Tarikh Terbit: 15 February 2010 ;
Jumlah Muka Surat : 616 halaman
Ulasan pembaca di sini : http://www.pts.com.my/index.php/buku/wasilah-cinta-weera/

____________________________
1
Dari Aisyah, bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Sesungguhnya berkah nikah yang yang besar ialah yang sederhana belanjanya (maharnya)” (HR Ahmad)
TAJUL AWEERA pernah mendengar hadis itu. Tetapi dia tidak tahu, sejauh mana konsep yang ditekankan di dalam hadis tersebut boleh diterima pakai pada zaman sekarang. Bukan dia mahu menidakkan kebenaran hadis tersebut tetapi bagaimana sekiranya kaum perempuan sendiri yang tidak sudi menjadikan pernikahan itu sesuatu yang sederhana demi mendapatkan keberkatanNYA?
Weera menghela nafas panjang. Terasa lelah memikirkan masa depan. Dalam usia meningkat 28 tahun ini, Weera memang sudah bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga. Dia sudah punya segalanya. Kerjaya yang tetap dan gemilang. Baru setahun yang lepas dia membeli kondominium Casa Tiara, di pusat bandar Subang Jaya lengkap dengan ‘private terrace garden’. Hasil usaha dan kerja keras sebagai Creative Director di kilang pengiklanan terkemuka, Global Art Media yang berpengkalan di KLCC. Hasil kerjanya seringkali memenangi anugerah Kancil, antara anugerah pengiklanan paling berprestij di Malaysia. Bahkan Weera pernah merangkul pingat emas Kancil Student Awards ketika masih menuntut di The One Academy.
Tetapi sekarang dia gagal menganugerahkan diri sendiri seorang isteri sebagai pelengkap hidup. Sekarang dia terasa jenuh apabila saban hari dihadapkan dengan impian pernikahan besar-besaran oleh Jasnita. Mahu diadakan majlis resepsi di hotel lima bintang. Jauhnya angan-angan Jasnita. Sedangkan Weera semakin hari semakin tidak pasti sekukuh mana rasa kasih dan cintanya terhadap Jasnita. Perempuan bergelar model yang dikenali ketika di set penggambaran iklan yang diarahkan olehnya. Lama dulu. Kira-kira dua tahun lepas. Sejujurnya, bukan Weera yang memulakan perkenalan. Jasnita terlebih dahulu menempelkan diri. Perwatakannya yang manja, manis serta ceria, menggamit hati Weera supaya mencuba untuk menjalinkan hubungan. Tapi semua yang dipaparkan oleh Jasnita rupa-rupanya hanya keindahan luaran. Peribadinya tidak seindah fizikalnya. Jasnita hanya indah dipandang tetapi tidak untuk dimiliki.
Weera menghembuskan nafas kesal. Sepasang bola mata coklat jernihnya menebarkan pandangan jauh ke bawah sana. Melintasi bangunan-bangunan yang bertaburan di lantai bumi hingga kepada yang mencakar langit. Sudah hampir setengah jam dia berada di sini, di pinggir Bukit Ampang. Melepaskan lelah setelah melalui perjalanan jauh. Dari Fraser Hill atas nama tugas.
Bunyi deruman enjin kereta yang agak kuat, mengganggu lamunan Weera. Dia menoleh. Sebuah kereta Nissan Skyline R34 berpintu empat menghampiri. Memarkir betul-betul di sebelah Toyota Altezza milik Weera. Weera tersenyum melihat susuk tubuh yang keluar dari kereta. Ray! Atau nama penuhnya Raymond Azman Ananda.
“Assalamualaikum…” ucap Ray mendekati. Kaca mata hitam yang bertenggek di atas batang hidung mancungnya, disingkap ke atas kepala. Menyerlahkan sepasang matanya yang bening.
“Waalaikumsalam…” balas Weera sembari meloncat turun dari bonet kereta, menyambut lelaki itu dengan wajah ceria. Tangannya dihulurkan dengan hangat dan penuh kasih sayang. Mereka berpelukan. Menepuk-nepuk mesra belakang masing-masing seraya ketawa gembira sepertinya lama benar tidak berjumpa. Kemudian sama-sama bertenggek di atas bonet kereta Weera.
“Kenapa tidak terus balik ke rumah? Kamu tidak penat?” tanya Ray yang memang tahu Weera baru sampai dari Fraser Hill setelah seminggu berada di sana. Tadi dia menelefon dan Weera memberitahu dia sedang menghabiskan masa di Bukit Ampang. Tempat yang sering dijejaki oleh mereka berdua apabila ingin melarikan diri dari hiruk-pikuk kota. Kebetulan Ray juga baru menyelesaikan urusan di sekitar Ampang, maka terus sahaja dia ke sini untuk menyertai Weera.
“Penat juga, tapi tiba-tiba aku ingin duduk di sini menikmati alam,” jawab Weera sambil melepaskan nafas panjang di hujung kata.
Dengan kening terangkat, Ray menatap Weera sekilas, sebelum berkata dalam senyuman, “Hmm… ada masalah rupanya… patutlah datang ke sini.”
Weera tertunduk. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Malu pula hendak meluahkan rasa. Masalah yang biarpun sepele tapi adakalanya membuatkan Weera berasa cukup rimas. Masalah dengan Jasnita sejak akhir-akhir ini sentiasa membuatkan dia lemas dan semakin terhakis tahap kesabarannya.
Melihat Weera tidak bersuara, Ray tunduk mencari wajah Weera lalu bertanya, “Kenapa diam saja? Jasnita paksa kamu menikah dengan dia cepat-cepat?”
Kali ini Weera mengangguk sambil tersenyum tawar. Ray memang selalu mengerti isihatinya. Sering sahaja dapat menebak masalah apa yang sedang menekannya.
“Wee… sekiranya kamu masih belum yakin dengan Jas, buatlah solat istikharah sebelum ambil apa-apa keputusan. Jangan sampai tersilap pilih pula. Kamu kena ingat, Tuhan sudah menjanjikan bahawa lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya kamu ada berbuat salah, perbaiki diri kamu dahulu. Barulah nanti kamu akan dapat pasangan jiwa yang sesuai. Orang yang kelak akan berbagi hidup dengan kamu.” Ray menasihati.
