedia dengan basikal masing-masing iaitu Elly, Syafiq, Adib, Umar dan Johan. Seorang yang lain berjalan di depan mereka sambil mengibar-ngibarkan ‘bendera’.
“Sedia! Satu! Dua! Mula!”
“Vrooommm!!!” Suasana bertukar riuh rendah dengan sorakan kanak-kanak yang menjadi penonton.
Kelihatan pula seorang kanak-kanak memegang kotak panjang, berlari-lari mengejar kumpulan berbasikal. Persis lagak seorang jurukamera merakamkan setiap aksi yang mendebarkan.
“Nampaknya saingan kali ini benar-benar hebat. Tiga orang pelumba sedang bersaing di hadapan!” Opie mengulas aksi perlumbaan menggunakan corong kertas membolehkan suaranya kedengaran lantang.
Demi benar-benar meniru aksi dalam Cub Prix, Umar dan Johan sengaja menjatuhkan basikal. Bergolek-golek di atas rumput. Kononnya mengalami kemalangan akibat pergeseran. Kemudian pura-pura marah apabila tidak dapat meneruskan perlumbaan kerana kononnya jentera mereka mengalami kerosakan akibat kemalangan itu.
Lebih lima kali berlumba basikal mengelilingi padang, Elly akhirnya mendahului teman-teman yang lain. Haikal yang bertindak sebagai jurukamera segera berlari menghampiri Elly. Opie pula bersedia dengan botol kecil air mineral sebagai mikrofon dan mula menemuramah Elly sebagai pemenang.
“Apakah saudara Nizar sudah menjangkakan kemenangan kali ini?” Opie bertanya sebelum menyuakan botol mineral ke depan Elly.
“Tidak tapi saya rasa nasib sudah menyebelahi saya kerana dua pelumba mengalami kemalangan pada pusingan akhir tadi. Ia memberi peluang kepada saya untuk mendahului perlumbaan,” kata Elly dengan penuh yakin dengan lagak seorang juara. Sekali-sekala bercekak pinggang dan menyeka peluh. Betul-betul meniru gaya pelumba yang menang ketika ditemuramah.
Kemudian beberapa orang rakan mengiringi Elly menaiki ‘podium’ yang diperbuat daripada kotak kayu. Kalungan bulat besar diperbuat daripada pintalan daun lalang disarungkan ke leher. Elly sudah tidak peduli pada miang. Dia menjulang-julangkan tangan meniru aksi juara Cub Prix yang dilihatnya di Stadium Utama Kangar tempoh hari.
Dalam hatinya mula berangan-angan. Suatu hari nanti aku juga mahu jadi pelumba!
*****************************************
PERPISAHAN YANG MENYAKITKAN
KEMATIAN datuk (sebelah mama) telah mengganggu-gugat perasaan Elly. Kematian datuk sangat menyedihkan dan menakutkan Elly kerana itulah kematian ahli keluarga yang pertama dihadapi olehnya. Menyaksikan arwah datuk dikafan dan disembahyangkan membuatkan Elly menangis tidak henti-henti. Dia benar-benar merasakan kehilangan yang teramat sangat dalam hidupnya.
Dan dugaan dari ALLAH tidak berhenti di situ sahaja. Keteguhan hati Elly teruji lagi. Segala kebahagiaan dan kegembiraan yang dirasai oleh Elly sebagai kanak-kanak terencat oleh satu peristiwa yang tidak diduganya sama sekali. Tidak pernah dia menyangka bahawa selama ini abah dan mama sedang mengalami krisis rumahtangga. Suatu hari dia melihat mama mengheret sebuah beg besar menuju ke pintu. Sebelah tangan mama memimpin Lily. Gaya mama itu seakan mahu keluar dari rumah, tidak mahu pulang lagi. Elly mula diterpa rasa takut. Lantas dia dan Ikmal segera mendapatkan mama.
“Mama hendak pergi ke mana bawa beg besar macam ini?” tanya Elly dengan kerutan di dahi.
“Mama mahu pindah rumah,” beritahu mama tanpa mahu menjelaskan lebih lanjut. Mata mama kelihatan mengerling abah yang berdiri di belakang Elly.