Weera masih mendiamkan diri. Tetapi bibirnya sudah mula menguntum senyum. Ray selalu membuatkan dia merasa aman dan tenang kerana Ray selalu berada bersamanya untuk menenangkan dan membahagiakannya. Dalam keadaan runsing begini, Weera memang memerlukan seorang saudara yang ikhlas dan mewah muhabbah serta halus perasaannya. Ray adalah seorang yang memiliki tutur kata sopan dan bijaksana dalam memberi nasihat.
Setelah diam beberapa ketika, Weera memutuskan untuk menyampaikan keluh-kesahnya kepada Ray. “Masalahnya, aku tidak perlu buat solat istikharah pun. Hati aku betul-betul sudah rasa tawar terhadap Jasnita. Cuma aku tidak tahu bagaimana mahu terangkan semua ini kepada dia. Dia mesti mengamuk tidak tentu hala nanti. Lebih teruk sekiranya dia tahu aku sudah ambil kursus kahwin.”
Sebenarnya, tanpa pengetahuan Jasnita, Weera telah pun mengikuti kursus pra perkahwinan sebagai persediaan diri. Namun, apa yang terjadi, sebaliknya. Setelah mengikuti kursus tersebut, hati Weera mula berbelah bahagi samada mahu mengahwini Jasnita atau tidak. Banyak yang dipelajarinya daripada kursus tersebut. Sesungguhnya Jasnita tiada langsung ciri-ciri seorang isteri yang baik apalagi menjadi isteri yang soleh.
Weera melanjutkan kata-katanya, “Aku mahu kahwin kerana mahu melahirkan suasana aman damai dalam kehidupan, dengan kasih sayang intim antara aku dan isteri. Kerana aku tidak mahu sejarah ayah dan mama berulang lagi dalam kehidupan aku. Nabi S.A.W pun pernah berkata sekiranya kita mahu mencari jodoh, agama mestilah menjadi asas supaya perkahwinan dan kebahagiaan yang dibina dapat bertahan hingga ke penghujung nyawa…”
“Betul…walaupun pada sesetengah orang pesanan itu tidak bermakna. Tapi sebenarnya memang sangat relevan sampai sekarang,” sampuk Ray mengiyakan.
“Dahulu aku pernah berazam mahu membimbing Jasnita menjadi isteri yang baik. Tapi… Jas…dia…hmm… serba salah aku dibuatnya. Bukan aku mahu membuka aib dia. Tapi, sudah banyak kali aku tegur dia. Setiap kali kami keluar, ada saja alasan dia bila aku ajak singgah solat walaupun dalam surau di shopping complex. Sekali dua, aku boleh terima. Tapi sekiranya sudah uzurnya saban minggu, dia ingat aku lelaki bodoh? Ditegur dengan cara lembut pun dia melenting, merajuk, meninggikan suara. Apatah lagi sekiranya aku cakap kasar sedikit. Bagaiman sekiranya sudah berkahwin? Silap hari bulan, pinggan mangkuk terbang melayang!” kata Weera agak sedih. Saat dia mengangkat wajah memandang Ray, sebentuk senyum terukir dengan susah payah di sudut bibirnya.
Ray turut terkeluh mendengar luahan Weera. “Begitulah Wee, cinta sekiranya tidak berteraskan anjuran agama memang boleh pudar. Sedangkan seboleh-bolehnya perkahwinan yang bakal hendak dibina biarlah berpanjangan sampai ke akhir hayat. Sudah terang dan jelas, Jasnita bukanlah perempuan yang tepat untuk kamu jadikan isteri. Aku bukannya mahu menghasut tapi terpulang kepada kamu Wee. Fikir masak-masak…” Ray menepuk-nepuk bahu Weera.
“Rasanya aku sudah fikir masak-masak. Cuma aku tidak mampu lagi mahu beritahu Jasnita. Malaslah hendak bertekak. Kamu tahu sajalah mulut Jasnita, suka menjerit tidak tentu hala,” balas Weera sambil tersenyum pahit.
Ray ketawa mendengar komen Weera. Bukannya dia tidak kenal Jasnita itu perempuan yang bagaimana. “Aku sendiri pun ngeri setiap kali mendengar Jasnita menjerit. Macam langsuir!”
Mereka sama-sama tergelak. Sejenak kemudian, mereka diam. Menikmati keindahan alam dalam remang senja. Begitu indah lagi menakjubkan. Sayup-sayup kedengaran suara azan berkumandang.
“Jom… kita solat di masjid…” Ray bersuara, menarik Weera dari lamunan.
“Lepas solat, kita pergi makan ya?” saran Weera ketika turun dari bonet kereta.
“Kamu belanja?”
“Ala… kamulah… duit aku sudah habis buat berfoya-foya di Fraser Hill. Belum sempat lagi cucuk duit di ATM!” kata Weera sambil gelak-gelak ketika membuka pintu kereta. Jelas benar dia cuma main-main.
“Macamlah aku mahu percaya kamu pergi berfoya-foya…” Ray pura-pura mencemik sebelum masuk ke dalam kereta. Dia tahu Weera hanya bergurau. Dia sudah mengenal Weera sejak lelaki muda itu berusia 13 tahun. Sudah tahu lelaki jenis apa si Tajul Aweera itu. Berduit tapi bukan kaki sosial.
Sekejap kemudian, kelihatan dua buah kereta menderum, menuruni Bukit Ampang ala drift!
2
SUARA bising seorang perempuan kedengaran sayup-sayup di luar bilik. Bunyinya seperti sedang marah-marah. Secara tidak langsung suara itu juga telah mengganggu tidur Weera. Mata Weera terbuka perlahan-perlahan. Mulutnya mengomel geram. Telinganya mengamati suara bercakap-cakap di luar sana.
“Panggil dia keluar Fir! I mahu berjumpa dengan dia sekarang juga!”
“Dia masih tidur lagi. You pun tahu bukan, hujung minggu seperti ini, waktu tidur dia. Dia sudah pesan, jangan ganggu dia.”
“I tak peduli! I mahu you kejutkan dia sekarang juga! I telefon dia banyak kali tapi semuanya masuk ke voicemail. I tahu dia sengaja matikan telefon bimbitnya. Dia dah janji mahu keluar dengan I hari ni tapi dia tak datang pun. Macam orang gila I tunggu dia di rumah. Sampai mekap I naik cair tahu tak?”
“Nanti dia marah! I tak mahu lihat you bergaduh dengan dia.”
“Biarlah dia marah! I pun marah juga! Ingat I takut bergaduh dengan dia? Dia yang cari pasal. Selalu sangat dia mungkir janji!”
“Jas! Jangan Jas!”
Sejurus kemudian kedengaran ketukan bertalu-talu di pintu bilik tidur Weera. Suara Jasnita memekik memanggilnya keluar. Weera mengeluh di atas katil. Keasyikan menyambung tidur selepas solat Subuh, terganggu sudah. Memang, orang kata tidak elok sambung tidur lepas waktu Subuh. Pintu rezeki tertutup.
Tapi baginya itu sahajalah waktu yang dia ada untuk mendapat tidur yang cukup. Setelah sepanjang lima hari dia berhempas-pulas bersengkang mata di pejabat. Bekejar ke sana ke mari menghadiri mesyuarat, ke lokasi penggambaran selain memantau kerja-kerja staf di bawahnya. Jadi apabila tiba cuti hujung minggu begini, dia mahu tidur secukupnya.
“Wee! I mahu you bangun sekarang juga!” Seiringan dengan itu terdengar bunyi pintu diketuk bertalu-talu. Bagaikan ingin merobohkan terus pintu itu.
Weera merengus sambil menyebak selimut dengan kasar. Rambutnya yang tergerai melewati paras tengkuk dibetulkan dengan jari tangan, diselitkan ke celah telinga. Rambutnya juga sering dijadikan isu untuk Jasnita bergaduh. Sudah kerapkali Jasnita mengarahkan Weera memotong rambutnya yang cantik itu.
Salahkah lelaki Islam menyimpan rambut dan membiarkannya panjang? Tidakkah Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi ikutan umat Islam juga mempunyai rambut panjang dan bukankah ia suatu sunnah, mengikuti jejak langkah kehidupan baginda?
Ini kerana Nabi s.a.w bersabda (bermaksud): "Sesiapa yang mempunyai rambut, peliharalah ia". Malah Anas bin Malik ada meriwayatkan; maksudnya; “Nabi SAW memanjangkan rambutnya sehingga mencecah dua bahunya.”
Dari hadis yang dikemukakan ini, difahami bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW berambut panjang. Justeru, sesiapa sahaja dari kalangan umat mahu berambut panjang, maka itu bukanlah perkara yang dilarang. Asalkan tidak menyerupai perempuan, asalkan tahu menjaganya dengan rapi.
Malah rambutnya tidaklah terlalu panjang seperti rambut perempuan. Weera mengerling sekilas bayangan diri di dalam cermin! Dia secara semula jadi masih kelihatan tampan walaupun baru bangun tidur. Selepas menyarung baju, Weera kemudiannya berlalu ke pintu.
“Mahu apa?” sergah Weera sebaik sahaja membuka pintu. Di depan matanya tercegat seorang gadis bernama Jasnita dan teman serumahnya, Firdaus.
“Baru bangun?” tegur Jasnita dengan muka masam.
“Mengantuk.” Dia membalas pendek dengan muka selamba sambil mengheret badan dengan langkah malas menuju ke sofa. Tubuhnya dihenyak ke situ dengan tangan mendepang ke bahu sofa.
“Apa you buat malam tadi sampai mengantuk sangat sekarang ini?” sela Jasnita berdiri dengan tangan bersilang ke dada, memandang Weera dengan muka tidak puas hati. Tiada jawapan keluar dari mulut Weera. Jasnita merengus.
“You sudah lupa ya, you sudah berjanji mahu keluar hari ini, temankan I shopping! Our date is at 10 a.m! Sudah dua jam berlalu!” Jasnita menyambung bebelan apabila Weera buat tidak tahu sahaja.
“Mana ada orang keluar shopping pagi-pagi buta begini. Apa lagi keluar date!” Kali ini Weera bersuara. Tetapi nadanya jengkel sekali tanda rimas. Paling dia tidak suka apabila Jasnita seringkali menerjah masuk ke dalam rumahnya. Tidak tahu menjaga adab sebagai seorang perempuan. Siapa lagi yang membenarkan dia masuk ke situ sekiranya bukan Firdaus. Sudah acapkali dia menegur tetapi kedua-duanya tidak makan saman!
Firdaus yang tercegat, sekadar jadi pemerhati. Situasi ini bukan baru baginya. Setiap kali hujung minggu dia akan dapat menyaksikan pertengkaran secara langsung pasangan tersebut. Sekali sekala dia akan menjadi pendamai bila keadaan sudah tidak terkawal apabila Jasnita mula terjerit-jerit sakit melihat sikap sambil lewa Weera.
“Pagi buta apanya? You tahu tak sekarang sudah pukul 12 tengahari? You memang suka sakitkan hati I! Tak tahu langsung menghargai hati perempuan. Buat apa I jadi kekasih you, sekiranya diri I pun you buat tak tahu?” Jasnita membentak geram, melampiaskan kemarahannya.
“Tolonglah Jas! Jangan asyik membebel tentang benda remeh seperti itu. Bosanlah!” Weera merungut. Matanya dipejamkan. Rasa mengantuk masih kuat menggayuti kelopak matanya.
“Okey, baiklah… you sudah bosan ya? Sekiranya begitu, lebih baik kita putuskan saja hubungan ini!” jerit Jasnita separuh mengugut.
Tetapi hatinya sakit sendiri apabila melihat Weera meleretkan senyum sinis dalam keadaan mata terpejam. Siap memeluk bantal hiasan lagi. Badan Weera juga sudah senget ke tepi. Jasnita sudah tidak tertahan lagi. Daripada dia menjadi seperti tunggul, lebih baik dia pulang sahaja. Jasnita bangun bersama rengusan kuat seperti lembu sapi.
“Jas! Tunggu dulu!”
Bukan Weera yang cuba menahan Jasnita tetapi sebaliknya Firdaus. Tambah bengkak hati Jasnita. Lalu dia tidak mahu menoleh langsung. Terus berlari keluar dari unit kondominium itu.
“Teruk betullah kamu Weera!” komen Firdaus sebaik sahaja kelibat Jasnita hilang dari pandangan.
“Apa hal pula?” soal Weera acuh tidak acuh sahaja.
“Jas mahu putuskan hubungan dengan kamu pun kamu boleh buat selamba saja!” Firdaus merungut geram.