“Kenapa mama mahu pindah rumah pula? Bukankah ini rumah kita?” Elly bertanya lagi penuh hairan walau hatinya sudah berdebar kencang.
“Mama tidak boleh tinggal di rumah ini lagi. Nizar hendak ikut mama atau mahu duduk dengan abah?” Mama menyoal, jelas tidak mahu menerangkan apa yang telah berlaku.
Elly terkebil-kebil. Memandang mama dan abah silih berganti. Dia keliru dan serba-salah membuat pilihan. Pada abah dia sayang, pada mama dia kasih. Lagipun semua ini agak mengejutkan dan tidak dijangka sama sekali. Melihatkan Elly masih tidak memberi jawapan, mama beralih pandang kepada Ikmal pula.
“Adik Mal mahu ikut siapa?” soal mama.
Lambat-lambat Ikmal memberikan jawapan, “Mal mahu ikut abang!”
Mama mengeluh, terus memandang abah. Elly diam di tepi pintu merenung Lily. Lily yang masih kecil tentu tidak mengerti apa-apa. Semestinya Lily akan mengikut mama.
“Saya mahu bawa Lily. Biar Lily duduk dengan saya. Awak jagalah Nizar dan Mal.” Akhirnya mama memberikan kata putus kepada abah.
Selepas itu mama terus melangkah pergi mengheret beg dan memimpin Lily. Tidak menoleh lagi ke belakang. Saat itu Elly merasakan hatinya terluka. Sakitnya sangat memedihkan jiwa apabila melihat mama pergi bersama Lily.
“Kenapa mama mesti pergi? Kenapa mama tidak mahu tinggal di rumah ini lagi?” Elly memberontak, menanyakan soalan itu kepada abah.
Soalan yang telah diulang tanya sejak siang tadi tetapi tidak mendapat sebarang jawapan yang memuaskan dari mulut abah. Elly benar-benar tidak puas hati. Sudah naik jenuh dia cuba memahami tetapi memang dia tidak memahami apa yang telah berlaku antara abah dan mama. Kalau bergaduh, tidak boleh berbaikkah? Kenapa mesti mama pindah ke rumah lain pula? Kenapa mesti mama bawa Lily pergi? Apa yang telah terjadi sebenarnya?
“Abah sudah tidak sayang pada mama dengan adik Lily lagikah?” soal Elly dalam nada geram.
Dia merasakan abah yang bersalah kerana membiarkan mama pergi membawa Lily bersama. Sepatutnya abah menghalang mereka. Sesungguhnya Elly benar-benar tidak faham dengan sikap abah. Tenang saja seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
“Abah dan mama tidak boleh tinggal bersama lagi.” Abah menjawab tenang. Selama inipun abah memang jarang meninggikan suara dengan anak-anak.
Elly tunduk mengetap gigi. Hati kecilnya berantakan.
“Nizar boleh pilih mahu tinggal dengan siapa. Abah tidak mahu menghalang.” Abah bersuara lagi.
Elly mengerling ke arah Ikmal. Dia ingin tahu kehendak adiknya itu. “Mal… Mal rasa mahu tinggal dengan siapa?”
“Mal ikut abang. Kalau abang tinggal dengan mama, Mal ikut. Kalau abang mahu tinggal dengan abah, Mal pun ikut. Mal tidak mahu jauh dari abang.” Muka Ikmal sudah mencemik sedih.
Hati Elly sebagai abang, terusik mendengar kata-kata Ikmal. Biarpun usia Elly baru 11 tahun, tapi dia tetap punya perasaan. Sudah terlalu mengerti akan rasa sayang, rasa benci, rasa sakit hati dan sebagainya. Biarpun selama ini dia dicop sebagai pendiam di kalangan ahli keluarga, tetapi sebenarnya hati Elly juga mudah terusik. Sikap sebagai abang yang melindungi adik-beradik sudah lama terserlah dalam dirinya. Akhirnya Elly akur membuat keputusan untuk terus tinggal bersama abah.