“Ah! Dia main-main. Sengaja mahu ugut aku. Esok lusa, adalah dia datang balik jumpa aku.” Weera membalas selamba. Dia sudah masak dengan perangai Jasnita. Merajuk dua tiga hari. Kemudian, mahu rujuk semula. Perangai yang cukup membosankan! Lagipun biarlah sekiranya Jasnita hendak putuskan hubungan. Memang Weera sudah tidak kuasa lagi meneruskan hubungan mereka.
“Nanti dia betul-betul tinggalkan kamu, baru padan muka!” Firdaus menyindir sinis.
“Aku tidak hairan. Bukan dia seorang saja perempuan dalam dunia ini!” cantas Weera tanpa perasaan.
“Memanglah, tapi dia kekasih kamu, jagalah baik-baik. Berilah perhatian lebih sikit pada dia.” Firdaus cuba menasihati. Cuba menunjuk pandai sebenarnya. Bahawasanya dialah lelaki paling budiman di dalam dunia ini.
Weera menatap sengit ke arah Firdaus. “Eh? Kamu jangan masuk campur dalam urusan aku ya! Cermin diri kamu dulu sebelum nasihatkan aku. Kamu yang sepatutnya jaga tunang sendiri baik-baik!” sergah Weera dengan rasa geram. Kurang senang dengan sikap Firdaus yang suka campur tangan dalam urusannya dengan Jasnita. Walhal dia sendiri tidak pernah ambil tahu siapa tunangan Firdaus.
Mendengarkan jawapan Weera itu, Firdaus sudah tidak kuasa lagi mahu melayan. Apatah lagi bila melihat Weera sudah mula merebahkan badan tanda mahu menyambung tidur. Tidak ada gunanya bercakap dengan Weera lagi.
Tidak lama selepas itu, Weera mula hanyut dibuai mimpi siang hari.
3
KELUAR dari bilik mesyuarat, Weera segera membelek telefon bimbitnya. Sejak dari mula mesyuarat pembentangan kertas cadangan iklan terbaru tadi, telefon bimbitnya tidak berhenti bergetar. Memang dia sengaja menetapkan aturan telefon bimbit kepada ‘silent & vibrate’ mode. Supaya pembentangannya tidak terganggu. Aturan telefon ditetapkan kembali kepada normal. Weera menggeleng kepala apabila melihat senarai panggilan tidak berjawab dan SMS yang diterima. Kebanyakannya adalah panggilan dan SMS daripada Jasnita.
‘Aku sudah agak! Mesti dia mahu ‘rujuk’ semula. Huh! Cakap tidak serupa bikin!’ Weera merungut di dalam hati tetapi tangannya tetap membaca satu per satu SMS yang diterima.
From : Jas - Wee, I miss u! Did u miss me?
From: Jas - I’m sorry! I tak sengaja bila ckp nak break-off tu. Masa tu hati I tengah sakit. In fact, I still love u! Please! Answer me! I nak jumpa u!
Itu antara SMS yang mahu dibaca Weera. Selebihnya terus dipadamkan. Tidak suka menyimpan SMS tidak penting lama-lama di dalam telefon bimbit. Tangan Weera segera menaip balasan SMS buat Jasnita.
To: Jas - I sedang meeting tadi. Sekarang mahu keluar jumpa client. Jumpa malam di tempat biasa, waktu biasa. I ada perkara mahu berbincang dengan u. Bye.
Weera nekad. Dia mahu menyelesaikan masalah dengan Jasnita. Penyelesaiannya dengan mengambil jalan memutuskan hubungan! Biar aman hidupnya! Tidak sampai beberapa saat Weera menghantar SMS tersebut, telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan masuk dari Jasnita.
“Aduh! Dia tidak fahamkah maksud ‘bye’ di hujung SMS aku itu?” rungut Weera. Panggilan tersebut diabaikan. Dia tiada hati mahu menjawab panggilan telefon Jasnita yang pastinya sekadar mahu merengek-rengek meminta maaf. Buang masa sahaja!
From: Jas - Ok. I tunggu u pukul 8 malam ini.
SMS itu amat melegakan Weera. Jadi dia tidak perlu kelam-kabut lagi memikirkan karenah Jasnita.
******************************
LEWAT jam sebelas malam, barulah Weera tiba di kondominiumnya di Casa Tiara, Subang Jaya. Letihnya dia tidak terkira lagi. Seharian berkejar ke sana ke mari. Menghadiri mesyuarat dan kemudiannya bergegas pula ke lokasi penggambaran iklan di KLCC Park. Tugas selaku Creative Director menuntut Weera mengorbankan masa dan sepenuh tenaga. Komitmen yang diberikan Weera juga bukan calang-calang. Kerana itu dia tidak pernah gagal menjayakan kerjanya.
“Tajul Aweera!”
Suara nyaring itu menyentap pendengaran Weera ketika dia melangkah masuk ke dalam unit kondominiumnya. Dia terkaku seketika di depan pintu yang baru sahaja ditutup. Kelihatan Jasnita duduk di sofa dengan muka masam. Firdaus juga ada di sisinya. Seperti sangat prihatin terhadap Jasnita. Terbit rasa curiga di hati Weera.
“Eh? Apa you buat berduaan dengan Firdaus dalam rumah I? Siapa benarkan you naik ke sini bila I tidak ada?” Sengaja Weera menekan perkataan ‘rumah I’ sambil menjeling ke arah Firdaus. Lelaki itu tertunduk. Sah! Dia yang membenarkan Jasnita naik ke unit kediaman Weera. Kerana tanpa kad sekuriti, orang luar tidak akan dapat naik ke sini, melainkan diinterkom oleh pengawal di lobi.
“Jangan salahkan Fir! I datang ke sini kerana mahu mencari you!” bentak Jasnita lalu berdiri. Tangannya disilang ke dada. Matanya mencerun sambil bibirnya diketap-ketap. Menatap Weera dengan marah.
“Buat apa datang ke sini cari I? Bukankah I sudah berjanji akan…” Tiba-tiba ayat Weera terhenti di penghujungnya. Bibir bawahnya diketap sambil tangan kirinya menggaru kening. Mula tersedar akan sesuatu yang lebih menjurus kepada kesilapannya sendiri. Dia benar-benar terlupa!