Tanggal 1 September 1995, abah dan mama sudah sah bercerai! Itu hakikat yang terpaksa Elly terima. Pahit untuk ditelan kenyataan tersebut. Hakikat itu juga memberi erti bahawa selepas ini dia akan berjauhan dengan mama. Tidak lagi dapat bermain dengan Lily yang comel lagi manja. Hati Elly bercelaru. Terasa kasih sayangnya sudah terbahagi dua. Hendak meninggalkan abah tidak sampai hati tapi dalam masa yang sama, dia tidak rela berjauhan dengan mama dan Lily. Semua itu membuatkan Elly keliru untuk membuatkan keputusan yang sewajarnya. Diam-diam, hatinya mula memberontak. Semuanya membuatkan Elly berubah menjadi lebih pendiam dan suka memendam perasaan.
“Abah dan mama engkau sudah bercerai ya Nizar?”
“Sekarang engkau duduk dengan siapa? Dengan mama atau dengan abah?”
“Engkau tidak sedihkah?”
“Engkau tidak rindukan mama?”
“Adik kau Lily macam mana? Dia tidak menangis rindu kepada engkaukah? Bukankah dia sangat rapat dengan kau?”
Soalan-soalan yang keluar dari mulut teman-teman, memukul jiwa Elly. Benar-benar menguji kesabarannya.
“Jangan masuk campur hal keluarga aku!” bentak Elly melepaskan geram setiap kali orang bertanya dan pada kala dia kebuntuan jawapan. Sakit hatinya tidak terkira lagi. Malu juga bukan kepalang lagi.
Sudah pasti berita perceraian abah dan mama telah tersebar di sekitar Kangar. Apatah lagi abah adalah guru SMK Dato' Jaafar Hassan, Bukit Keteri, Perlis Indera Kayangan. Dan mama pula kakitangan Majlis Perbandaran Kangar. Pastinya orang sekiling dapat menghidu apa yang berlaku. Pasti mereka hairan melihat abah dan mama tinggal berasingan.
Sejak perceraian abah dan mama, Elly sudah jarang bergaul dengan teman-temannya. Sebaik sahaja waktu persekolahan tamat, Elly akan bergegas ke kelas Ikmal. Kemudian mereka akan pulang bersama. Elly mengayuh basikal dan Ikmal akan membonceng di belakang. Saban hari juga Elly termenung mengenangkan nasib diri. Hati anak manalah yang tidak sedih menerima dugaan seperti ini? Kalau hendak dikira perasaan sedih, memanglah sedih, tambahan pula adik bongsu tinggal dengan mama. Tapi perasaan itu sudah tertanam jauh di sudut hati Elly. Setiap hari bersama Ikmal, membuatkan Elly berasa dirinya harus bertanggungjawab menjadi seorang abang bagi melindungi Ikmal.
Tiba-tiba hati Elly membisikkan kata semangat pada diri sendiri;
Aku budak lelaki. Sebagai lelaki, aku tidak mahu mengalah pada keadaan. Aku kena kuat! Aku kena berani! Apatah lagi dengan Ikmal yang ada di depan mata aku. Aku tidak sanggup mahu melihat dia terpesong macam aku. Hanya pada Ikmal dapat aku curahkan kasih sayang. Sebagai abang, aku harus bertanggungjawab sepenuhnya ke atas Ikmal. Aku kena jaga Ikmal baik-baik!*******************************************
JAGUH LUMBA HARAM DI USIA 13 TAHUN
Larangan dan nasihat abah, tidak pernah Elly hiraukan. Dia tidak pernah melepaskan peluang untuk menonton perlumbaan haram. Waktu itu Elly benar-benar merasakan kebebasan yang maksima. Pergaulannya menjadi semkain luas. Tetapi agak menghairankan kerana dia kurang berkawan dengan budak-budak sebaya. Elly sebaliknya lebih suka berkawan dengan orang yang lebih tua darinya. Selain mendapat pengalaman daripada mereka, Elly juga berasa terlindung kerana mereka menjaganya seperti menjaga adik-beradik sendiri. Kawan-kawan yang sebaya dengan Elly cuma di sekolah sahaja.