“Kenapa diam? You memang suka mungkir janji Wee! Macam orang bodoh I tunggu you di cafĂ©. You tak jawab panggilan I. You memang tak sayang I lagi!” Jasnita sudah sebak. Kenapalah kekasih hatinya itu tidak pernah prihatin terhadap dirinya? Dan dia sendiri tidak mengerti mengapa dia masih tega berkasih dengan Weera. Mungkinkah kerana rupa paras Weera yang kacak? Jasnita tidak pasti kenapa. Ada banyak kelebihan pada diri Weera yang membuatkan dia selalu rasa sukar mahu melupakan lelaki itu.
“I bukan sengaja. Tadi I sibuk sangat...” Suara Weera mendatar namun dia enggan meminta maaf. Egonya masih menebal walau sedar itu salahnya sendiri kerana sudah terlanjur berjanji dengan Jasnita yang jenis menuntut.
“Sibuk! Sibuk! Itu sajalah alasan you! I betul-betul sudah bosan. Sekiranya beginilah sikap you, lebih baik I cari orang lain saja!” Jasnita membentak.
Sudahnya Weera naik berang. Didorong oleh rasa marah, Weera berkata dengan tegas, “Itu sajalah kerja you! Tidak habis-habis ugut I. Sekiranya you teringin sangat mahu cari orang lain, pergilah! I tidak hairanlah! I pun memang sudah bosan dengan perangai you! Kita putus!” Weera semakin muak mendengar desakan dan ugutan yang sama dari Jasnita. Sudahlah sekarang ini dia kelihatan, Jasnita pula tidak habis-habis mengungkit perkara basi.
Tanpa menghiraukan Jasnita, Weera berlalu masuk ke dalam bilik. Pintu bilik sengaja dihempas kuat sebagai tanda protes membuatkan Jasnita terkejut bukan kepalang lagi. Ugutannya sudah tidak memberi kesan kepada Weera. Sebaliknya lelaki itu nampak bersungguh-sungguh mahu memutuskan hubungan.
Airmata Jasnita mengalir laju melihat sikap Weera. Jelas, lelaki itu tidak mengambil berat tentang perasaannya lagi. Jelaslah kini dia yang perasan sendiri. Weera tidak pernah mahu mempertahankan cinta mereka. Jasnita menangis teresak-esak.
Firdaus yang memerhati, berasa simpati. Dengan suara lembut, dia berusaha memujuk Jasnita, “Sabarlah Jas… jangan menangis. Bukannya you tidak tahu perangai Weera macam mana sekiranya dia marah. Sabarlah…” Firdaus duduk di sisi Jas.
“I sedih…kenapa dia sanggup buat I begini?” Jasnita merintih.
Firdaus tidak berkata apa. Sebaliknya meraih Jasnita ke dalam pelukannya. Citra lelaki budiman ditampilkan di hadapan Jasnita, mengusap lembut kepala Jasnita. Merasa terlindung dalam pelukan Firdaus, Jasnita langsung membenamkan mukanya ke dada Firdaus. Lupa bahawa mereka berdua bukannya mahram!
******************************
JASNITA menggeram di bangku. Menatap Weera dengan pandangan tajam. Namun dia jadi sakit hati melihat Weera tidak memberikan apa-apa ekspresi. Hanya duduk diam membisu seribu bahasa dengan mata lurus menatap langit. Sudah hampir lima belas minit Weera begitu sejak mereka duduk di KLCC Park ini.
“Cantik sangatkah langit itu sampai you tidak mahu pandang muka I lagi?” Jasnita bertindak menyelar sengit.
Weera mengalih pandangan, menancapkan renungan tajam ke muka Jasnita. Rahang diketap. “Memandang langit buat aku ingat kepada Tuhan. Bukan bererti aku percaya Tuhan ada di atas sahaja, tapi aku percaya DIA ada di mana-mana, bahkan dalam hati aku juga sekarang ini yang sedang gelisah memikirkan karenah kamu.”
Mata Jasnita terbelalak. “Kenapa you bahasakan diri ‘aku’ ‘kamu’ dengan I?” Itu yang ditanya Jasnita. Terkejut sungguh dia.
“Bukankah semalam kita sudah putus?” Weera mengingatkan andai Jasnita mengalami hilang ingatan jangka pendek.
“Siapa cakap?” bentak Jasnita.
Weera terhenyak. Matanya dicerunkan memandang Jasnita. “Kamu hilang ingatan atau sengaja buat-buat lupa?”
Jasnita menggelisah. Masakan dia boleh lupa pada sebaris kata keramat yang keluar dari mulut Weera malam tadi, ‘kita putus!’. Cuma hari ini apabila bangun dari tidur, ingatannya melekat terus kepada Weera membuatkan dia cuba menidakkan kata-kata Weera itu.
“Sebab itulah I ajak you berjumpa hari ini. I mahu minta maaf…” Jasnita melirihkan suara. Cuba meraih simpati Weera dalam masa yang sama, cuba meraih tangan Weera. Tetapi Weera beringsut, menjarakkan diri, malah siap berpeluk tubuh.
“Jijik sangatkah I?” rengus Jasnita. Ini bukan kali pertama Weera mengelak daripada berpegangan tangan dengannya. Malah sepanjang mereka berhubungan, tidak pernah sekali Weera mahu berjalan berpimpin tangan dengannya. Weera lebih rela menyeluk tangan ke dalam saku seluar.
Weera menarik nafas sedalamnya. Dilepaskan dengan kasar lagi renyah. “Bukan kerana aku jijik, Jas. Tapi berapa kali aku mahu ingatkan kamu, bahawa antara kita tiada apa-apa ikatan yang halal? Kita bukan mahram.”
“Jadi, halalkanlah. Kita kahwin!” Jasnita bijak menggunakan kesempatan itu.
Weera terpekur sejenak. Mengusap muka berkali-kali kemudian mengeluh, “Sudah tidak ada agenda kahwin. Aku sudah putuskan hubungan dengan kamu Jas! Aku yang memutuskan kerana kita jelas tidak sesuai jadi pasangan suami isteri!”
Mata Jasnita terbeliak, terkejut melihat wajah Weera yang kelihatan begitu tegar. Dengan perasaan bengang, dia bertanya, “You betul-betul maksudkannya? You sudah tidak sayangkan I lagi? Habis selama ini, you anggap I apa? Bukannya calon isteri you?”
Weera memejamkan mata, seperti yang dia duga, susah mahu menerangkan segalanya kepada Jasnita. “Masalahnya sekarang, hati aku sudah tawar dengan kamu, Jas. Aku rasa mampu lagi meneruskan hubungan ini sekiranya kita sering berantakan begini. Ini sudah cukup untuk jadi petanda bahawa kita tidak akan bahagia sekiranya terus bersama.”