Kerana bergaul dengan pemuda dari kalangan mat rempit jugalah yang membuatkan Elly berpeluang menyertai lumba haram ketika usianya 13 tahun. Bermula dengan ujian masa atau Sprint Test yang dilangsungkan di Jalan Padang Kota, Elly merasai pengalaman berlumba yang pertama.
Tepat jam 12.30 malam, pelumba-pelumba yang mengambil bahagian mula mengambil tempat di grid permulaan. Masing-masing sudah bersedia untuk mempamerkan keperkasaan jentera dan kehebatan skill tunggangan mereka. Sorakan penonton tidak berhenti dari tadi. Sorakan mereka bertambah kuat apabila melihat Elly yang bertubuh kurus kecil menyertai kumpulan pelumba yang jauh lebih berusia daripadanya. Dia kelihatan seperti kerengga dengan topi keledar tersarung di kepala.
Sebaik sahaja dilepaskan, masing-masing memecut. Gabungan bunyi enjin terasa memekakkan telinga. Elly sudah meluncur ke depan. Saat itu dia merasakan jantungnya berdegup kencang. Darah dan perasaannya terasa hangat membakar diri. Anehnya tidak ada walau sedikitpun perasaan takut muncul dalam hati Elly. Sebaliknya dia berasa begitu ghairah memecut. Tubuh kecilnya melayang-layang bersama motor yang menderum laju.
Jarak 150 meter yang ditetapkan untuk ujian itu bagaikan tidak terasa. Sedar-sedar sahaja Elly sudah berada di garisan penamat. Mukanya terasa kebas dek tamparan angin ketika memecut tadi. Tubuhnya terasa bagai terawang-awang. Dalam keadaan terpana begitu Elly menyedari beberapa orang pemuda yang tidak dikenali meluru mendapatkannya. Tubuhnya dipeluk-peluk, dilambung-lambung.
“Hebat betullah engkau!”
“Baru sekali berlumba engkau sudah menang!”
“Kecil-kecil cili padi!”
Kata-kata itulah yang menyedarkan Elly bahawasanya dia telah memenangi perlumbaan itu! Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya dia.
“Ini hadiah untuk engkau.” Abang yang menganjurkan perlumbaan itu meletakkan sehelai not seratus ringgit dalam genggaman Elly.
“Terima kasih abang!” ucap Elly penuh dengan perasaan teruja. Nilai RM100 itu sudah terlalu tinggi buatnya.
Kemenangan pertama itu juga membuatkan Elly menjadi semakin bersemangat untuk terus berlumba. Sejak itu juga Elly turut berani menjinakkan diri dalam perlumbaan haram di jalan raya. Walaupun ketika itu Elly cuma ada basikal, akan tetapi Elly sanggup mengayuh basikal semata-mata mahu ke tempat perlumbaan! Tiada motor sendiri untuk berlumba? Tidak mengapa… kerana Elly boleh meminjam motor abang-abang kenalannya. Dengan motosikal mereka, Elly berlumba dalam Sprint Test mahupun lumba haram litar jalan raya. Dengan duit kemenangan itulah Elly gunakan untuk keperluan harian. Beli apa sahaja yang diingininya tanpa perlu meminta wang dari abah lagi.
Nama Elly mula meletup kerana selalu memenangi perlumbaan di sekitar Perlis. Ramai pemilik bengkel mula sukakan Elly. Maklumlah, badannya kurus, kecil. Apabila menunggang motosikal seperti tidak membawa orang. Laju sahaja perginya! Motor yang tidak laju pun boleh jadi laju. Senanglah hendak menang. Tambahan pula Elly memang jenis berani dan tidak takut apa! Perasaan takut memang tiada langsung di dalam hatinya ketika itu.
Dalam hati Elly mula menyimpan tekad dan azam. Dia mahu jadi pelumba sama seperti mereka. Tapi mampukah dia? Sedangkan dia sedia maklum, kos untuk memasuki perlumbaan itu sangat tinggi tambahan pula dia masih bersekolah. Kalaulah pihak penganjur membuka ruang untuk budak sekolah sepertinya berlumba, pasti suatu hari nanti Malaysia akan mempunyai bintang perlumbaan motosikal bertaraf dunia.