“Sebab you yang sering buat hal. Selama ini you yang selalu mungkir janji! You tidak pernah mahu memeluk I seperti pasangan lain! You tidak pernah mahu faham perasaan I sebagai kekasih you!” jerit Jasnita seperti perempuan histeria. Sudah tidak peduli jika ada mata yang memandang.
“Selama ini juga, pernahkah kamu cuba faham perasaan aku? Pernah kamu ambil peduli pada keinginan aku yang mahu kamu berubah. Sekurang-kurangnya, solatlah lima waktu biar cukup! Tapi kamu sering marah-marah bila aku tegur kamu!” Weera meningkah.
“Jangan tunjuk alim Weera! Buat apa I menurut cakap you? You belajar pun setakat di The One Academy, tidak sampai ke Mesir. Kerja you pun Creative Director, setiap hari lihat perempuan pakai baju tidak cukup kain. You bukannya ustaz! Silap hari bulan, you ajar amalan sesat kepada I!” bentak Jasnita sekeras-kerasnya.
“Astaghfirullahalazim…” Weera tunduk meramas rambutnya. Bergoncang hatinya mendengar kata-kata lancang dari mulut Jasnita. “Sekiranya begitu fikiran kamu terhadap aku, terpulanglah. Tapi sekarang aku bertambah yakin, kita memang tidak sesuai jadi suami isteri!”
“Senang saja you cakap! Jangan-jangan you sudah ada perempuan lain!” tuduh Jasnita, mulai berprasangka buruk.
“Tidak ada!” Weera menafikan.
“Habis, sekiranya tidak ada perempuan lain, you mahu berkahwin dengan siapa kalau bukan dengan I?” Jasnita mencondongkan sedikit badannya agar Weera menoleh dan melihat tepat kepadanya. Tetapi lelaki nampaknya lebih rela memandang rumput!
Weera masih menunduk dan bergumam, “Dengan sesiapa sahaja, asalkan ALLAH buka pintu hati aku untuk berkahwin dengannya. Asalkan dia mahu menurut bimbingan aku sebagai suami. Asalkan dia dapat menerima teguran aku walaupun aku tidak belajar sampai ke Mesir untuk menyakinkannya bahawa aku tidak akan mengajarnya ilmu sesat!”
Jasnita ternganga, merasa tersindir mendengar kata-kata Weera. “Nanti dulu Wee!” Jasnita cuba menahan apabila melihat Weera bangun.
“Sudahlah Jas. Aku penat… sudah letih menghadapi karenah kamu. Aku sudah tidak mahu meneruskan hubungan yang tiada erti seperti ini. Kita putus!” tegas Weera.
“Wee! Janganlah begini. Berilah aku peluang!” Jasnita mula kalut menyesali keterlanjurannya. Airmatanya mula bertakung, menanti masa untuk keluar.
Keluhan panjang terbit dari bibir Weera. Dia menjelaskan buat kali terakhir, “Sudah banyak peluang yang aku beri kepada kamu. Tetapi semakin banyak peluang aku beri, semakin aku sabar dengan kamu, semakin tega kamu memperlekehkan aku. Kamu selalu buat aku kecewa dengan sikap kamu yang tidak pernah mahu menghormati aku. Cukuplah. Aku tidak mahu membuang masa lagi. Mulai hari ini, kita sudah tiada apa-apa hubungan lagi. Carilah lelaki lain yang lebih memahami kamu.”
Weera melepaskan nafas lega setelah berkata demikian. Tanpa menoleh lagi, dia menghayun langkah meninggalkan Jasnita.
Esakan terhambur keluar dari mulut Jasnita. Tetapi Weera nekad untuk pergi. Dia tidak mahu berbalik melihat Jasnita apalagi memujuk gadis itu. Dia tahu keputusan ini adalah yang terbaik untuk dirinya.
4
FIRDAUS memandang Weera yang sedang bersenang-lenang menonton perlumbaan Formula 1 di TV. Selama hampir lapan bulan tinggal bersama Weera, sudah banyak perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di dalam diri Firdaus. Mereka sebaya tetapi dalam usia muda begitu, Weera sudah mampu tinggal di kondominium mewah dan punya kereta idaman. Walaupun Weera terkenal sangat komited kepada kerja, tetapi Firdaus merasakan Weera tidak berhak untuk menikmati kesenangan hidup seperti sekarang. Weera sangat angkuh dan tidak pernah menghiraukan perasaan orang lain.
Lihat sahaja bagaimana layanan Weera terhadap Jasnita. Nama sahaja bercinta selama dua tahun, tetapi Weera tidak pernah menunjukkan reaksi positif mahu menamatkan hubungan itu dengan ikatan perkahwinan. Jauh sekali hendak bertunang. Setiap kali pengawal membuat panggilan melalui interkom, Firdaus yang membenarkan Jasnita naik ke kondo Weera ini. Dia tidak sanggup melihat Jasnita menunggu Weera seperti orang bodoh di lobi kerana lelaki itu tidak akan turun menemuinya. Firdaus tidak mengerti mengapa Weera sanggup memperlakukan Jasnita sedemikian rupa sedangkan gadis itu amat cantik rupa parasnya. Sedikit sebanyak perasaan simpati terhadap Jasnita mula tumbuh dalam diri Firdaus apabila Jasnita baru sahaja mengadu kepadanya bahawa Weera memutuskan hubungan dengannya.
“Weera… aku ada hal mahu berbincang dengan kamu...” Firdaus bersuara. Duduk di kerusi meja makan tidak jauh dari sofa tempat Weera berbaring. Walaupun mereka tinggal serumah, antara dia dan Weera bagaikan ada batas tercipta. Mereka tidak mesra dan hanya bertegur sapa jika bersua muka. Untuk duduk berbual-bual, tidak sama sekali.
“Apa dia?” Weera bertanya tetapi masih tidak mengalihkan pandangan dari kaca TV Plasma 42” itu.
“Aku rasa kamu terlampau ego!”
Bagaikan peluru kata-kata Firdaus menembak pendengaran Weera. Dia tertegak di atas sofa. Matanya terus menikam pandang ke muka Firdaus. “Kenapa kamu tuduh aku begitu?” Weera menggerutu, kurang senang mendengar tuduhan Firdaus.
“Sebab kamu selalu tidak pedulikan perasaan Jasnita!” tegas Firdaus.
“Kenapa kamu cakap aku tidak pedulikan dia? Sekiranya aku tidak pedulikan dia, dari dulu lagi, aku sudah putuskan hubungan dengan dia! Tapi hanya sekarang aku putuskan hubungan dengan dia.” Weera membela diri.
“Tapi sejak dulu kamu tidak pernah berhajat mahu berkahwin dengan dia, bukan? Aku tahu, kamu buat begitu hanya kerana mahu membalas dendam!” Firdaus mengemukakan telahannya.
“Dendam apa? Apa benda yang kamu cakapkan itu? Jangan tuduh aku sembarangan, okey!” Weera sudah mengepal penumbuk. Menyampah melihat sikap Firdaus yang terang-terangan membela Jasnita. Macamlah Jasnita itu kekasihnya!
“Kamu dendam pada mama kamu! Sebab mama kamu lari tinggalkan kamu semasa kamu kecil! Sebab itulah kamu dendam pada perempuan! Dan sekarang ini Jasnita jadi mangsa kamu!” Firdaus semakin giat melemparkan tuduhan.
“Jaga sikit mulut kamu Firdaus! Sekiranya tidak mengenangkan kamu sekampung dengan aku, sudah lama aku halau kamu keluar dari rumah ini!” Weera memberi amaran. Keras nada suaranya menahan amarah.
“Sebab kita sekampunglah, maka aku kenal sangat dengan perangai kamu! Jangan kerana mama kamu yang tidak betul itu, kamu dendam dengan semua perempuan dalam dunia ini. Bukan semua perempuan buruk perangai seperti mama kamu!” Firdaus semakin tidak mempedulikan perasaan Weera lagi.
Weera berasa berang lalu dia berteriak, “Firdaus! Kamu jangan tuduh mama aku yang bukan-bukan! Kamu tidak kenal mama aku macam mana!”
“Mama kamu memang teruk! Murtad!” hambur Firdaus lagi.
Weera sudah tidak dapat menahan kesabaran saat mendengar perkataan ‘murtad’ yang keluar dari mulut Firdaus. Sepantas kilat dia bangun, meluru ke arah Firdaus. Terus menghayun penumbuk ke muka Firdaus tanpa ragu-ragu lagi. Akibat tumbukan kuat itu, Firdaus terjatuh. Bibirnya sudah pecah berdarah.
“Celaka kamu Weera!” Firdaus menyeranah sambil mengesat luka di bibirnya. Namun dia tidak berani pula mahu membalas serangan Weera. Takut sekiranya Weera mengeluarkan ilmu Muay Thai. Dulu ketika kecil, Weera terkenal handal dalam sukan Muay Thai. Kerana itulah ramai budak lelaki tidak berani mengganggu Weera apabila mereka mengejek tentang mamanya.
“Kamu yang cari pasal dengan aku! Jangan sesekali kamu sentuh soal keluarga aku terutamanya tentang mama aku! Kamu tidak tahu apa-apa tentang dia!” Muka Weera sudah merah padam. Perasaan marahnya terhadap Firdaus terasa sukar dibendung lagi. Dadanya turun naik mengatur nafas kasar. Cuba meredamkan gelombang hebat di hatinya.
“Ah! Satu kampung tahu mama kamu murtad! Lari ikut jantan lain balik Siam!” hambur Firdaus tanpa mempedulikan kemarahan Weera.
Dengan penuh perasaan geram, Weera mencapai bekas kaca dari atas meja. Tanpa berfikir panjang, dia melemparkan bekas itu. Firdaus panik. Pantas mengangkat tangan melindungi mukanya.
Prang!!! Bekas itu pecah berderai di atas lantai. Sipi sahaja mengenai Firdaus. Dia tertelan air liur. Terkejut dan gerun juga melihat tindakan berani Weera.
“Sekiranya kamu sentuh lagi tentang mama aku, aku akan kerjakan kamu cukup-cukup!” tempik Weera sambil mengacungkan tangan dekat ke muka Firdaus. Jika diturutkan amukan rasa di jiwa, ingin sahaja Weera melepaskan lagi tumbukan semahunya ke muka lelaki itu. Biar bersepai gigi Firdaus. Biar mulutnya herot tidak dapat bercakap lagi. Tetapi istighfar berterusan di dalam hati sedikit sebanyak berjaya memalapkan api kemarahan Weera.
“Ah! Sekiranya bukan kerana mama kamu pun, ini semua mesti sebab Ray!” Firdaus masih berani lagi mahu mengapikan perasaan Weera.
“Apa hal kamu kaitkan Ray pula?” Weera mengetap gigi. Firdaus kini begitu kecil di pandangan matanya.
“Sebab kamu dengan Ray ada skandal! Mengaku sajalah kamu seorang gay! Selalu buat hubungan songsang dengan Ray! Kamu terkutuk!” Firdaus bagai dirasuk syaitan untuk terus menyakiti hati Weera.
Buk! Tanpa kompromi lagi, satu tumbukan padu melayang laju mengenai pipi Firdaus. Kepalanya terteleng ke sisi. Weera mengepal penumbuk dengan muka bengis. Seakan mahu melepaskan satu lagi tumbukan. Tetapi dia cepat-cepat berisghtifar di dalam hati. Segera menapak menjauhkan diri dari Firdaus sebelum syaitan terus-terusan menghasut dan meniupkan api kemarahan di jiwanya.
“Kamu jangan kurang ajar dengan aku! Kamu belum kenal siapa aku, dan kamu langsung tidak kenal siapa Ray! Jangan sesedap mulut menuduh kami yang bukan-bukan. Mind your own business maggots!” Kemarahan Weera benar-benar di tahap maksima. Firdaus yang sengaja menaikkan kembali kemarahannya yang hampir pudar tadi. Firdaus benar-benar melampau!
Weera kemudiannya berlalu masuk ke dalam bilik. Jika dia berlama lagi di situ, pasti mati Firdaus dikerjakannya. Pintu dihempaskan sekuat hati.
“Dasar anak tidak cukup diajar!” cemuh Firdaus sambil memandang ke arah pintu bilik Weera yang tertutup rapat.
“Jaga kamu Weera! Aku akan balas balik apa yang kamu lakukan terhadap aku selama ini! Tahulah nasib kamu nanti!” Firdaus berazam sendiri.