Elly menyimpan keazaman yang entah bila boleh digapai, dia juga ingin jadi ‘Raja Kapcai’!
*******************************************
MENCARI DIRI
SELEPAS menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Elly meminta izin dari abah untuk tinggal bersama mama. Tetapi tidak lama kerana selepas itu abah telah menghantar Elly ke Kedah untuk tinggal bersama Tok (nenek sebelah abah).
Tinggal bersama Tok di Kedah, telah berjaya menjauhkan diri Elly daripada terlibat dalam lumba haram lagi. Bagaimana dia dapat melibatkan diri lagi sedangkan dia tidak mempunyai kawan di kampung Tok. Lalu, atas saranan abah, Elly mengambil kursus Sijil dalam bidang Elektrikal di Akademi Binaan Malaysia, Jitra sebaik sahaja menerima keputusan SPM. Kursus yang mengambil masa selama enam bulan itu adalah pilihan Elly sendiri kerana bidang elektrikal adalah satu bidang yang diminatinya.
Elly juga berpeluang mengambil lesen motosikal. Ketika di kampung motosikal datuknya pula jadi sasaran Elly melakukan pengubahsuaian. Kerana Elly tidak mampu membeli motosikal sendiri. Tetapi tidaklah pula dia menggunakan motosikal itu untuk berlumba. Sekadar digunakan untuk berulang-alik dari rumah Tok ke kelas di Akademi Binaan Malaysia.
Buat sementara waktu, Elly memang menjadi budak ‘baik’ ketika tinggal bersama Tok. Selepas habis kelas, Elly segera pulang ke rumah. Kemudian pada sebelah petang, Elly akan mengikut Tok memancing ikan di bendang. Seronok benar rasanya jika berjaya menaikkan keli atau puyu mahupun haruan ke atas darat. Pada sebelah malamnya pula, Elly menghabiskan masa belajar mengaji Al-Quran dengan Tok.
Tetapi dalam hatinya, tidak seorangpun tahu bahawa impiannya mahu jadi pelumba masih membara!
Dan apabila pulang semula ke Kangar, semakin hari minat berlumba Elly semakin menjadi-jadi. Lebih-lebih lagi dia bertemu kembali dengan rakan-rakan lama. Secara tidak langsung Elly kembali kepada gaya hidup lamanya, berlumba haram. Abah memanglah tidak suka tapi caranya, dia buat tidak tahu saja. Sudah tidak larat melarang dan memarahi Elly lagi.
Lagipun Elly nampak sahaja pendiam tetapi bukan main lagi degil dan nakalnya! Ditambah pula Elly adalah jenis suka melakukan apa sahaja mengikut kehendak hatinya. Elly sudah lali dengan larangan dan tidak peduli apa langsung. Hampir semua penduduk Kangar mengenali Elly sebagai remaja tidak berguna dan tidak mempunyai masa depan.
“Elly itu satu sen pun tidak berguna!”
“Perangai sudah macam syaitan!”
“Merempit sana-sini tidak ingat dunia!”
Setiap kutukan dan hinaan itu tiba-tiba telah menimbulkan semangat dan azam baru dalam diri Elly.
“Abah sudah memberi pelajaran yang secukupnya. Nizar fikirlah sendiri mana yang baik dan mana yang buruk.” Kata-kata abah kembali terngiang di benak Elly.
Aku ada Sijil Kemahiran. Bukankah dulu aku yang tidak sabar sangat untuk menghabiskan persekolahan? Sepatutnya sekarang ini aku mencari kerja mengumpul duit supaya dapat masuk berlumba dalam Cub Prix. Bukannya merempit di jalanraya lagi. Elly bermonolog di dalam hati.
Tiba-tiba timbul kesedaran dalam diri Elly. Muncul keazaman mahu menamatkan pandangan serong masyarakat terhadap dirinya. Dia mahu membuktikan bahawa dia akan berjaya mencapai apa yang dicita-citakannya sejak dari kecil! Dia mahu membuktikan kepada semua bahawa dia akan berjaya menjadi pelumba!
Demi waktu yang telah banyak terbuang kerana melakukan perkara-perkara negatif, Elly mula menginsafi diri. Selama ini dia hanya menyimpan cita-cita mahu jadi pelumba tetapi hanya setakat itu. Kebolehannya hanya teruji di jalanraya.
“Abah, Nizar mahu cari kerja.” Elly menyuarakan hasratnya kepada abah.
“Baguslah!” ucap abah agak gembira mendengarnya.
“Nizar hendak kerja sebab mahu masuk Cub Prix.” Elly menokok.
“Tidak habis-habis mahu berlumba lagi?” Abah bertanya dalam nada sedikit kecewa.
“Itu sahaja yang Nizar minat. Nizar akan kerja cari duit dan Nizar akan masuk Cub Prix. Nizar akan buktikan pada abah dan mama, Nizar akan jadi pelumba yang berjaya.” Elly bersuara dalam nada paling tegas serta yakin.
“Nizar janji Nizar tidak akan susahkan hati abah lagi. Nizar tidak akan buat perkara tidak elok lagi. Nizar hanya akan berjaya kalau buat apa yang Nizar suka. Nizar akan buktikan!” Elly semakin bersemangat.
Selepas ini dia akan mengorak langkah ke depan. Tidak akan menoleh lagi ke belakang. Cita-citanya untuk menjadi pelumba, harus digapai walau susah macam mana sekalipun.
**************************************
TIDUR DALAM LORI DI TEPI MASJID
KERANA semangat, Elly dan rakan mekaniknya sanggup menaiki lori yang mengangkut motosikal sampai ke Kuantan. Lebih sadis dan haru apabila mereka terpaksa pula tidur di dalam lori yang sama kerana sudah tidak cukup duit untuk tidur di hotel. Bayangkan, ketika pelumba lain sedap-sedap tidur dalam keadaan selesa, Elly dan rakan mekanik tidur di dalam lori di tepi masjid Indera Mahkota dalam keadaan sejuk dan dihurung nyamuk! Pendek kata, tidur mereka memang tidak lena langsung! Keadaan itu membuatkan Elly tambah bersemangat.
Terdetik dalam hati kecilnya, “Aku datang dari jauh dengan bersusah payah macam ini, apa jadi pun esok aku akan cuba sungguh-sungguh!”
Berkat kesungguhannya, Elly berjaya menunjukkan prestasi yang baik. Semasa sesi ujian (Heat) Elly berada di kedudukan nombor lima. Kemudian menduduki tempat ke empat dalam perlumbaan peringkat akhir.
Duit saguhati sebanyak RM200.00 yang Elly perolehi, RM100 digunakan untuk membayar duit lori manakala baki RM100 lagi untuk digunakan untuk dia dan mekanik pulang ke Perlis dengan bas.
Memang Elly tidak mendapat apa-apa daripada perlumbaan tersebut. Akan tetapi pengalaman itu sangat berharga buat Elly. Apatah lagi apabila ada sebuah pasukan profesional mula memberikan perhatian terhadap Elly. Mereka turut menawarkan Elly untuk berlumba dengan pasukan mereka.
Namun, dugaan tetap datang. Dalam Elly gembira kerana berjaya menempatkan diri dalam sebuah pasukan Cub Prix, dia mula menyedari satu kekurangan. Waktu inilah Elly mula merasakan kawan-kawan menjauhkan diri daripadanya...
Hidup adalah mengejar yang terbaik dalam semua perkara terpenting dalam hidup iaitu bangkit dari kegagalan, membangun karektor, memiliki intergriti, menjadi seperti apa yang diri kita seharusnya jadi dan memberikan yang terbaik. Tidak semua orang berani berubah kerana takut menghadapi kegagalan. Tetapi bagi Elly, dia perlu menghadapi perubahan dengan berani dan berjuang tanpa henti dengan semangat hebat dan pantang menyerah secara konsisten serta komitment yang fleksibel.
Terbitan : PTS Millennia Sdn Bhd