Sakit ditumbuk, sakit lagi hatinya. Keinginan untuk melihat hidup Weera musnah, begitu menebal dalam dirinya kini.
******************************
WEERA menghidangkan lauk di atas meja. Sementara Ray masih sibuk menyiapkan lauk terakhir di dapur. Itu rutin mereka setiap kali tiba hujung minggu. Ziarah-menziarahi dan menghabiskan masa di rumah dengan menonton DVD.
Ketika menyusun pinggan, Weera melihat Firdaus keluar dari bilik tetapi tidak memandang kepadanya.
“Firdaus, marilah makan sama.” Weera mempelawa atas dasar menghormati teman serumah. Lupa pada persengketaan mereka semalam. Lagipun bukan sikapnya mahu bermasam muka tidak tentu hala.
Tetapi Firdaus mengerling sinis. “Jangan pura-pura baik dengan aku! Aku benci manusia munafik seperti kamu!”
Mata Weera mula mencerun. Merasa agak panas hati mendengar tuduhan Firdaus. “Aku ajak kamu makan tengahari, kenapa sampai cakap aku munafik pula?”
Tidak semena-mena Firdaus ketawa mengejek melihat keterpingaan Weera itu. “Kamu sudah lupa ya? Semalam kamu sudah tumbuk aku, kamu lempar pasu sampai nyaris buat aku cedera dengan kaca, sekarang kamu mahu ajak aku makan tengahari pula? Bukankah itu sudah jelas menunjukkan bahawa kamu manusia munafik!”
Terkaku seketika Weera mendengarnya. Firdaus masih marah kepadanya. Lalu dengan rasa rendah diri, Weera bersuara, “Semalam aku terlalu marah… aku minta maaf. Aku tidak mahu berdendam dengan kamu. Kita serumah. Tidak halal bagi seorang Islam tidak menegur sapa saudaranya lebih daripada tiga hari, berjumpa tetapi seorang berpaling ke tempat lain dan seorang lagi ke tempat lain. Lebih baik kita bertegur sapa.”
“Ah! Jangan tunjuk alim, Weera!” Firdaus memandang dengan mata menantang. Ketika itu dia lihat Ray sudah berdiri di belakang Weera. Memasang tampang ingin melindungi Weera. Membuatkan Firdaus mencebikkan bibir. “Tidak berdosa sekiranya aku tidak bertegur sapa dengan ahli maksiat seperti kamu dengan Ray!”
Weera tersentap. Dia ingin meluru ke arah Firdaus tetapi Ray mencengkam bahunya. Menghalang dia dari bertindak.
“Kamu jangan naikkan darah aku! Aku elok-elok, kamu sengaja buat hal pula!” Weera memberikan amaran.
Firdaus mencemikkan wajah. “Tengok… baru sentuh sikit tentang Ray, sudah melenting tidak tentu hala. Tetapi sekiranya dengan Jasnita, kamu selamba saja! Betullah… memang ada sesuatu antara kamu dengan Ray. Seorang anak terbuang, seorang lagi bujang terlajak… dua-dua dahagakan kasih sayang!“
Hati Weera membara mendengarnya. Firdaus kelihatan semakin mengecil di matanya. Dia menepis tangan Ray dari bahunya, mahu menerpa ke arah Firdaus. Namun Ray pantas memaut pinggangnya. Memeluknya kemas dari belakang.
“Lepaskan aku Ray! Biar aku ajar dia!” Weera meronta-ronta. Tetapi Ray semakin mengemaskan pelukan.
“Sabar!” tegas Ray, tidak mahu melepaskan Weera. Dia sudah faham benar, Weera selalu tewas dengan kemarahan setiap kali menghadapi Firdaus.
Firdaus tiba-tiba menggeledikkan badan, lalu berkata dengan nada mengejek, “Heee…gelinya aku! Main peluk-peluk dari belakang pula! Macam sudah pro! Nauzubillah… takut aku berhadapan dengan kaum Nabi Lut di dunia moden ini!”
“Firdaus!!!” tempik Weera. Matanya mencerlang garang.
Firdaus bahkan mempamerkan muka mencemuh dan menambahkan lagi ayat menyindirnya, “Aku mahu keluar sekarang… buatlah apa yang kamu suka dengan Ray dalam rumah ini. Lagipun rumah ini rumah kamu… jadi buatlah maksiat sepuasnya dengan bapa ayam kamu itu sementara aku keluar!”
Dalam pelukan Ray, Weera mengepal-ngepal penumbuk. Berusaha keras menahan marahnya. “Ya… ALLAH… Ya Tuhanku!” Mata Weera tajam melihat kelibat Firdaus keluar dari rumah.
Setelah pasti Firdaus tidak muncul lagi, barulah Ray melepaskan Weera. Penat menahan amukan dalam dada, Weera lantas menarik kerusi lalu duduk. Kerana antara cara-cara menahan marah menurut Islam – selain mengambil wudhuk - jika semasa timbul perasaan marah, seseorang itu sedang berdiri maka hendaklah dia duduk. Jika tidak reda juga maka hendaklah dia berbaring. Weera menopang kepala dengan kedua belah tangan. Dadanya masih berombak kencang.
Ray menyodorkan segelas air kosong ke depan Weera. “Minum… biar kemarahan kamu hilang.”
Weera patuh arahan Ray lalu minum air sehingga habis.
Ray memegang bahu Weera dan berkata, “Wee… sudah berapa kali aku ingatkan, supaya bersabar. Janganlah diturutkan sangat perasaan marah kamu itu.”
Weera melepas nafas kasar lalu memandang Ray. “Tapi kamu dengar sendiri apa yang dia cakap tadi. Semua yang dia cakapkan itu cukup menyakitkan hati!”
Ray mengeluh sejenak sebelum bersuara, “Iya… aku tahu… tapi sekiranya kamu selalu jadi tidak sabar seperti tadi, dia lagi seronok mengenakan kamu. Sudahlah… pedulikanlah dia mahu kata apa. Tenangkan diri kamu. Aku tidak mahu selera kamu mati. Nanti rugi sahaja aku masak lauk sebegini sedap.”
Mendadak tawa Weera meletus. “Puji diri sendiri nampak?”
Ray sekadar tersenyum. Melihat Weera tertawa, cukup buat dia rasa gembira.